Ahad, 12 April 2009

Ibu bapa mogok bantah pertukaran guru besar

MALAYSIA KINI


Ibu bapa di sebuah sekolah kebangsaan di Sabah melancarkan mogok tidak membenarkan anak-anak mereka ke sekolah kerana membantah pertukaran guru besar sekolah berkenaan.

Ia berlaku di Sekolah Kebangsaan Pulau Mantani, di Kota Belud apabila rayuan untuk mengekalkan guru besar, Sabli Nanti yang tidak dipertimbangkan oleh Jabatan Pelajaran Sabah.

Sabli diarah bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud sebagai penyelia sekolah menengah.

Ekoran itu mereka melancarkan mogok tidak membenarkan anak-anak ke sekolah, sehinggalah pada satu masa kehadiran hanya dua orang sahaja daripada 136 orang murid-murid, bermula 2 Mac lalu.

Bagaimanapun, ia berjaya diselesaikan melalui majlis permuafakatan yang diadakan di dewan sekolah berkenaan Jumaat lalu.

Penolong Pengarah Pelajaran Sabah, Bongsu Gaga berkata ibu bapa telah memberi jaminan bahawa mereka akan menghantar semula anak ke sekolah mulai esok.

"Kita gembira isu ibu bapa mogok tidak hantar anak ke sekolah sudah selesai. Kita berterima kasih kepada mereka yang memberi jaminan kepada Jabatan Pelajaran Sabah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud bahawa kehadiran seratus peratus pada Isnin ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Dilantik penasihat sekolah

Bongsu menjelaskan bahawa Sabli tidak layak lagi berkhidmat di sekolah berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) itu kerana beliau dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34.

Menurutnya, Sabli hanya layak berkhidmat sebagai guru besar di sekolah gred A dan B atau menjawat jawatan penyelia pelajaran daerah.

Bagaimanapun Jabatan Pelajaran Sabah akan mempertimbang syarat PIBG agar Sabli dijadikan penasihat sekolah dan dibenarkan memantau untuk membantu meningkatkan prestasi sekolah sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud Abdul Bahkrin Mohd Yusof menyambut baik kesediaan ibu bapa bekerjasama, sekaligus menyedari kepentingan ilmu pendidikan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sabli akan diberi peranan untuk membantu sekolah kebangsaan Pulau Mantanani meskipun tidak lagi bertugas di sekolah itu.

"Sesungguhnya mereka faham bahawa tiada yang boleh mengubah kemiskinan keluarga selain kecemerlangan anak-anak dalam mengecapi ilmu pendidikan," katanya.

Tiada ulasan: