Rabu, 8 April 2009

Hukuman rotan dikuatkuasa kembali

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Hukuman rotan di sekolah-sekolah akan dikuatkuasakan kembali bagi membendung masalah disiplin pelajar, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau memberitahu Dewan Negara di sini bahawa perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Disiplin Kementerian Pelajaran pada 17 Mac lalu.

"Kementerian akan kembali menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Disiplin Sekolah 1959 khususnya hukuman rotan, dan kali ini kami akan keluarkan prosedur khusus untuk pelak-sanaan hukuman itu," katanya ketika menjawab satu soalan Senator Fatimah Hamat.

"Ia termasuk (soal mengenai) siapa yang boleh diberikan kuasa merotan di samping ibu bapa akan dimaklumkan terlebih dulu, bila hukuman akan dijalankan," katanya.

Menurutnya, mesyuarat itu turut memutuskan untuk melantik warden tetap di asrama dan tugas utama mereka ialah menjaga disiplin pelajar.

Bagaimanapun menurutnya, dengan kewujudan jawatan warden tetap, warden asrama itu akan bertanggungjawab sepenuhnya memantau serta mengawal disiplin pelajar terutama di asrama.

"Warden tetap itu akan dilantik di kalangan kakitangan kementerian yang menerima latihan khas bimbingan kaunseling serta memiliki kemahiran psikologi, dan mereka bertugas 24 jam di asrama sekolah.

"Kementerian berharap tindakan yang akan dila-ksanakan ini akan dapat mengurangkan kes disiplin pelajar dan memberi kese-daran kepada ibu bapa tentang peri laku anak mereka di sekolah," katanya.

Tiada ulasan: