Khamis, 23 April 2009

'Hukuman buang daerah' kendiri, waran tangkap atas Raja Petra

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Gara-gara 'jalani hukuman buang daerah kendiri', Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap terhadap editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin pagi ini selepas beliau gagal hadiri perbicaraan berkaitan kes hasutan.

Peguamnya, J. Chandra memaklumkan Hakim Rozina Ayob, Raja Petra tidak hadir kerana beliau sedang menjalani "hukuman buang daerah kendiri" dari Selangor "atas sebab yang semua sedia maklum."

"Anda 'lebih tahu sebab-sebabnya'... jadi sila kemukakan kepada mahkamah," kata Rozina.

"Tertuduh telah memuatkan sebab-sebabnya dalam laman web (Malaysia Today) beliau pagi ini," kata Chandra lagi.

"Adakah anda mengharapkan mahkamah menelitinya... adakah begitu?" jawab Rozina.

Chandra kemudian menjelaskan bahawa sejak sebulan lalu, Raja Petra, 58, telah memuatkan rencana ataupun komen-komen berkaitan dengan Kerabat Diraja Selangor yang telah menyinggung beberapa anggota keluarganya yang turut menuntut permohonan maaf daripada beliau.

Ditanya oleh Rozina bagaimana beliau mengetahui kandungan blog itu pagi ini, Chandra berkata beliau dimaklumkan oleh orang awam.

Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Aziz memohon dikeluarkan waran tangkap terhadap Raja Petra dan notis tunjuk sebab kepada isterinya, Marina yang juga penjamin baginya.

Rozina membenarkan kedua-dua permintaan itu dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh sebutan.

Sementara itu, peguam utama Raja Petra, Gobind Singh Deo, memberitahu pemberita bahawa beliau tidak dapat menghubungi anak guamnya untuk beberapa minggu dan hanya mengetahui ketiadaannya di mahkamah menerusi blog penulis itu pagi ini.

"Saya tidak pasti sebab sebenar ketidakhadirannya di mahkamah dan saya perlu membaca blognya untuk butiran kerana tidak dapat menghubunginya walaupun sejak pagi tadi," kata beliau dipetik Bernama.

Tiada ulasan: