Jumaat, 24 April 2009

Hasrat DBKL sita Menara Safuan tertangguh

KLPOS.COM


KUALA LUMPUR : Menara Safuan Sdn. Bhd. (Menara Safuan), iaitu salah satu bangunan terkemuka di Jalan Ampang di sini, nyaris disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akibat kegagalan pengurusannya menjelaskan tunggakan cukai taksiran selama 12 tahun yang mencecah jumlah RM1.3 juta.

Bagaimanapun, perbincangan tertutup lebih dua jam di antara peguam Menara Safuan dengan wakil Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang DBKL berjaya mencapai persetujuan dan syarikat itu membayar RM276,000 iaitu tunggakan cukai taksiran bagi satu daripada lima akaun atas namanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Kewangan DBKL, Mohamad Hamim berkata, bagaimanapun, syarikat itu masih mempunyai tunggakan RM1.1 juta yang perlu dijelaskan dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, DBKL boleh melelong bangunan berkenaan setelah mendapat perintah mahkamah sekiranya Menara Safuan gagal melunaskan tunggakan tersebut dalam tempoh itu.

Semalam, Mohamad mengetuai operasi menyita Menara Safuan yang didapati tegar membayar cukai taksiran sehingga tertunggak selama 12 tahun.

Difahamkan, sebelum operasi sita itu dijalankan, DBKL telah beberapa kali memberi peluang kepada pengurusan Menara Safuan untuk menjelaskan tunggakan cukai taksiran namun usaha itu gagal.

Menara Safuan setinggi 25 tingkat itu dimiliki dan diuruskan oleh Menara Safuan Sdn. Bhd. Ia yang menempatkan Ibu Pejabat Kumpulan Safuan turut mempunyai lebih 25 ruang pejabat yang disewakan kepada syarikat lain.

Tiada ulasan: