Khamis, 23 April 2009

Hanya satu kementerian dapat lima bintang: KSN

SINAR HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA - Hanya satu kementerian dan lima agensi kerajaan memperoleh taraf lima bintang daripada keseluruhan 38 kementerian dan agensi dalam penilaian tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, kementerian itu ialah Kementerian Kerja Raya sementara institusi berkenaan ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Pejabat Ketua Pengarah Kesihatan.

Menurutnya, Sistem Star Rating itu mula diperkenalkan pada 2007 dan dilaksanakan oleh MAMPU bertujuan memberi pengiktirafan kepada sektor awam yang telah membuktikan prestasi cemerlang dalam pengurusan organisasi mereka secara keseluruhannya.

“Kepada kementerian dan agensi lain yang belum memperoleh taraf lima bintang, jadikanlah kementerian dan agensi lima bintang ini sebagai penanda aras, sementara bagi kementerian dan agensi yang telah mencapai lima bintang, mereka harus bekerja lebih kuat,” katanya pada majlis Penarafan Bintang Agensi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini. semalam.

Anugerah berupa plak dan sijil penghargaan tersebut diterima oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Dr Abdul Munit Kasmin, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JPA, Datuk Abdul Khalid Abdul Hamid, Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Normah Md Yusof, Ketua Pengarah ICU, Tan Sri Khaled Ramli dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Mohd Ismail Merican.

Mohd Sidek berkata, JPA telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan untuk dinilai prestasi mereka.

Menurutnya, pelbagai usaha penambahbaikan telah dijalankan sehingga meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan awam Malaysia ke tangga ke-20 tahun lalu berbanding kedudukan ke-24 di kalangan 178 negara pada tahun 2007, se:perti yang dilaporkan Bank Dunia.

Tiada ulasan: