Rabu, 29 April 2009

Gadai agama tidak wujudkan perpaduan

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Keharmonian serta perpaduan antara kaum di dalam negara ini tidak akan dapat dicapai dengan menggadaikan prinsip agama, kata Naib Presisden PAS, Mohamad Sabu.

"Menggadai prinsip agama mana-mana kaum dalam negara ini, lebih-lebih lagi prinsip agama seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja tidak akan mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara kaum malah ia tidak ubah seperti bom jangka yang akan memusnahkan negara ini," kata beliau mengulas tindakan kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak yang memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Beliau menjelaskan, negara berbilang kaum memang memerlukan tolak ansur yang berpatutan dan perasaan saling menghormati serta memahami antara satu sama lain, tetapi tindakan membunuh prinsip agama mana-mana kaum boleh mencetuskan ketegangan yang tidak sepatutnya.

"Jika berlaku perkara yang tidak sepatutnya, kabinet Najiblah yang bertanggungjawab kerana membuat keputusan yang tidak memperlihatkan kewarasan itu," Mohamad mengingatkan.

Sebagai umat Islam, beliau melihat keputusan kabinet Najib itu membunuh prinsip amar ma'ruf yang diwajibkan oleh Islam.

"Najib dan kabinetnya telah menjadikan Malaysia sebagai tanah perkuburan dakwah.

"Ibu bapa yang memeluk Islam tidak boleh mendakwahkan anaknya sendiri sehingga anak itu memeluk agama Islam.

"Bunuh dakwah, bunuh amar ma'ruf. Nahi mungkar sudah lama mereka bunuh," katanya.

Beliau juga mengecam tindakan Najib menyerahkan persoalan mengenai agama kepada orang yang bukan ahlinya.

"Islam menyifatkan tindakan menyerahkan sesuatu perkara kepada orang yang bukan ahlinya sebagai tindakan zalim.

"Persoalan akidah anak penganut agama Islam diserahkan kepada Koh Tsu Koon dan Subaramaniam sedangkan perkara itu boleh dilakukan melalui timbang tara pelbagai pihak yang lebih adil dan memahami," katanya.

Keputusan kabinet Najib itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tiga kanak-kanak berkenaan iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinesh, 11 dan Prasana Diksa, setahun, yang dibawa memeluk Islam oleh Mohd. Ridzuan pada 12 April lalu dengan menggunakan bukti sijil kelahiran.

"Tak sampai sebulan menjadi Perdana Menteri, pelbagai perkara merapu yang dilakukan oleh Najib termasuk dalam soal ekonomi, pembentukan kabinetnya hinggalah soal agama.

"Apa akan jadi kepada negara ini kalau lebih lama beliau menjadi Perdana Menteri?" kata Mohamad._

Tiada ulasan: