Khamis, 30 April 2009

Dedah kezaliman: Bagaimana peranan media Malaysia?

LanH


Tidak lama dulu ketika aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI) memperhebatkan tekanan agar pemerintah memansuhkan penahanan tanpa bicara, sesetengah pemimpin Malaysia mendakwa Amerika Syarikat pun mencontohi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysia dengan memperkenalkan Akta Patriot yang membolehkan seseorang tertuduh ditahan tanpa dibicarakan.

Kini seluruh dunia digemparkan dengan kezaliman penyiasat era Presiden George W Bush yang menggunakan taktik 'melemaskan' tertuduh bagi mendapatkan maklumat. Menurut laporan berita berkenaan, seseorang tertuduh dibaringkan dan dalam keadaan tangan dan kakinya terikat, air akan dicurahkan ke mukanya sehingga dia hampir-hampir lemas. Dalam keadaan tertuduh hampir mati, rahsia mereka dikorek dan pengakuan dibuat.

Di Malaysia tahanan ISA juga pernah mendedahkan pelbagai kezaliman dan penderaan dilakukan ke atas mereka dalam soal siasat. Ada yang dibogelkan dan kemudian didera seperti dipaksa minum air kencing masing-masing manakala sebahagian lain melalui deraan psikologi seperti gangguan tidur dan rehat. Manakala keluarga tahanan mengadu mereka turut diganggu bagi mendatangkan keresahan, ada isteri didesak meminta cerai daripada pasangan masing-masing.

Pendedahan kezaliman ke atas tahanan termasuk di Guantanamo Bay yang dikaitkan dengan apa didakwa terroris Muslim, berjaya dilakukan atau didedahkan media massa. Pendedahan kes penganiayaan menggunakan teknik melemaskan tahanan pada era Bush, begitu memalukan pihak berkuasa Amerika sehinggakan Presiden sekarang, Barack Obama berjanji akan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Demikianlah situasi di Amerika dan sesetengah negara dunia Barat. Sekalipun medianya sudah ditintai noda kebebasan melampau, sesetengahnya masih mampu dan peka untuk mendedahkan penyelewengan termasuk oleh pemerintah. Bagi mereka, bukan saja orang awam, pemerintah malah keluarga diraja pun tidak kebal daripada didedahkan penyelewengan dan keburukan masing-masing.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar 3 Mei ini, persoalannya bagaimana pula peranan media massa Malaysia dalam menangani penyelewengan dan salah guna kuasa ini? Jika media Amerika tidak keberatan mendedahkan penderaan ke atas tahanan seperti taktik melemaskan itu, apakah media Malaysia bersedia mendedahkan kezaliman di belakang tembok dan besi penjara seperti di kem-kem tahanan mangsa ISA dan kem tahanan pendatang asing?

Berdasarkan perkembangan semasa, media massa arus perdana Malaysia semakin jauh daripada berperanan begitu. Suatu ketika dulu, sesetengah media massa ini begitu dihormati peranannya kerana mampu membawa laporan penyelewengan pemimpin tertinggi, pentadbir dan peneraju organisasi tertentu; tetapi hari ini mereka tidak lebih daripada pelapor, bagaikan burung kakak tua saja, mengiya dan melaporkan saja apa kata sang penguasa.

Peneraju media arus perdana hari ini sebagai orang makan gaji, tidak lebih daripada itu. Cukup bulan dan tahun terima habuan dan bonus, asalkan tuan atasan dipenuhi segala kehendak dan nafsunya, maka tenggelamlah rakyat dalam rintihan berpanjangan. Pendedahan apa yang mahu dilakukan media arus perdana kerana mereka sudah seiring jalan dengan sang penguasa sedangkan dalam sejarah Islam, Khalifah Umar Al-Khattab yang gagah perkasa itu sedia ditegur rakyatnya, hatta dengan pedang sekalipun.

Dalam keadaan sang penguasa sentiasa diiyakan segala tindak-tanduknya, media alternatif yang muncul dalam keterbatasan ruang, dicantas dan ditekan hebat. Pandangan kedua, ketiga dan seterusnya tidak dibenarkan, oleh itu akan berlakulah dalam masyarakat episod berpanjangan 'The Emperor's New Clothes' (Baju Baru Sang Maharaja).

Apa saja tindakan sang penguasa adalah betul, tiada siapa berani menyanggah, hatta Raja (pemimpin tertinggi) berbogel tiada yang berani menegurnya; semuanya berkata: "Raja mengenakan pakaian paling hebat," hakikatnya dia berbogel. Demikianlah yang akan menimpa negara jika pemimpin media massa sudah dikunci mata hatinya! _

Tiada ulasan: