Isnin, 13 April 2009

CIJ desak NAJIB hapuskan ISA

SUARA KEADILAN


Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mendesak agar Najib Abdul Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai langkah pertama menjawat jawatan Perdana Menteri.

Menurut pengarah eksekutif CIJ, Gayathry Venkiteswaran ISA telah menimbulkan ketakutan dan tidak menggalakkan kebebasan bersuara.

“CIJ menyeru supaya dihapuskan undang-undang di atas sebagai langkah pertama bagi mencapai visi perdana menteri,” kata Gayathry dalam satu kenyataanya.

Selain itu dalam kenyataanya, CIJ mencabar Najib supaya mengkaji semula tiga syarat yang menyumbang kepada tekanan didalam kebebasan akhbar.

Salah satu syarat ialah orang ramai mesti terdedah kepada maklumat dengan bebas bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam perdebatan mengenai isu yang diputuskan dengan bertanggungjawab.

“Kawalan maklumat melalui Akta Rahsia Rasmi yang sedia ada dan rahsia kerajaan yang sudah menjadi budaya pada umumnya tidak menimbulkan keyakinan terhadap visi perdana menteri yang baru,” katanya dalam kenyataan terbabit.

Menurutnya lagi, undang-undang yang sedia ada pula tidak meletakkan kuasa seimbang pada peringkat birokrasi dan eksekutif bagi kepentingan rakyat dari sudut kebertanggung-jawaban.

“Kedua, syarat pengeluaran lesen untuk media terus beroperasi gagal menghilangkan rasa takut dan seterusnya bagi membuat liputan berita yang bertanggungjawab,” tambahnya lagi.

Tambah CIJ, keperluan untuk mendapatkan lesen dan pemilikan syarikat media oleh orang-orang politik mencipta suatu suasana di mana agenda kerajaan dengan mudah mendominasi bilik berita.

Seawal bulan Mac tahun ini, timbalan menteri dalam negeri Chor Chee Heung mengakui pemantauan dan tindakan telah diambil terhadap media oleh pihak kementerian.

Tanpa kelonggaran atas kawalan-kawalan ini, menurut CIJ, orang-orang di bilik berita terpaksa bermain ibarat kucing dengan tikus mengenai ruang kebebasan yang terdapat dalam visi Najib.

“Ketiga, orang ramai mesti diyakinkan bahawa mereka bebas bersuara tanpa bimbang terhadap tindakan yang bakal diambil terhadap mereka seperti Akta Hasutan yang mempunyai bidang kuasa yang begitu meluas bagi mengawal hasutan dan berkecenderungan untuk menghasut,” kata Gayathry.

Tiada ulasan: