Selasa, 7 April 2009

Calon BN buat laporan tentang gambar palsu

MALAYSIA KINI


Calon BN Ismail Saffian membuat laporan di balai polis Simpang di Perak berhubung penyebaran gambar yang telah diubahsuai yang menunjukkan beliau bersama dengan pelayan bar.

Dalam laporannya, Ismail mendakwa gambar tersebut terkandung di dalam sepucuk surat layang mengenai tuduhan tersebut.

Katanya, surat itu dialamatkan kepada Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak, memohon kemaafan kerana terbabit dengan pelayan bar terbabit.

"(Fitnah) bukan sebahagian daripada budaya orang Malaysia," katanya sambil menambah perbuatan itu memusnahkan reputasi dan keluarga.

Bercakap kepada pemberita di balai polis tersebut, Ismail menuduh PAS bertindak sedemikian kerana mahu mencemarkan nama baiknya.

Ismail tiba di balai tersebut sejurus selepas seorang perayu undi PKR juga membuat laporan polis kerana mendakwa kehormatannya telah dicabul.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya ketegangan antara penyokong kedua belah pihak, yang berkumpul di depan balai polis tersebut, tetapi tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam laporannya, perayu undi PKR itu yang berusia 20 tahun, berkata beberapa individu yang dipercayai petugas parti lawan, telah mengurungnya dan mencabul kehormatannya.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, Ismail berdepan dengan calon PAS, Datuk Mohd Nizar Jamaluddin dan calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Tiada ulasan: