Isnin, 6 April 2009

Bukit Selambau: Peluang KeADILan lebih cerah, BN hadapi laluan getir

SUARA KEADILAN


Menjelang hari pengundian pada pilihanraya kecil Dun N.25 Bukit Selambau bakal menyaksikan BN berhadapan dengan laluan getir untuk memenangi pilihanraya kecil berkenaan.

Meskipun Kempen pilihanraya kelihatan agak perlahan pada awalnya, namun program-program ceramah yang dijalankan pada 10 hari terakhir oleh Pakatan Rakyat terus mendapat sambutan yang begitu baik di kalangan masyarakat di sini.

Kenyataan ini dapat dilihat melalui sokongan padu rakyat pelbagai kaum dalam pelbagai kempen dan program yang dianjurkan Pakatan Rakyat.

Pelbagai isu di bawa oleh Pakatan Rakyat samada isu di peringkat tempatan dan Nasional, berjaya menarik perhatian pengundi dan sokongan padu kepada parti itu.

Isu pembangunan, kemudahan asas dan pemilikan tanah menjadi senjata ampuh buat Pakatan rakyat untuk mengekang sokongan terhadap Barisan Nasional yang telah berkuasa selama 50 tahun di kawasan Bukit Selambau.

Pilihanraya kecil ini, turut mencatat sejarah yang tersendiri apabila seramai 13 calon bebas bersaing untuk dipilih sebagai wakil rakyat.

Namun ramai pemerhati berpendapat calon-calon bebas tersebut tidak langsung memberikan saingan kecuali menempah tiket untuk kekalahan dan kehilangan wang deposit.

Sementara di peringkat nasional, isu peralihan kuasa Perdana Menteri, Najib Razak dan kaitannya dalam kes pembunuhan model Altantuya Shaariibu terus menghantui BN.

Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim yang menghabiskan masa beberapa hari dan berulang alik dari Batang Ai, Sarawak dan Parlimen Bukit Gantang, sering mengulangi pendirian dan agenda KeADILan yang merentasi politik perkauman.

Beliau mengulangi tentang pendirian dan dasar politik baru yang di bawa oleh KeADILan adalah berbeza dengan amalan politik lama Umno dan BN yang dipenuhi rasuah dan pelbagai kepincangan.

Dalam ucapan-ucapannya, Anwar tidak jemu menyebut tentang agenda pemerkasaan rakyat, kebebasan pelbagai institusi kerajaan, kebebasan media, penghapusan rasuah, kedaulatan bahasa dan pelbagai isu menyentuh hubungan kaum, ekonomi dan sosial masyarakat.

Beliau memiliki jadual yang sangat padat bertemu dengan rakyat termasuk wakil-wakil NGO dan pemimpin setempat sepanjang berada di sini.

Namun sosok tubuh pemimpin berjiwa rakyat ini sangat kental dan tidak mengenal penat. Pada hari pertama hingga terakhir menjelang hari pengundian esok, Anwar memiliki jadual yang sarat dari pagi hingga ke tengah malam.

Kemuncak program Anwar di sini ialah Ceramah Grand Finale pada malam ini yang bakal menyaksikan ribuan rakyat turun untuk mendengar amanat beliau di Sungai lalang.

Sementara itu, Kemasukan bekas Naib Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) ke dalam KeADILan dua hari lalu memberi temparan hebat kepada BN apabila berjaya membawa 1,500 ahli nya dari Dun berkenaan ke dalam keADILan, manakala 11 cawangan parti itu di kawasan ini terpaksa dibubarkan.

Beberapa hari sebelum hari pengundian, ketua Hindraf Kedah, R Ramu menyatakan sokongan penuh kepada calon Pakatan Rakyat, S.Manikumar pada satu program ceramah di Sungai Lalang.

Perkara ini memberi kejutan buat Barisan Nasional khususnya MIC yang cuba mengelirukan penduduk di kawasan ini dengan menyatakan Pakatan Rakyat telah kehilangan sokongan majoriti masyarakat India.

Manakala bagi BN, program dan kempen yang dijalankan hanya menggunakan serangan peribadi untuk memburuk-burukkan imej calon dan Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama, program ceramah yang dijalankan oleh BN kelihatan hambar dan tidak mendapat sokongan.

Ini dapat diperhatikan di bilik-bilik gerakan mereka yang lebih ramai petugas-petugas dari luar kawasan, berbanding para penyokong parti itu sendiri.

Selain itu, kempen pilihanraya di Dun Bukit Selambau turut dicemari dengan politik wang dan pengundi hantu yang didalangi parti pemerintah.

Angkatan Muda keADILan, melalui sistem menang pilihanraya (Sismep) yang dijalankan keADIlan mendapati sebanyak 3,029 pengundi hantu didaftarkan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Badan Pemantau bebas Pilihanraya (Mafrel) turut mengesan sejumlah besar pengundi hantu yang telah mati, dihidupkan semula dalam daftar pemilih SPR.

Hari ini merupakan hari terakhir pengundi di kawasan ini menentukan siapakah calon yang bakal di pilih oleh mereka, menjelang tamat masa berkempen tengah malam nanti.

Tiada ulasan: