Jumaat, 3 April 2009

'BN perlu masa' tarik sokongan Cina

Jimadie Shah Othman


Barisan Nasional (BN) mengakui memerlukan lebih masa bagi menarik sokongan masyarakat Cina berbanding pengundi Melayu dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang.

"Masyarakat Melayu agak mudah. Masyarakat Cina, mengambil masa sedikit. Sebab itu kita perlu memberikan penjelasan, bercakap dengan mereka, berjumpa dengan pemimpin masyarakat mereka," kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"(Juga) memberitahu (mereka) pentingnya memberikan sokongan kepada kita. Nampaknya ini cukup berkesan sekali," katanya ketika ditanya sama ada BN sudah selesa dengan sokongan Melayu dan menfokuskan kempen kepada kaum Cina.

Muhyiddin juga menyifatkan masyarakat Cina sebagai "pragmatik" dan "tahu apa yang baik untuk mereka".

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas berucap dalam majlis makan malam perdana BN di hadapan 2,800 masyarakat Cina di Simpang malam tadi.

Turut hadir calon BN Ismail Saffian, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Khadir, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Su kon, Naib Presiden MCA Datuk Dr Ng Yen Yen dan bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Rakyat (PPP) T Murugiah.

"Gerakan kita tertumpu kepada semua, bukan kita hendak lihat, ini penting (sebab) undi Cina, (atau) ini penting, undi Melayu. (Semua kaum) yang ada dalam dalam kawasan ini cukup penting," katanya.

Sampai maklumat betul

Beliau yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri mendakwa, sikap pengundi Cina terhadap BN sudah berubah di ketiga-tiga kawasan pilihanraya kecil, termasuk di Bukit Selambau dan Bantang Ai.

"Ini menunjukkan bahawa (dakwaan) pembangkang, (bahawa) mereka ini (pengundi Cina) menyokong mereka (PAS) adalah tidak betul. Kita menyampaikan maklumat yang betul," katanya.

Muhyiddin berkata, peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak turut menggalakkan perubahan sikap masyarakat berkenaan.

"Saya melihat dengan pimpinan baru, dengan saf baru, keputusan pemilihan Umno, Insya-Allah, selepas ini akan ada saf kabinet baru. Nampaknya mereka akan meletakkan harapan barulah.

"Dalam BN, kita dah buat banyak (jasa). Tetapi dengan perdana menteri baru kita, dengan pendekatan 'One Malaysia' atau 'Satu Malaysia', kita akan membuat perubahan dan pembaharuan dalam parti, dalam kerajaan, (dan) menyelesaikan dasar-dasar kita buat masa ini.

"Kepimpinan baru, keyakinan baru, satu semangat baru," katanya dalam keadaan hujan sejak awal petang.

Beliau sebelum itu, dalam ucapannya meminta semua pihak memberikan sokongan baru kepada bakal perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan barisan pimpinan kabinet yang baru nanti.

'Ada sedikit masalah'

"Nanti Datuk Seri Najib akan mengumumkan jemaah menteri. Saya harap saya masih kekal sebagai menteri lagi," katanya berseloroh.

Sementara itu, Koh berkata, calon lawan mereka daripada PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, memfokuskan kempen kepada masyarakat Cina kerana PAS tidak dapat meningkatkan lagi undi Melayu.

"Sememangnya begitu. Mungkin beliau berpendapat tidak dapat meningkatkan lagi sokongan terhadap beliau di kalangan orang Melayu dan (seterusnya) menumpukan perhatian kepada pengundi Cina dan India," katanya kepada pemberita di majlis yang sama.

Berucap dalam keadaan hujan yang tidak berhenti sejak petang, Koh yang memakai kasut getah hitam ala sitkom terkenal Phua Chu Kang, berkata setelah lima hari kempen, Gerakan dapat menarik kembali sebahagian sokongan masyarakat Cina daripada menyokong pembangkang.

Ditanya kesahihan dakwaan bahawa Gerakan mempunyai masalah keserasian dengan Umno dalam kempen di Bukit Gantang, Koh menafikan perkara itu.

Katanya, 'diakui ada sedikit masalah' dan dapat diatasi dengan 'rundingan sejujur hati'.

Zambry pula dalam ucapannya merayu pengundi supaya memberi sokongan kepada calon BN kerana "beliau (Ismail) pandai senyum".

"Smile, namanya Ismail, dia pandai senyum. Tetapi sebelum ini dia malu-malu hendak senyum sebab gigi, sini ada, sana tak ada," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

Tiada ulasan: