Ahad, 12 April 2009

BN kalah kerana Mahathir?

Azizi Hj Abdullah


Umno tak salah apabila kalah, baik di Bukit Selambau atau Bukit Gantang. Yang salah, yang buat hal, yang menunjuk pandai, yang nak tunjuk juara ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, pengasas Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Ternyata matematiknya sangat lemah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Beliau sudah tidak bijak lagi bermatematik berbanding kebencian dan kepura-puraan rakyat terhadapnya.

Mungkin ada orang bertanya, kenapa mesti dihempuk ke atas kepala Dr Mahathir sedangkan beliau baru masuk Umno kali kedua? (Nak tergelak, bagaimana seorang negarawan boleh masuk keluar parti, macam keluar masuk panggung wayang).

Jawab kita: Yalah, kerana itulah BN kalah di dua bukit walaupun menang di satu batang. Pada hari penamaan calon saya bertemu dengan beberapa penganalisis politik, baik dari universiti tersohor mahupun kaki 'cokia' yang selalu tepat bacaan mereka.

Semua berkata, PAS dan KeADILan atau Pakatan Rakyat agak sukar untuk mengambil kembali dua kawasan ini. Dan memang pun begitu apabila ditokok pula oleh "bengong dan bahlolnya" sesetengah pengundi Melayu di kampung apabila mereka menerima 'mee segera' atau pembangunan 'sandwich' dari kerajaan BN.

Lain daripada pengundi Cina di bandar dan pekan. "Potong lancau pun kami tak akan sokong," kata seorang Cina di Kuala Sepetang. Dalam keadaan kelam-kabut, hempas-pulas, pujuk rayu dan graf BN (Umno) naik menyacak selepas pemilihan agung Umno, selepas Dato' Sri Najib Razak diisytihar menjadi Perdana Menteri, selepas Tun Abdullah BAdawi begitu mengalah, dengan senyumnya, tiba-tiba munculnegarawan yang dianggap hebat muncul di atas pentas perhimpunan.

Esoknya dibuat pengumuman yang beliau akan rujuk kembali ke Umno, parti yang dianggapnya hancai di bawah pimpinan Abdullah. Maka dengan bangga pula diumum akan turun ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau, yang seolah-olah beliau memberitahu bahawa dengan turunnya, maka apa parti pun akan kalah kerana baginya selain dari Umno, semuanya haprak, malah Umno sendiri haprak ketika dia membebel di zaman Abdullah.

Siapa yang mendakwa kehebatan Dr Mahathir ini? Siapa yang menganggap beliau hebat selepas masuk Umno kali kedua dan siapa yang mendesak agar turun ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Jawapannya, tak seorang pun suruh dan tak secalit tahi pun yang minta. Bukan kerana memikirkan badan sudah sedikit melengkong, pungkur tirus dan mata sudah terbeliak dek kepikunan melampau tetapi kerana usia seperti itu dianggap sudah memasuki gapura 'nyanyuk'dan menunggu waktu hujung asar seperti kata Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS dulu.

Simpul kata, maksud tersirat ialah 'come back' beliau bukanlah dikehendaki sesiapa, termasuk Umno sendiri. Tetapi oleh kerana kepimpinan Umno terdiri dari orang yang tidak mahu melukakan hati 'negarawan' mereka, maka tak ada siapa pun yang tergamak berkata: "Tun, tak payahlah ... rehat saja di rumah. Elok saja ke misjid, bersandar di tiang dengan tok guru baca bab fardu ain dan fardu kifayah, atau berzikir bertahmid. Tak manis balik ke dalam politik kerana balik dalam keadaan begini nanti orang kata gila talak tak tentu pasal.

"Tetapi oleh kerana tidak ada kesedaran, dikuasai perasaan ego dan menganggap orang lain bodoh, tak layak, tak sesuai maka dengan gagah-gagah Dr Mahathir menapak juga naik ke pentas dalam keadaan menjerut tali pinggang hingga habis lubang.

Saya di antara ratusan orang yang bersesak-sesak di dewan LKIM Sungai Patani pada 6 April. Tapi saya terfikir, begitukah seorang negarawan berdiri di atas pentas, menghentam orang lain begitu rupa dengan lagu lama, lirik basi, nada garau dan memek muka yang menggambarkan bahawa dalam sepanjang hidup manusia yang dihentamnya, tak sebutir pun kebajikan dilakukan.

Malah manusia yang suka 'punggung' ini bagi beliau bukan layak menjadi pemimpin. Wauuu, ramailah yang bertepuk. Anehnya mereka tidak tahu kenapa mereka bertepuk, seperti sedemikian ramai yang datang, tidak tahu kenapa mereka disuruh datang.

Maka gahlah dalam media, Dr Mahathir kembali ke pangkuan Umno, mencebur diri dan sedia membantu memenangi BN. Ada seorang pengundi India di Bukit Selambau jerkah kepada saya; "Tuan, apa itu logikkah? Itu batang sendiri pun tarak berfungsi, mau jaga batang lain ka?"

Saya jerkah pengundi itu: "Poorrraaahhhh!" Malang dan sayang sekali, Dr Mahathir tidak pernah membaca reaksi rakyat, sama seperti beliau tidak pernah membaca kemarahan rakyat ketika beliau menjadi perdana menteri dulu.

Selepas itu saya tidak tahu lagi di mana Dr Mahathir turun berkempen bagi membantu BN pulih, mengeliat kembali. Dan saya adalah di antara orang yang sangat bimbang kekalahan PAS dan KeADILan kerana sekali pandang orang Melayu sudah terpengaruh dengan Dr Mahathir.

Bukankah Dr Mahathir, Perdana Menteri selama 21 tahun, yang membuat segala pembangunan, yang memberi wawasan dan di ekor kuasa beliau, satu pembunuhan dibuat terhadap roh bahasa, dengan menginggeriskan matematik dan sains sehingga anak-anak Melayu terkial-kial dalam bilik peperiksaan.

Anehnya, graf bacaan politik pun berubah. Penganalisis politik sebaik-baik Dr Mahathir turun pentas, bukan melihat bagaimana mengah dan penatnya negarawan yang syok menghentam pembangkang tetapi memberi andaian, graf politik sokong BN sudah naik memuncak.

Maka radio dan TV, akhbar perdana juga memuji-muji Dr Mahathir yang sanggup naik pentas, walaupun lagu lama dinyanyikan, walaupun lirik basi divokalkan, walaupun lenggok-lenggang macam boria kalah nombor lapan, kononnya peratus sokongan kepada BN mendadak naik dan pembangkang menurun kepada 35 peratus.

Malang, tak seorang pun penganalisis meletak tapak tangan di dada pengundi, di ubun-ubun rakyat dua kawasan untuk mengetahui keadaan gelora perasaan. Tak seorang pun bertanya rakyat yang sudah mula diajar dengan kebangkitan dan kesedaran baru, apa pendapat apabila Dr Mahathir kembali ke dalam Umno?

Maka, malam pengiraan undi, sebaik-baik saja keputusan di buat, saya di antara ribuan yang tersepit di tengah-tengah orang ramai, basah kuyup hampir pecah telinga apabila dijerit kiri dan kanan, sesuatu yang saya tidak sangka."Padan muka Mahathir!"

"Haaa, baru dia raseee!"

"Apa, dia ingat dia masih berpengaruh!"

"Ini semua kerana Mahathir!" Dan tanpa ingin berbohong atau membuat fitnah, saya dengan jujur dan ikhlas, tidak dapat menahan kesal apabila berulang kali menganggap kemenangan PAS dan kekalahan BN di Bukit Gantang adalah kerana Dr Mahathir.

Ternyata anggapan sebahagian ramai yang bersesak-sesak keluar malam itu menyesali kembalinya Dr Mahathir dan kemenangan PAS malam itu seperti mahu mengajar BN dan memberi ingatan bahawa Dr Mahathir tidak menguntungkan BN lagi.

Di sepanjang jalan pulang dalam bandar Taiping, orang-orang Cina berdiri di kaki lima, mengangkat tangan dan menjerit-jerit: "Itu Mahathir punya pasallah! Itu Mahathir punya pasallah!" Lalu dalam perjalanan pulang bersama lima orang kawan, saya menyimpulkan bahawa kembalinya ke dalam Umno di saat-saat terakhir, bererti beliau mencipta kebencian bertaraf nasional kepada dirinya sendiri.

Rakyat sudah bijak menilai. Ada beberapa sebab. Di antaranya kerana seorang negarawan yang sepatutnya berada di ruang masjid, beramal bakti dengan amal makruf nahi mungkar tidak sepatutnya berdiri di atas pentas menghentam lawannya begitu keras.

Kedua, dengan lagak sebagai orang yang tidak pernah mengakui kelebihan orang, beliau berlakon menunjuk betapa Abdullah Badawi sesen pun tidak berguna baginya, sedangkan Abdullah juga ada orangnya.

Ketiga, beliau menyuluh dengan cermin kelabu, sedang yang disuluhnya tidak tahu apakah rakyat masih sukakan beliau. Maka kerana ini, saya menyimpulkan, kekalahan BN di dua bukit adalah kerana Dr Mahathir mula masuk campur.

Dan kehancuran bukan saja kekalahan dalam pilihan raya, malah kepada Umno sendiri jika kepimpinan Umno sekarang tidak 'hubaya-hubaya' dengan permainan, percaturan politik tua Dr Mahathir ini.

Siapa pun akan mengakui, kembali Dr Mahathir ke dalam Umno tidak memberi apa-apa terhadap kestabilan politik dan laba yang baik atas nama membina negara tetapi tentulah ada satu agenda tertentu yang tidak memberi untung kepada rakyat.

Terus terang saya sangat kesal kerana Dr Mahathir kembali secara mendadak sehingga menyebabkan saya menjadi kesal pula apabila mendengar tohmah dan ejekan rakyat terhadapnya. Beliau merendah martabatnya sendiri. Tapi malangnya "come on" beliau memusnahkan kepercayaan saya terhadap negarawan yang pintar, apa lagi apabila memikirkan sekian ribu anak bangsanya terkial-kial dengan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun sangat gembira bilamana 7 April malam, ketika sedang menunggu keputusan tiga pilihan raya kecil. Baru saya sedar sungguh-sungguh bagaimana rakyat membenci mantan perdana menteri kelima ini._

Tiada ulasan: