Selasa, 7 April 2009

Beri kemenangan kepada Nizar, Manikumar dan Jawah

Mohd Rashidi Hassan


HARI ini adalah hari penentu kepada Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak, Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak.

Ianya adalah antara pertembungan yang paling sengit antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

Ketiga-ketiga kerusi ini ditandingi oleh wakil Pakatan Rakyat, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS), Manikumar dan Jawah ak Gerang dari Parti KeADILan Rakyat.

PRK ini bukan soal individu yang bertanding, tetapi mesej yang hendak dibawa mereka kepada rakyat. Ketiga-tiga calon ini merupakan simbol perpaduan dan komitmen Pakatan Rakyat, sebagai kesinambungan usaha bagi menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Seperti kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, bukan soal siapa yang jadi Perdana Menteri atau Presiden Umno, jika 52 tahun rakyat sudah tertipu dengan BN, maka apa perlunya kali ini, dalam tiga PRK ini, rakyat mahu tertipu lagi.

Maka tiga PRK ini amat signifikan kepada politik Malaysia. Ia harus dijadikan kesinambungan kepada penolakan berterusan rakyat terhadap BN sejak PRU 8 Mac 2008.

Kemenangan harus diberikan kepada Pakatan Rakyat selepas dua PRK iaitu di Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu memihak kepada Pakatan Rakyat.

Antara kelemahan Abdullah dan imej baru Najib

Pada peringkat awal kempen PRK, Umno-BN kelihatan tidak bertenaga, akibat perpecahan dalaman Umno yang serius. Sehingga ada kalangan Umno yang menganggap jika pun BN kalah tidak mengapa, kerana ianya adalah era bekas Presiden Umno dan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi sesetengah ahli Umno, PRU 2008 adalah penolakan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah. Penolakan berterusan pada PRK Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah juga kerana kelemahan Abdullah.

Namun, disaat-saat akhir BN berkempen secara agresif, dan menunjukkan mereka terpaksa berhempas pulas untuk merampas kerusi dua di dua bukit dan mengekalkan kemenangan di Sarawak.

BN seperti biasa mempergunakan segala jentera kerajaan dan media propaganda menyerang hebat Pakatan Rakyat, kerana sehingga saat-saat akhir mereka masih gagal mengagak tahap sokongan rakyat yang telah hilang sejak PRU 2008.

Usaha pertama BN, ialah dengan hanya mempertaruhkan isu perlantikan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ke 6, dengan berapa reform awal yang dicetuskan bagi membina persepsi baru rakyat, khususnya pengundi supaya kembali kepada BN.

Reform diistilahkan sebagai suatu pendekatan yang lebih demokratik dan mesra rakyat. Umno-BN mahu Najib dipertontonkan sebagai seorang PM yang lebih baik daripada Abdullah Badawi.

Tetapi persepsi yang hendak dipinta kepada rakyat, tidak berlaku secara natural. Ianya seolah-olah dipaksakan. Dalam keadaan ini Umno juga sukar mengagak, sama ada penolakan rakyat pada PRU 2008 disebabkan oleh kelemahan Abdullah atau penolakan rakyat terhadap Umno secara total.

Hakikatnya, rakyat meragui Umno-BN. Secara umumnya juga' rakyat masih ragu bahawa Najib lebih demokratik daripada Abdullah kerana, belum apa-apa lagi, ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sudah diserbu, disekat dan ditembak dengan gas pemedih mata.

BN dalam ketakutan

Kemudian, BN mempergunakan polis dengan melarang juru kempen Pakatan Rakyat menyentuh isu yang berkaitan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu dan isu keputusan Sultan Perak berkaitan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Nizar.

Langkah-langkah ini hanya membuktikan bahawa BN berada di dalam ketakutan. Takut dengan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Seolah-olahnya BN mahu 'bertinju dengan lawannya yang diikat tangan dan kaki'.

Jika BN benar-benar berani, ancaman, gangguan dan larangan seperti di atas, tidak harus wujud sama sekali. Jelas BN amat takut dengan kuasa rakyat.

Maka, mereka membuat serangan peribadi dengan menggunakan media pengampu terhadap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Malangnya, tidak sesekali memberikan kesan kerana, sejak tiga pilihan raya umum, tahun 1999, 2004 dan 2008 beliau sudah menjadi sasaran utama.

Malah dalam PRK Permatang Pauh tahun lepas, Anwar dikecam dengan amat dahsyat. Sumpah Saiful jadi alat, bekas ketua AMK, Mohamad Ezam Md Noor dijadikan pecacai, Duta Mongolia ke Malaysia turut diheret menyokong BN.

Namun, gamble Umno-BN ini tidak menjadi. Rakyat konsisten menolak Umno-BN dengan memberi undi yang lebih besar kepada calon-calon Pakatan Rakyat.

Kali ini pendekatan yang sama dilakukan. Oleh kerana BN terlalu desperado, media pengampu diarahkan memutarkan kembali rakaman video lama Anwar. Mesej dipaparkan dengan secara tidak profesional itu, dibuat kerana hendak mencetuskan perpecahan di kalangan Pakatan Rakyat.

Kerana kononnya pada ucapan Anwar itu, beliau menyerang PAS dan DAP, yang kini menjadi sekutu KeADILan dalam Pakatan Rakyat.

Anwar sudah dicerca dan diaibkan sekian lama, dengan cara yang jauh lebih hodoh daripada apa yang berlaku pada PRK ini. Serangan terhadap keperibadian Anwar, tidak langsung memberikan kesan kepada perubahan pengundi. Simpati lagi ada.

Mahathir membawa rebah

Selain daripada menyerang Anwar, BN cuba untuk membuat gamble terbaru dengan mengeksploitasi kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kembali ke dalam Umno, kononnya dengan kehadiran beliau, akan membantu sokongan rakyat kepada BN.

BN nampaknya tidak sedar bahawa 'kuda tua' yang sudah lama pencen itu, juga tidak dapat banyak membantu. Mungkin ada lah dua tiga kerat golongan pengundi saluran satu yang masih meminati beliau.

BN seolah-olahnya lupa bahawa kini, majoriti pengundi saluran dua, tiga dan empat sudah lama menolak BN, antaranya kerana kebencian terhadap 'kediktatoran' Mahathir selama dua dekad.

BN amat berharap dengan kehadiran Mahathir, orang Melayu akan kembali menyokong mereka. Secara rasionalnya mungkin hanya orang-orang Umno sahaja yang cuba untuk consolidate kembali. Hanya orang-orang Umno sahaja yang masih minat dengan celoteh Mahathir.

Buktinya cukup jelas. Di kedua-dua kawasan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, BN menggunakan taktik lama, iaitu mengupah dan mengangkut orang-orang Umno untuk hadir meramaikan majlis ceramah Mahathir. Khabanya upah yang diterima setiap seorang di antara RM100 hingga RM300, ikut jawatan dalam parti.

Hakikat ini berbeza dengan ceramah Pakatan Rakyat. Rakyat hadir secara sukarela, tanpa disuruh, diupah atau dipaksa.

Untuk lebih fokus kepada Mahathir, ucapan beliau yang disiarkan secara langsung oleh RTM, tidak banyak memberikan impak. Ada yang berpendapat Mahathir hanya berceloteh dan merapu.

Namun harus diingat, Umno-BN bukan milik Mahathir seorang. Ia juga bukan milik Najib. Orang -orang Abdullah yang hendak dimangsakan Mahathir-Najib masih ramai yang berkeliaran dalam Umno.

Namun begitu, secara keseluruhan ahli-ahli Umno tidak ada ideologi yang jelas. Mereka hidup 'ibarat lalang yang mengikut ke mana arah angin bertiup'.

Inilah wajah Umno yang sebenar. Selama hampir enam tahun Mahathir dilayan seperti 'kupang tembaga', diherdik, dihina dan dimalukan oleh orang-orang Umno sendiri.

Selepas ini Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menerima layanan buruk yang sama dari kumpulan Najib

Trend rakyat dijangka kekal menyokong Pakatan Rakyat

Banyak analisis di buat mengenai keputusan Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Tidak dinafikan, ianya adalah pertarungan yang sengit.

Serangan dahsyat media pengampu BN jelas menunjukkan mereka sebenarnya berada dalam keadaan yang amat terdesak.

Di Batang Ai, BN menghadapi laluan getir kerana ketokohan Jawah yang sekian lama menang dalam lima PRU sebagai calon bebas di Lubok Antu.

BN turut menghadapi penolakan berterusan rakyat terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud

Namun bagi BN, jika kalah di Batang Ai pun tidak mengapa, kerana ia tidak memberi kesan kepada Umno di semenanjung.

BN hanya memberikan tumpuan habis-habisan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Di Bukit Gantang, jika BN hendak menang, mereka memerlukan swing yang besar dari kalangan orang-orang Melayu.

Fakta-fakta PRU 1999 hingga 2008, BN hanya mendapat sekitar 51 hingga 54 peratus sahaja sokongan Melayu. Kemenangan BN pada 1999 dan 2004 di Bukit Gantang dibantu oleh undi bukan Melayu.

Pada PRU 2008, BN mendapat maksimum 54 peratus sokongan Melayu. Tetapi BN tewas kerana majoriti pengundi bukan Melayu, mengundi calon PAS, allahyarham Roslan Shaharom.

Kali ini, Nizar mendapat overwhelming support dari pengundi Cina dan India. Malah penganalisis menjangkakan, Nizar akan memperolehi undi yang lebih besar dari kalangan pengundi bukan Melayu berbanding Roslan.

Maka, jika BN hendak menang PRK kali ini, BN memerlukan swing sebesar 60 peratus dari pengundi Melayu, dan dalam masa yang sama mengekalkan undi bukan Melayu yang diperolehi oleh Dato' Ahmad Azim Zabidi pada PRU 2008.

Hakikat ini agak sukar bukan BN. Populariti Nizar di kalangan pengundi bukan Melayu terlalu besar.

Dalam ertikata lain diandaikan, jika Melayu memberikan 46 peratus undi kepada Nizar dan bukan Melayu kekal memberikan undi yang sama pada 2008, Nizar akan tetap menang dengan majoriti tipis.

Tetapi jika, Melayu kekal 46 peratus mengundi PAS, berlaku swing besar Cina dan India, maka Nizar akan menang dengan majoriti yang lebih besar.

Di Bukit Selambau, pada peringkat awal KeADILan agak tergugat dengan perpecahan dan penolakan terhadap calon S Manikumar, dan penajaan pihak-pihak tertentu terhadap 13 calon bebas.

Namun empat hari menjelang pengundian, segala-galanya sudah berubah. Calon-calon bebas yang ditaja dengan tujuan untuk memecahkan undi Melayu dan kaum India dari kalangan penyokong Hindraf, gagal mencapai sasaran.

Dijangkakan, semua calon bebas akan kehilangan wang deposit, kerana tumpuan sebenar rakyat adalah kepada calon KeADILan dan BN. BN mahu merampas kerusi Bukit Selambau dan mengugat kerajaan negeri, manakala calon KeADILan, ditawar menjadi Exco mewakili kaum India dalam kerajaan negeri.

Justeru, KeADILan mendapat sokongan yang besar. PAS Kedah turun secara full force di Bukit Selambau. Pemimpin DAP juga, khususnya dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hari-hari datang berkempen.

Daripada keseluruhan 22 UPU, bagi sekitar 35 ribu pengundi. PAS diamanahkan menjaga 11 UPU yang mengandungi lebih 22 ribu pengundi, majoriti orang-orang Melayu.

Pada PRU 2008, calon bebas V Arumugam memperolehi 13,225 undi menewaskan calon BN, S. Krishnan dengan 10,863. Majoriti 2362. 75 peratus keluar mengundi. Dengan undi rosak yang tinggi iaitu 1694.

Ada perbezaan besar antara undi yang diperolehi oleh KeADILan di peringkat Parlimen berbanding dengan Dun. Iaitu ada kecenderungan yang mengundi KeADILan bagi kerusi Parlimen, tetapi tidak mengundi bebas.

Fenomena ini timbul, pertama kerana sentimen tiada orang Melayu bertanding dan pada 2008, borang pencalonan calon KeADILan, Saiful Izham Ramli ditolak. Maka ada yang tidak mengundi calon bebas.

Namun, fenomena ini dapat di atasi oleh PAS. Di saat-saat akhir, sokongan Melayu kepada calon KeADILan meningkat dengan drastik dan kelebihan kepada Manikumar ialah beliau fasih berbahasa Melayu loghat utara.

Calon-calon bebas digunakan untuk memecahkan undi Pakatan Rakyat. Namun BN terlupa, ada kalangan calon bebas ini juga mempunyai penyokong dari kalangan orang-orang BN juga.

Risiko kepada calon BN dari MIC juga amat tinggi. Mungkin undi yang diterima pada 2008 akan berkurangan.

Dan jika 13 calon bebas gagal memecahkan undi, serta undi yang diterima Arumugam pada 2008 kekal, maka dijangkakan Manikumar akan memperolehi sekitar 3000 majoriti.

Jika keadaan berubah sekali pun, dijangka tidak lebih 2000 pengundi yang akan lari dari KeADILan, Manikumar tetap menang dengan majoriti tipis.

Apa pun segalanya terserah kepada rakyat. Semoga mereka tidak termakan dengan propaganda dan tipu helah BN._

Tiada ulasan: