Ahad, 5 April 2009

Batang Air: Polis pantau kegiatan pertaruhan keputusan pilihan raya

BERNAMA


LUBOK ANTU: Sindiket yang mensasarkan untuk mengaut keuntungan dengan menganjurkan pertaruhan bagi keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air pada 7 April, diberikan amaran.

Polis sedang memantau kegiatan seumpama itu.

Satu pasukan polis khas yang dianggotai pegawai polis negeri dan ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman sudah dibentuk bagi memastikan sindiket seumpama itu tidak menjalankan kegiatan itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohmad Salleh, hari ini mengesahkan polis akan memantau perkara itu.

"Ini tetap dilakukan walaupun polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai pembabitan sindiket dalam sebarang bentuk pertaruhan bagi keputusan pilihan raya kecil ini," katanya pada taklimat harian mengenai perkembangan terkini pilihan raya kecil itu, di sini.

Sementara itu, Mohmad berkata, polis menerima dua laporan mengenai gangguan sepanjang tempoh berkempen.

"Ia mengenai poster di simpang jalan di sini dan di sebuah rumah panjang yang dirosakkan," katanya dan menurutnya mereka yang menemui poster yang mengandungi perkataan kesat patut melaporkannya kepada pasukan pemantauan khas yang dianggotai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan wakil Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tiada ulasan: