Rabu, 8 April 2009

Badan bebas kaji punca kekalahan

UTUSAN ONLINE


TAIPING – Satu badan bebas akan ditubuhkan bagi mengkaji dengan lebih tepat punca kekalahan Barisan Nasional (BN) di kawasan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mencadangkan perkara tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Penubuhan badan bebas ini supaya kita dapat mengetahui secara lebih tepat sebab-sebab kekalahan sama ada dari sudut jentera atau apakah isu yang sebenarnya telah mempengaruhi pengundi,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Muhyiddin yang merupakan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) berkata, badan bebas tersebut akan diwujudkan secepat mungkin sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan.

Katanya, hasil kajian bukan sahaja akan digunakan sebagai panduan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau tetapi di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi sebarang pilihan raya kecil akan datang.

Ditanya adakah kekalahan di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil ini merupakan isyarat rakyat terhadap perubahan dalam pentadbiran kerajaan, kata Muhyiddin:

“Mungkin ada perkara-perkara tertentu yang lebih terfokus di sini atau berkaitan dengan isu-isu nasional, ini akan kita teliti. Bagi saya, ini bukan satu yang disebutkan referendum tentang soal kepimpinan.

“Mungkin faktor kepimpinan Datuk Seri Najib ini baru sangat, ia belum menyerap masuk dalam jiwa pengundi. Tetapi saya yakin bila pimpinan baru ini mula menjalankan tugas dan telah dapat melihat pembaharuan dan perubahan di bawah, kita harap keraguan rakyat dapat diyakinkan,” katanya.

Mengenai sama ada tarikh pilihan raya yang hampir dengan Perhimpunan Agung UMNO antara penyebab kekalahan, tegas Muhyiddin, semua pihak harus menerima keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Apa pun katanya, selepas Perhimpunan Agung UMNO, rakyat dapat melihat wujud perubahan tetapi kesannya mungkin terlalu awal untuk diterjemahkan.

Tentang pengundi Cina, jelas Muhyiddin, BN akan mengkaji segala kemungkinan tersebut menerusi badan bebas yang akan dilantik itu.

Dalam masa sama, beliau menolak pendapat yang mengatakan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyumbang kepada kekalahan sebaliknya berpendapat ia memberi kesan positif kepada perpaduan UMNO.

Kata Muhyiddin, kekalahan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau merupakan satu cabaran baginya dan beliau bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

Terdahulu, Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada calon Batang Air, Malcom Mussen Lamoh dan jentera BN yang telah bekerja keras memenangi kerusi ditandingi.

“Nampak di Sarawak, sokongan kepada BN masih kukuh walaupun kawasan ini kawasan pedalaman mereka masih kuat menyokong BN,” ujar beliau.

Menurut Muhyiddin, BN menerima keputusan yang telah dibuat oleh pengundi di kedua-dua kawasan yang tewas tersebut.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

“Walaupun kita telah bekerja keras, Menteri Besar (Zambry) sekali turun ke bawah menjelaskan semua perkara tetapi tidak cukup menyakinkan.

“Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada jentera kita dari Perak, luar Perak, turun membantu, bekerja keras.

“Demikian juga di Bukit Selambau, kita terima kekalahan ini walaupun majoriti meningkat, tetapi apa pun ini keputusan yang kita telah terima,” katanya.

Tiada ulasan: