Khamis, 23 April 2009

ASM kaum Cina habis

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH


JOHOR BAHRU - Kesemua 999 juta unit unit dana Amanah Saham Malaysia (ASM) yang diperuntukkan kepada kaum Cina dan mula dijual semalam telah habis dilanggan sepenuhnya.

Bagaimanapun daripada 1.665 bilion unit ditawarkan kepada bumiputera, hanya 7.65 juta sahaja berjaya dijual manakala 53.5 juta daripada 499.5 juta peruntukan kepada kaum India telah dilanggan.

Baki 166.5 juta unit saham diperuntukkan kepada rakyat Malaysia yang lain dengan jumlah keseluruhan 3.33 bilion unit tawaran baru.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dalam kenyataannya di sini hari ini menyeru semua pelabur yang layak segera mengambil kesempatan melanggan baki unit amanah itu.

"Memandangkan masih terdapat 446 juta unit lagi untuk langganan oleh kaum India, saya menyeru agar mereka merebut peluang membelinya.

"Pelabur bumiputera dan kaum India juga tidak sepatutnya melepaskan peluang melabur dalam ASM," katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penawaran unit tambahan ASM sebanyak 3.33 bilion ketika melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 (MSAM) yang dianjurkan di negeri Johor.

Langganan unit amanah itu dihadkan kepada 20,000 unit bagi setiap pemegang akaun bertujuan memberi peluang kepada ramai rakyat Malaysia melabur.

Sementara itu, Hamad Kama Piah mengingatkan orang ramai yang tidak berkesempatan untuk melabur dalam ASM, supaya merebut peluang berkenaan melalui penawaran 2 bilion unit tambahan ASW 2020 yang akan dibuka langganannya mulai 27 April ini.

Beliau berkata, tawaran unit-unit ASW 2020 itu adalah tertakluk kepada peruntukan 51 peratus kepada bumiputera dan 49 peratus kepada bukan bumiputera.

Katanya, had pelaburan sebanyak 20,000 unit bagi setiap pemegang akaun juga akan dikenakan sepanjang tempoh tawaran.

Tiada ulasan: