Khamis, 9 April 2009

AMK Selangor galak bukan Islam guna ayat al-Quran

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Angkatan Muda Parti Keadilan Selangor (AMK) menggalakkan supaya orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai seruan ke arah kebaikan termasuk menggunakannya dalam kempen politik.

Ketuanya, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, penggunaan ayat-ayat suci al-Quran oleh mereka yang bukan beragama Islam seharusnya dilihat pada aspek positif bukannya dikritik atau sebagainya.

Sebaliknya, beliau menyifatkan penggunaan ayat al-Quran oleh golongan itu adalah satu bukti mereka mengiktiraf kandungan kitab tersebut yang membawa manusia ke arah kebaikan.

“Bukan niat saya untuk mempersoalkan larangan diputuskan mufti seluruh negara namun siapa dan di mana ayat-ayat al-Quran itu digunakan tidak menjadi soal kerana al-Quran itu sendiri diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan untuk semua manusia, bukan hanya umat Islam sahaja.

“Yang penting, ayat-ayat al-Quran ini telah diterima oleh bukan Islam untuk mengajak masyarakat atau pengundi untuk kebaikan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mufti-mufti seluruh negara yang melarang penggunaan ayat-ayat al-Quran oleh orang bukan Islam bagi tujuan kempen atau kepentingan politik.

Ini kerana, tindakan tersebut jelas dilihat sebagai satu cubaan mempersendakan kesucian serta keagungan kitab suci itu.

Keputusan yang dibuat pada Persidangan Mufti-mufti Seluruh Negara, semalam adalah susulkan daripada tindakan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang menggunakan ayat al-Quran dalam satu ceramahnya ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak.

Dalam ceramah tersebut, Kor Ming bukan sahaja membaca ayat al-Quran dengan tidak betul, tetapi beliau turut menyebut ayat yang dibacanya iaitu adalah dari ‘Surah Aura’ yang sebenarnya tidak wujud dalam al-Quran.

“Bagi saya, tidak timbul isu mempersendakan atau menyalahgunakan ayat al-Quran kerana ianya hanyalah sekadar persepsi,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Anuar turut memberitahu soal bacaan yang berbeza itu tidak perlu timbul kerana beliau merasakan rakyat negara ini bukannya terdiri daripada bangsa Arab yang perlu tepat dari segi bunyi dan cara bacaan tersebut.

“Kita sebagai Melayu Islam pun ada kalanya tersalah baca, maka mungkin ada bacaannya sedikit berbeza mengikut dialek masing-masing selagi ia tidak lari dari maksud sebenar,” katanya.

Tiada ulasan: