Isnin, 6 April 2009

Akta ISA perlu dimansuhkan: Haniza

SINAR HARIAN


SHAH ALAM- Cadangan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda dan dinamakan Akta Anti Pengganas tidak dapat mengubah hakikat yang menafikan hak rakyat untuk mendapatkan pengadilan secara terbuka.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, cada-ngan itu tidak akan memberi sebarang kesan sekiranya isi serta kandungan tidak dipinda.

“ISA adalah akta yang menutup suara rakyat sekali gus mampu menakutkan rakyat terutama dalam menyatakan hak mereka.

“Justeru ia digunakan bagi menutup kelemahan kerajaan dengan hanya menggunakan alasan bahawa seseorang yang ditahan itu mengancam keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Wanita MCA supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda dan dinamakan Akta Anti Pengganas bagi mencerminkan fungsinya yang semata-mata bertujuan untuk mengekang kegiatan pengganas, bukan untuk disalahgunakan terhadap orang awam.

Ketuanya, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, walaupun akta itu masih relevan bagi memerangi keganasan, ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya bagi menghalang kebebasan sivil atau orang ramai.

Mengulas mengenainya, Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, akta itu dilihat tidak lagi relevan dan menafikan kebebasan rakyat untuk bersuara menyatakan pendapat.

“Tidak guna jika namanya sahaja ditukar tetapi pesalah itu dihukum tanpa dibicarakan dan asasnya bertentangan dengan hak kemanusiaan.

“Bagi saya, akta tersebut sudah tidak wajar digunakan dan perlu dimansuhkan kerana ia sudah ketinggalan zaman malah ada ruang untuk disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi menghukum rakyat yang tidak bersalah,” katanya.

Haniza turut mempertikaikan cadangan supaya akta berkenaan dipinda sebaliknya menggesa supaya ISA dimansuhkan serta-merta.

“Sebelum ini, Suhakam pernah mencadangkan supaya akta berkenaan dipinda tetapi pihak berkenaan (kerajaan) tidak membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Jadi, sebagai Perdana Menteri baru, saya menggesa supaya akta ini dimansuhkan untuk selama-lamanya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diberi pembebasan lebih awal oleh kerajaan hanyalah untuk meraih undi untuk pilihan raya kecil di tiga kawasan 7 April ini.

“Ini adalah hasil desakan rakyat. Bagaimanapun pengumuman ini, yang dibuat menjelang tiga pilihan raya kecil pada 7 April ini, dilihat sebagai muslihat politik dan tidak ikhlas.

“Tindakan ini hanya untuk meraih undi daripada penyokong terutamanya masyarakat India pada pilihan raya itu nanti,” katanya.

Tiada ulasan: