Khamis, 23 April 2009

125 premis belum ada sijil FC Ia wajib untuk menentukan sistem dalam keadaan baik, selamat

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Sebanyak 125 bangunan di sekitar bandaraya ini belum memiliki Sijil Perakuan Sistem Kelengkapan Kebakaran (FC) Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Hamzah Abu Bakar.

Beliau berkata, sijil perakuan itu diwajibkan untuk ‘Premis Yang Ditetapkan’ bagi memastikan sistem berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Sehingga Mac lepas sebanyak 307 premis yang telah mempunyai FC manakala 112 lagi masih dalam proses untuk memperolehinya dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Beliau berkata, proses mendapatkan FC memerlukan tempoh masa tertentu kerana pemilik bangunan perlu menyediakan dokumen dan maklumat lengkap mengenai bangunan.

“Bagi mempercepatkan proses memiliki FC, pemilik premis dinasihat merujuk senarai yang dilampirkan dalam borang perakuan bomba atau berhubung dengan pegawai di bahagian keselamatan kebakaran jabatan bomba,” katanya kepada Bernama.

Hamzah berkata, sepanjang tahun lepas sehingga Mac tahun ini bomba telah memfailkan 21 kes ke mahkamah bagi premis atau mana-mana orang yang tidak mematuhi keperluan dan kehendak Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Kebanyakan kes adalah melibatkan pelanggaran Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran yang dinyatakan di bawah Seksyen 10, akta berkenaan,” katanya.

Dalam usaha menambahbaik kualiti perkhidmatan, Hamzah berkata, pusat sehenti diwujudkan di setiap negeri bagi memudahkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan.

Tiada ulasan: