Jumaat, 17 April 2009

10 wakil BN dedah kelemahan MB

Muda Mohd Noor


Sepuluh ADUN Barisan Nasional menyebarkan gelagat pentadbiran menteri besar Terengganu - didakwa penuh dengan politik cantas dan kelemahan - yang menjadi asas kemarahan mereka.

Mereka memulaukan persidangan DUN pada Selasa dengan alasan nyawa mereka terancam susulan muncul mesej SMS ugutan bunuh - dipercayai berkaitan ura-ura membawa usul tidak percaya terhadap menteri besar itu.

Dalam laporan mereka kepada semua ADUN parti itu, termasuk exco, Datuk Ahmad Said didakwa memecat pegawai dan tokoh politik dalam era pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh yang digantikannya.

Mereka yang dipecat termasuklah ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Terengganu (TDI) Dr Azmi Omar, dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negeri Terengganu Inc. Datuk Seri Azlan Hashim dan Tan Sri Razali Ismail.

Bekas ketua Puteri Umno negeri, Nordiana Shafie diberhentikan sebagai pengerusi lembaga pengarah Kuantan Medical Centre dan khidmatnya sebagai senator tidak disambung sepenggal lagi.

"Jawatan senator diberi kepada ketua-ketua Wanita (Umno) yang tidak lagi mampu menyumbang kepada negeri," laporan itu dipetik.

Laporan tanpa tarikh itu - yang diperolehi Malaysiakini hari ini - juga mendakwa Ahmad melantik mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengetuai agensi kerajaan negeri.

Tiada ulasan: