Khamis, 23 April 2009

10 ADUN ‘Pemberontak’ UMNO/BN Khianat !

Wan Kay


KUALA TERENGGANU – Negeri Terengganu sekali lagi ‘memahat sejarah’ apabila sepuluh orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), yang kini digelar ’10 Budak Hitam’, memboikot hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu ke-12 pada 14 April lalu.

Tinjauan Buletinonline melalui maklumbalas umum terhadap tindakan ADUN BN yang ponteng itu, orang ramai menyifatkan 10 ADUN terbabit mengkhianati amanah rakyat yang memilih mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu serta gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

Catatan dan komen pada ruang interaktif media cetak, elektronik dan internet mengkritik tindakan ADUN tersebut yang dianggap tidak membawa suara rakyat yang mereka wakili ke dalam Sidang DUN.

Semakan Buletinonline terhadap kertas-kertas berkaitan Sidang mendapati 10 wakil rakyat UMNO/BN berkenaan langsung tidak mengemukakan soalan-soalan dewan sama ada lisan soalan mahukan mahu pun bertulis kepada DUN Terengganu.

Mesyuarat Yang Pertama bagi Penggal Kedua DUN Terengganu ke-12 yang bermula 13 hingga 15 April 2009 telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Dipertua Majlis Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Ibn Sultan Mahmud.

ADUN Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyifatkan mana-mana wakil rakyat yang langsung tidak mengambil bahagian dalam mesyuarat dewan termasuk mengemukakan soalan lisan dan bertulis adalah mengkhianati amanah.

Beliau berkata, rakyat memberi mandat kepada wakil mereka bagi membawa suara rakyat tetapi suara tersebut tidak disampaikan.

“Saya anggap mereka (wakil rakyat) itu telah khianati amanah rakyat yang mahukan wakil mereka membawa masalah dan suara rakyat kepada pihak berkuasa.

“Apa yang berlaku, 10 Adun UMNO/BN langsung tidak mengambil bahagian dan mengemukakan soalan-soalan kepada Dewan Undangan Negeri yang bersidang selama tiga hari,” ujarnya dengan kesal.

ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata rakyat perlu ‘menghukum’ wakil-wakil rakyat yang langsung tidak berperanan di dalam Sidang DUN.

Katanya, rakyat di bawah mengharapkan agar wakil-wakil yang mereka dipilih dalam pilihan raya lalu membela nasib mereka, namun tindakan sebaliknya yang diambil oleh 10 ADUN UMNO/BN itu.

“Rakyat berhak dan perlu ‘hukum’ mereka yang langsung tidak ambil bahagian berbahas dan mengemukakan soalan lisan dan soalan bertulis,

“rakyat mesti menggunakan hak pada Pilihan raya akan datang, tolak wakil-wakil rakyat yang makan ‘gaji buta’ dan ‘ponteng’ Sidang DUN,” tegasnya.

Beliau berkata, masalah peribadi ‘dalaman’ parti UMNO tlah menjadikan rakyat mangsa percaturan politik para pemimpin UMNO/BN Terengganu.

Antara wakil rakyat yang langsung tidak mengambil bahagian serta gagal mengemukakan sama ada soalan lisan atau bertulis iaitu ADUN Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh, Dato’ Rosol Wahid (Ajil), Dato’ Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Nawi Mohamad (Hulu Besut), Mohd Ariffin @ Zakaria Abdullah (Paka), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putra) dan ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh.

Manakala ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman, katanya terpaksa hadir dan mengambil bahagian dalam Sidang DUN kerana beliau pembawa usul bagi menyokong ucapan perasmian diRaja.

Berbanding dengan Adun PAS, kesemua mereka (wakil rakyat) mengambil bahagian berucap serta mengemukakan bagi soalan-soalan lisan dan bertulis (rujuk adunpastrg.blogspot.com) untuk dijawab oleh pihak kerajaan BN Terengganu.

Tiada ulasan: