Khamis, 30 April 2009

Dedah kezaliman: Bagaimana peranan media Malaysia?

LanH


Tidak lama dulu ketika aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI) memperhebatkan tekanan agar pemerintah memansuhkan penahanan tanpa bicara, sesetengah pemimpin Malaysia mendakwa Amerika Syarikat pun mencontohi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysia dengan memperkenalkan Akta Patriot yang membolehkan seseorang tertuduh ditahan tanpa dibicarakan.

Kini seluruh dunia digemparkan dengan kezaliman penyiasat era Presiden George W Bush yang menggunakan taktik 'melemaskan' tertuduh bagi mendapatkan maklumat. Menurut laporan berita berkenaan, seseorang tertuduh dibaringkan dan dalam keadaan tangan dan kakinya terikat, air akan dicurahkan ke mukanya sehingga dia hampir-hampir lemas. Dalam keadaan tertuduh hampir mati, rahsia mereka dikorek dan pengakuan dibuat.

Di Malaysia tahanan ISA juga pernah mendedahkan pelbagai kezaliman dan penderaan dilakukan ke atas mereka dalam soal siasat. Ada yang dibogelkan dan kemudian didera seperti dipaksa minum air kencing masing-masing manakala sebahagian lain melalui deraan psikologi seperti gangguan tidur dan rehat. Manakala keluarga tahanan mengadu mereka turut diganggu bagi mendatangkan keresahan, ada isteri didesak meminta cerai daripada pasangan masing-masing.

Pendedahan kezaliman ke atas tahanan termasuk di Guantanamo Bay yang dikaitkan dengan apa didakwa terroris Muslim, berjaya dilakukan atau didedahkan media massa. Pendedahan kes penganiayaan menggunakan teknik melemaskan tahanan pada era Bush, begitu memalukan pihak berkuasa Amerika sehinggakan Presiden sekarang, Barack Obama berjanji akan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Demikianlah situasi di Amerika dan sesetengah negara dunia Barat. Sekalipun medianya sudah ditintai noda kebebasan melampau, sesetengahnya masih mampu dan peka untuk mendedahkan penyelewengan termasuk oleh pemerintah. Bagi mereka, bukan saja orang awam, pemerintah malah keluarga diraja pun tidak kebal daripada didedahkan penyelewengan dan keburukan masing-masing.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar 3 Mei ini, persoalannya bagaimana pula peranan media massa Malaysia dalam menangani penyelewengan dan salah guna kuasa ini? Jika media Amerika tidak keberatan mendedahkan penderaan ke atas tahanan seperti taktik melemaskan itu, apakah media Malaysia bersedia mendedahkan kezaliman di belakang tembok dan besi penjara seperti di kem-kem tahanan mangsa ISA dan kem tahanan pendatang asing?

Berdasarkan perkembangan semasa, media massa arus perdana Malaysia semakin jauh daripada berperanan begitu. Suatu ketika dulu, sesetengah media massa ini begitu dihormati peranannya kerana mampu membawa laporan penyelewengan pemimpin tertinggi, pentadbir dan peneraju organisasi tertentu; tetapi hari ini mereka tidak lebih daripada pelapor, bagaikan burung kakak tua saja, mengiya dan melaporkan saja apa kata sang penguasa.

Peneraju media arus perdana hari ini sebagai orang makan gaji, tidak lebih daripada itu. Cukup bulan dan tahun terima habuan dan bonus, asalkan tuan atasan dipenuhi segala kehendak dan nafsunya, maka tenggelamlah rakyat dalam rintihan berpanjangan. Pendedahan apa yang mahu dilakukan media arus perdana kerana mereka sudah seiring jalan dengan sang penguasa sedangkan dalam sejarah Islam, Khalifah Umar Al-Khattab yang gagah perkasa itu sedia ditegur rakyatnya, hatta dengan pedang sekalipun.

Dalam keadaan sang penguasa sentiasa diiyakan segala tindak-tanduknya, media alternatif yang muncul dalam keterbatasan ruang, dicantas dan ditekan hebat. Pandangan kedua, ketiga dan seterusnya tidak dibenarkan, oleh itu akan berlakulah dalam masyarakat episod berpanjangan 'The Emperor's New Clothes' (Baju Baru Sang Maharaja).

Apa saja tindakan sang penguasa adalah betul, tiada siapa berani menyanggah, hatta Raja (pemimpin tertinggi) berbogel tiada yang berani menegurnya; semuanya berkata: "Raja mengenakan pakaian paling hebat," hakikatnya dia berbogel. Demikianlah yang akan menimpa negara jika pemimpin media massa sudah dikunci mata hatinya! _

Ustaz Mat Iraq hasrat undur ketuai Dewan Ulamak Pusat

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud memberitahu tidak akan mempertahankan jawatannya pada muktamar yang akan diadakan Jun depan.

Difahamkan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Hashim Jasin juga bakal mengambil langkah serupa.

"Kami menarik diri daripada jawatan yang disandang pada muktamar tidak lama lagi. Keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat di Perak baru-baru ini atas alasan kesihatan.

"Lagi pun dalam Dewan Ulamak sudah ada ramai pemimpin pelapis," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pengganti yang akan mengisi tempat tersebut sudah ada sekiranya tiada pertandingan dalam muktamar nanti.

Kebiasaannya kata beliau tiada pertandingan jawatan tertinggi Dewan Ulamak sebelum ini.

Menurutnya juga bagi jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan beliau sedia mempertimbangkan sekiranya masih lagi diberi kepercayaan.

"Ini kerana kalau sekadar di Kelantan saya lebih mudah bergerak berbanding terpaksa turun ke negeri-negeri lain. Eloklah orang muda yang lebih bertenanga mengganti saya di pusat," ujarnya.

Mohamed mengetuai Dewan Ulamak PAS Pusat menggantikan Dato' Harun Taib yang tidak mempertahankan jawatannya pada muktamar dua tahun lepas. - mj _

SPR perlu berubah daripada membuat peraturan mengejut

Adnan Ibrahim


Umur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkau 52 tahun dan genap pada 4 September ini. Seawal usianya tidak banyak karenah yang ditimbulkan bagi menyakiti pembangkang.

Banyak tulisan yang dibaca jarang mempertikaikan kewibawaan SPR mengendalikan pilihan raya pada masa lampau.

Tidak ditemui juga dalam tulisan penulis Haji Subky Abdul Latif mengkritik keburukan SPR masa lalu kecuali memuji badan tersebut bertindak sebagai orang tengah dalam mengendalikan pilihan raya di Malaysia yang serba kekurangan dan bersesuaian keadaannya pada masa itu.

Mungkin juga ketika itu pembangkang tidak kuat. Namun pernah berlaku insiden politik di Pantai Barat Semenanjung, berikutan kemenangan besar parti Gerakan di Pulau Pinang dan Selangor. Namun SPR tetap bersih seharum namanya.

Ketika berlaku perpecahan dalaman Umno pada 1987 sehingga wujud dua parti iaitu Umno Baru dan Parti Semangat 46 serta Kelantan tumbang kepada PAS. Pada pilihan raya umum 1999 pula mengubah keangkuhan Umno dan Terengganu jatuh kepada PAS serta banyak kerusi Parlimen dimenangi pembangkang. Bagaimanapun SPR masih selamat lagi daripada kritikan buruk.

Namun pada pilihan raya umum 2004 di mana arus rakyat kepada pembangkang sebaliknya dicemari oleh peranan SPR mewujudkan pengundi yang sudah tidak wujud. Daftar pemilih SPR yang boleh dipertikai kerana wujud pengundi hantu dan pengundi berganda.

SPR berperanan dibelakang dalam mengembalikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut. Dalam hal ini pembangkang tidak berdiam dan mengadakan demontrasi besar-besaran menuntut campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya sesuai namanya SPR dikembalikan kepada landasan yang betul sebagai pihak tengah.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengabung parti politik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demontrasi dan perarakan ke Istana Negara dari Masjid Negara pada 10 November 2007. Lebih 100 ribu orang berhimpun menyuarakan bantahan terhadap SPR yang tidak adil.

Terdapat empat perkara utama yang dituntut Bersih iaitu, pertama penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan.

Kedua, penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda.

Ketiga, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

Dan keempat, akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihan raya.

Malangnya, setakat ini, pihak SPR cuma bersetuju dengan satu permintaan iaitu penggunaan dakwat kekal.

Bagaimanapun dakwat kekal menjadi penipuan politik SPR secara tidak langsung menutup penyelewengan pengundian berganda. Bagi mengagalkan rancangan yang mula dipersetujui SPR itu maka dibuat tuduhan mengatakan terdapat dakwat yang dibawa masuk melalui Thailand untuk digunakan mengugut pengundi.

Sedangkan selepas pilihan raya umum 2008 polis memberitahu tidak ada laporan mengenai dakwaan tersebut. Jelas berupa penipuan terhadap pakatan rakyat.

Dengan alasan tersebut maka dakwat kekal pun tidak jadi digunakan sampai sekarang. SPR yang rancang mahu buat dia juga yang rancang tidak jadi.

Mainan politik SPR dan BN yang sudah masak cukup dikenali Pakatan Rakyat. Apa yang dituntut Pakatan Rakyat tidak ditunai sebaliknya dalam melakukan perubahan yang diinginkan BN ternyata SPR cepat bertindak.

Kalau SPR mengambil masa panjang untuk mengkaji tuntutan Bersih tetapi kenapa SPR boleh bertindak segera dalam perkara yang menguntungkan BN?

Apakah ini dinamakan keadilan? Sepatutnya SPR mengambil masa yang panjang dan melibatkan pihak ramai dalam memutuskan 'pondok panas' sama ada ditutup atau diteruskan.

Ini kerana rakyat mahukan keputusan yang diambil oleh SPR biarlah berwibawa bukannya ikut telunjuk BN atau bekerja untuk menguntungkan BN. - mns_

Isu air: Kerajaan Persekutuan setuju beri kerjasama

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah bersetuju untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah pengambilalihan pengurusan air di Selangor.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dalam satu kenyataan berkata, Kementarian itu telah bersetuju dengan Kerajaan Negeri supaya bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam hal penyususnan semula perkhidmatan industri air di Selangor.

Komitmen tersebut dinyatakan oleh Menterinya yang baru dilantik, Dato' Peter Chin kepada Menteri Besar Selangor dalam satu pertemuan rasmi yang telah diadakan di Putrajaya pada 20 April lalu.

"Kementerian dan Kerajaan Negeri bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bersama dalam usaha mencari jalan penyelesaian yang memuasakan kedua-kedua pihak.

"Ia akan melibatkan penyusunan semula dan pengambilalihan aset air daripada empat syarikat konsesi air di Selangor oleh Kerajaan Negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Ramli Mahmud dijangka akan mengetuai jawatankuasa tersebut.

Beliau menyifatkan pertemuan dengan Menteri tersebut sebagai satu usaha yang produktif dan berhasil dalam usaha Kerajaan negeri ini.

Kerajaan Negeri menurutnya, mengutamakan kebajikan pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kami juga berharap agar satu penyelesaian yang konkrit dapat dicapai bagi memastikan mereka menikmati kemudahan yang disediakan," ujar beliau. - mns_

Isu perkauman untuk raih undi tidak lagi relevan - Anwar

Mohd Sabri Said


PERMATANG PAUH - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan lagi memainkan isu perkauman dalam kempen pilihan raya kecil N12 Penanti nanti kerana isu tersebut tidak releven lagi.

Itupun katanya, jika Umno dan BN tidak dayus bukan sepertimana kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengatakan pertandingan di Penanti membazirkan wang rakyat dan tenaga.

"Umno dan BN pasti mainkan isu perkauman untuk politik mereka. Tapi jangan bimbang apa yang mereka bawa dah ketinggalan. Melayu tidak bencikan India atau Cina sebaliknya menganggap sebuah keluarga dalam sebuah negara yang makmur," ujarnya semasa berucap di Yayasan Aman, Penanti baru-baru ini.

Menurut beliau, dulu memang berlaku prasangka contohnya orang Melayu memandang serong pada DAP dan begitu juga sebaliknya tapi kini ia sudah berlaku apabila kepimpinan PAS dan DAP sering duduk semeja berunding.

Rakyat atau penyokong dalam parti gabungan pun sudah tidak lagi hirau untuk memakai lambang parti yang berlainan contohnya dalam pilihan raya sejak 1999 sehingga sekarang.

"Mereka patut sedar dengan permainan itu tidak melonjak sokongan rakyat pada BN tetapi memberi kekuatan pada Pakatan Rakyat," tambahnya yang juga Ketua Pembangkang.

Kerajaan Pakatan Rakyat akan membantu setiap masyarakat tidak kira Cina, Melayu dan India asalkan ia menetapi syarat bantuan bukan seperti Umno dan BN mempergunakan kedudukan menjana kewangan peribadi atau kroni.

Kemajuan di Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng memerlukan keakraban perpaduan untuk membina kekuatan maka usaha terbaik ialah jalinan usahasama semua parti dalam gabungan.

"Jika kita termakan asutan musuh tunggulah kita akan lalui kesukaran sebab itu kita perlu bijak tangani usaha musuh dengan mengalahkan mereka dalam pilihan raya sama ada umum atau kecil," terangnya. - mns_

Petugas TM Net lemas di Sungai Gunung Stong

BERNAMA


KUALA KRAI: Seorang kakitangan TM Net ditemui lemas pagi ini selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama seorang rakannya di sebatang sungai di pusat peranginan Gunung Stong, Dabong dekat sini, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Nasir Hassan berkata mayat Mohd Marzuki Yusoff, 25, ditemui terapung pada 8.45 pagi tadi di kawasan beliau dilaporkan tenggelam pada 2.30 petang semalam.

Mohd Marzuki, yang berasal dari Kampung Chabang Tiga, Kota Baharu bersama rakannya, Azizi Ariffin, 27, berhenti mandi di pusat peranginan itu dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat kerja di Kemubu dekat sini.

"Dia mandi berhampiran jambatan gantung yang merentangi sungai dalam kawasan peranginan itu apabila tibatiba datang satu gelombang besar dan menyebabkan dia tenggelam," kata Mohd Nasir.

ADUN DAP ditahan ISA letak jawatan? Tunggu Sabtu, kata isteri Mano

Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Kemungkinan negara perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil ketujuh?

Kemungkinan ini mula 'terbayang' ekoran desas-desus bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang kini ditahan di Kamunting akan melepaskan kedudukannya.

Bagaimanapun sama ada beliau, antara pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hanya akan diketahui Sabtu ini.

"Saya tidak mengesahkan apa-apa, tunggu sehingga Sabtu, saya menemui suami saya di Kamunting Sabtu ini," kata isterinya, S. Pushpaneela ketika dihubungi sebentar tadi.

Pushpaneela ditanya mengenai laporan media bahawa suaminya sudah memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN.

"Saya tidak tahu... tunggu sehingga saya menemui suami saya, tunggu saya di Kamunting Sabtu ini," katanya.

Manoharan antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.

Beliau merupakan antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007.

Empat yang lain ialah P. Uthayakumar, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.

Bagaimanapun Kenghadharan dan Ganabatirau telah pun dibebaskan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri awal bulan ini.

Walaupun dalam tahanan ISA, Manoharan bertanding dalam pilihan raya umum dan menang kerusi tersebut.

KOMEN DAP

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua ketika dihubungi turut mengesahkan mengetahui mengenai khabar angin tersebut.

"Ya kita juga ada mendengar khabar angin tersebut, tapi saya tak dapat pastikan mengenai kesahihannya," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Nizar: ADUN Pakatan tetap hadir sidang DUN Perak 7 Mei

BERNAMA


IPOH: Pakatan Rakyat hari ini membuat keputusan bahawa semua wakil rakyat mereka akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei ini, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammadd Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, keputusan itu adalah muktamad walaupun sebelum ini ada kenyataan mengatakan Pakatan Rakyat akan memboikot sidang DUN tersebut. "Soal memboikot kini tidak timbul dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya semasa persidangan berkenaan.

"Saya berharap persidangan itu mengikut segala peraturan sebagaimana yang diagendakan dan kita akan mengikut apa-apa ketetapan yang akan dibuat oleh Speaker," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli DUN (ADUN) Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau juga berharap semua pegawai yang ditugaskan pada sidang DUN itu akan mengikut perintah daripada Speaker dan menegaskan semua ADUN Pakatan Rakyat juga akan patuh dan akur apa saja arahan Speaker.

Sementara itu Speaker, V. Sivakumar ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatan beliau mengakui memang ada usul yang telah diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apa-apa keputusan lagi.

Beliau berkata, sebelum persidangan pada 7 Mei ini berlangsung, banyak isu akan dibangkitkan beliau melalui perbincangan dengan pihak polis, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak yang terlibat dalam persidangan tersebut.

Pemuda Umno umum Ketua Pemuda negeri

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri dan Ahli Jawatankuasa tambahan susulan pemilihan sayap itu hujung bulan lalu.

Kesemua merupakan muka baru.

Setiausa pergerakan itu, Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid dalam kenyataan medianya berharap melalui lantikan tersebut, akan dapat mengeratkan kerjasama dan perpaduan di kalangan ahli Pemuda Umno dari segenap lapisan masyarakat.

"Diharapkan juga dengan pelantikan ini, mereka akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi bagi memastikan usaha bagi mengembalikan sokongan orang Melayu khususnya golongan muda kepada Umno dan BN (Barisan Nasional) menjadi kenyataan," katanya.

Berikut adalah senarai EXCO Lantikan Pemuda Umno Malaysia

Anis Hisham Abdul Aziz, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor

Abdul Razak Abd Rahman, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Melaka

Khairul Azwan Dato’ Harun, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak

Badrol Hisham Haji Zakaria, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu

Mohd Faizal Hj. Ramli, Ketua Pemuda Umno Bahagian Teluk Kemang

Berikut adalah senarai Ketua Pemuda Umno Negeri-negeri

Ketua Pemuda Umno Negeri Perlis

Mohsin Mohd Yusoff, Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Besar

Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah

Badrol Hisham Hashim, Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Terap

Ketua Pemuda Umno Negeri Pulau Pinang

Norman Zahalan, Ketua Pemuda Umno Bahagian Bayan Baru

Ketua Pemuda Umno Negeri Perak

Maslin Sham Razman, Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Kangsar

Ketua Pemuda Umno Selangor

Suhaimi Mohd Ghazali, Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepang

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan

Rizalman Dato’ Mokhtar, Ketua Pemuda Umno Bahagian Bandar Tun Razak

Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan

Mohd Helmy Din, Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah

Ketua Pemuda Umno Melaka

Karim Yaacob, Ketua Pemuda Umno Bahagian Bukit Katil

Ketua Pemuda Umno Johor

Mohd Fadil Muskon, Ketua Pemuda Umno Bahagian Air Hitam

Ketua Pemuda Umno Pahang

Abu Jimi Samat, Ketua Pemuda Umno Bahagian Lipis

Ketua Pemuda Umno Terengganu

Saiful Bahri Baharuddin, Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang

Ketua Pemuda Umno Kelantan

Anuar Safian, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Kerian

Ketua Pemuda Umno Sabah

Azman Hj Ruslan, Ketua Pemuda Umno Bahagian Keningau

Tatacara urusan jabatan kerajaan disemak semula - Tee Keat

BERNAMA


JOHOR BAHARU: Tatacara urusan pentadbiran yang leceh di pelbagai jabatan kerajaan dan menyusahkan rakyat akan disemak semula, kata Menteri Pengangkutan Datuk seri Ong Tee Keat hari ini.

Berjanji memulakan perubahan dalam kementeriannya, Ong, yang juga Presiden MCA berkata, semua kementerian di bawah pimpinan Menteri dari parti itu telah diarah supaya melaksanakan perubahan yang sama.

Kementerian di bawah Menteri dari MCA ialah Pengangkutan, Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pelancongan.

"Di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya telah menubuhkan panel khas bagi menyemak semula beberapa amalan yang diguna pakai sekarang yang tidak mesra pelanggan.

"Saya berjanji kajian itu dijalankan secara menyeluruh bagi melihat bagaimana kita dapat memperbaiki keberkesanan dalam memberi perkhidmatan kepada orang awam," katanya pada perasmian Ekspo Kewangan Mikro, Pusat Sumber ICT MCA di sini.

Sebahagian daripada semakan semula amalan JPJ ialah kaedah ujian memandu, katanya.

Dalam perkembangan lain, Ong berkata laporan audit projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa, PriceWaterhouse Coopers telah selesai dan sedia untuk diumumkan.

"Tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan tidak ada campur tangan dalam mengumpul laporan itu.

"Laporan tersebut setebal buku panduan telefon, jika tidak lebih tebal lagi, akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa KiraKira Wang Negara (PAC)," katanya.

Tidak Perlu Tergesa-gesa Mengadakan Persidangan DUN – Nizar

Editor Buetin


PUTRAJAYA – Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tidak perlu tergesa-gesa mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak kerana terdapat banyak fakta-fakta yang masih dipertikaikan di mahkamah.

Mohammad Nizar berkata demikian kepada pemberita di luar Mahkamah Persekutuan hari ini setelah memutuskan pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai siapa Menteri Besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau turut berkata, keputusan hari ini adalah petanda yang krisis politik Perak akan dapat mencapai penyelesaian muktamad.

Sebelum itu, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan wujud pertikaian fakta dalam dua afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar dan Penasihat Undang-undangan Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Prosiding untuk meneliti afidavit Ahmad Kamal akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada Isnin.

Bernama melaporkan, ini merupakan kali kedua kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi.

Kali pertama ialah pada 23 Mac apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan isu membabitkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan hanya boleh dirujuk semula ke Mahkamah Persekutuan melalui rayuan.

Alauddin, Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusuf dan Datuk James Foong hari ini dijadual mendengar permohonan Zambry, yang difailkan pada 21 April, untuk memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah.

Dengan panel lima hakim itu yang bersidang, permohonan Mohammad Nizar bagi panel sembilan hakim untuk mendengar kes itu telah ditolak.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah membantah permohonan Zambry atas alasan wujud pertikaian fakta berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Katanya percanggahan itu adalah antara apa yang diikrarkan oleh Ahmad Kamal dalam afidavitnya dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan antara Mohammad Nizar dan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, 2009.

"Saya menegaskan bahawa semasa saya menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan, saya tidak pernah menyatakan dan tidak memaklumkan, dan tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan bahawa terdapatnya kehilangan kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar oleh majoriti ahli-ahli DUN. Saya juga tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Merujuk kepada afidavit penasihat undang-undang, saya menyatakan bahawa versi Datuk Ahmad Kamal berkenaan apa yang telah berlaku adalah salah dan tidak tepat," kata Sulaiman ketika membacakan afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar.

Beliau juga berhujah Ahmad Kamal telah mewakili Zambry apabila kes itu disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof pada 18 Feb. "Datuk Kamal telah mewakili Zambry dan ini jelas menunjukkan yang beliau tidak bersikap berkecuali," kata Sulaiman.

Katanya atas prinsip "res judicata" (perkara yang sudah diputuskan), permohonan itu tidak sepatutnya didengar oleh Mahkamah Persekutuan kerana permohonan yang sama terhadap isu yang sama telah ditentukan oleh mahkamah yang sama pada 23 Mac.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry dalam hujahan balasnya berkata terdapat keterangan dokumen berdasarkan dua pucuk surat yang ditulis oleh Mohammad Nizar kepada Sultan Perak pada 4 dan 5 Feb untuk menunjukkan tidak terdapat pertikaian fakta seperti dakwaan responden.

Beliau juga berkata prinsip res judicata tidak boleh diguna pakai kerana isu Perkara 63 tidak timbul pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah, peguam Mohd Reza Hassan selaku peguam pemerhati bagi Barisan Nasional dan Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Perak Zulqarnain Hassan.

Saman fitnah RM10 juta Karpal terhadap Utusan 2 Julai ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Julai ini bagi pengurusan kes saman RM10 juta yang dikemukakan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd berhubung artikel berunsur fitnah berkenaan komennya mengenai Islam.=

Timbalan Pendaftar Nazri Ibrahim menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini.Peguam Nicholas Netto mewakili Karpal manakala M.Mohana Kumar mewakili Utusan Melayu.=

Dalam pernyataan tuntutannya, Karpal, yang juga seorang peguam, mendakwa artikel bertajuk "DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu" yang diterbitkan pada 25 Ogos tahun lepas, menyatakan yang beliau telah mengeluarkan komen mengenai Islam dalam ucapan alualuannya pada Kongres Kebangsaan DAP ke15 yang diadakan pada hari sebelumnya (24 Ogos tahun lepas).=

Beliau mendakwa perkataan memfitnah itu difahamkan membawa maksud, antara lain, bahawa Karpal ialah seorang ahli politik yang cenderung untuk mencetuskan rasa benci di kalangan pelbagai kaum di negara ini, adalah palsu dan berniat jahat dengan niat untuk memusnahkan kerjaya profesional dan politiknya.

Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu berkata beliau telah secara konsisten menyatakan dalam ucapanucapannya di khalayak umum dan sebagai anggota Parlimen di Dewan Rakyat sejak 26 tahun lepas bahawa Islam ialah agama rasmi negara ini seperti termaktub di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memohon RM10 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan balasan yang difailkan pada 3 Nov tahun lepas, Utusan Melayu berkata permohonan maaf yang diterbitkan dalam akhbarnya itu telah diterima oleh Karpal sebagai memenuhi surat tuntutannya (Karpal).

Utusan Melayu mendakwa perkataan yang dipertikaikan oleh Karpal yang dinyatakan dalam artikel itu berlaku kerana salah faham/keliru dan ia merupakan kesilapan yang tidak disengajakan.

Ia mendakwa artikel itu disiarkan dengan niat baik dan adalah bona fide tanpa sebarang niat jahat terhadap Karpal.

DUN Penanti: Biro Politik Umno tangguh mesyuarat

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Biro Politik Umno yang dijadual akan mengadakan mesyuarat esok bagi memutuskan sama ada Umno akan meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan ditangguhkan sehingga Isnin depan.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan ketika dihubungi mengesahkan mengenai penangguhan tersebut.

"Sepatutnya Biro Politik akan bermesyuarat esok, tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana Datuk Seri (Mohd) Najib (Tun Razak) mengadakan lawatan ke Brunei.

"Jadi Biro Politik akan mengadakan mesyuarat pada hari Isnin minggu depan," katanya kepada mStar Online.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei.

Najib yang juga Pengerusi Biro Politik dijadual akan mempengerusikan mesyuarat itu nanti bagi menetapkan pendirian Barisan Nasional (BN) mengenai pilihan raya kecil Penanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Maklumat yang diperoleh daripada lawan web Umno juga memberitahu mesyuarat berkenaan akan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu mesyuarat tersebut juga bakal dihadiri oleh ketua pergerakan sayap-sayap parti, Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Setiausaha Kerja serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri.

Antara perkara lain yang dijangka akan turut dibincangkan ialah mengenai situasi politik semasa.

BN kemuka usul pecat Speaker DUN Perak

Pakatan tolak atas alasan Setiausaha DUN sudah digantung

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak telah mengemukakan usul untuk memecat Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN), V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat apabila ia bersidang 7 Mei ini.

Bagaimanapun, Pakatan membantah keputusan tersebut atas alasan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri, yang kini digantung tugas, telah mengeluarkan surat berkaitan dengan usul undi tidak percaya untuk memecat Speaker.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham, beliau telah menerima surat yang memberitahu mengenai usul tersebut semalam.

"Surat itu menyatakan Zambry (Menteri Besar Perak) dan kerajaan BN negeri akan mengemukakan satu usul undi tidak percaya untuk pecat Speaker (Sivakumar).

"Usul itu tidak sah kerana dia (Abdullah Antong Sabri) telah digantung tugas oleh Speaker,"katanya kepada mStar Online hari ini.

Tegasnya, surat tersebut jelas menghina Speaker kerana Sivakumar tidak diberitahu mengenai usul berkenaan.

"Mereka perlu rujuk dan beritahu kepada Speaker dahulu. Tapi mereka (BN Perak) buat macam itu,"katanya.

Ngeh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beruas berkata, BN Perak tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya dalam isu tersebut.

"Bagi saya ini tidak betul dan surat yang dikeluarkan ini jelas menunjukkan kerajaan BN tidak ikut undang-undang.

"Jika mereka mahu pecat dia (Sivakumar) mereka perlu lantik Timbalan Speaker (Lee Yit Foong- Bebas) menggantikan Speaker.

"Tapi mereka (BN Perak) tidak buat begitu kerana Yit Foong(ADUN Jelapang) dikatakan tidak layak kerana itu mereka mahu kemukakan nama yang Speaker yang baru. Mereka( BN Perak) tidak boleh buat andaian-andaian sebegini,"katanya.

Pada 16 April lalu, Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong menghantar notis pemberitahuan persidangan bertarikh 7 Mei kepada semua ADUN negeri itu.

Sultan Perak juga dilaporkan berkenan menandatangani surat perisytiharan berhubung persidangan berkenaan.

Berikutan itu, Speaker DUN Perak, Sivakumar pada 17 April telah bertindak menggantung tugas Abdullah kerana mengeluarkan notis persidangan tanpa pengetahuan dan persetujuannya terlebih dulu.

SETIAUSAHA SAHKAN

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Setiausaha DUN Perak mengesahkan pejabat Setiausaha DUN Perak telah menerima satu usul pada minggu lepas untuk melucutkan Sivakumar daripada jawatan Speaker DUN Perak pada persidangan DUN 7 Mei ini.

Beliau juga mengesahkan telah menghantar melalui pos, surat kepada semua ADUN mengenai perkara itu yang turut mengepilkan bersama borang pencalonan Speaker baru.

Walaupun Abdullah berkata perkara itu tidak sepatutnya dihebahkan sebelum persidangan DUN itu dilangsungkan, beberapa portal berita internet hari ini melaporkan Abdullah di dalam suratnya menyatakan bahawa borang pencalonan Speaker baru itu hendaklah dikemukakan beserta borang persetujuan ahli yang dipilih kepada pihak pentadbiran DUN selewatlewatnya esok.

"Surat itu dihantar secara pentadbiran. Ia sepatutnya adalah untuk makluman dan tindakan daripada semua ADUN yang berkenaan," kata Abdullah ketika dihubungi Bernama.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu Exco kanan Datuk Hamidah Osman ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau adalah penyokong usul untuk melucutkan Sivakumar yang dicadangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihantar ke pejabat Setiausaha DUN Perak pada Khamis lepas.

Zambry yang dihubungi pula enggan mengesahkan sama ada beliau ada mengusulkan notis untuk undi tidak percaya terhadap Sivakumar seperti yang dilaporkan media hari ini.

Kembar Siam Orang Asli meninggal dunia

BERNAMA


KUANTAN: Kembar Siam perempuan berketurunan Orang Asli yang dilahirkan dalam keadaan pra matang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Jumaat lepas, meninggal dunia pada 5.35 petang tadi akibat kegagalan pernafasan.

Perkara tersebut disahkan Pengarah HTAA, Datuk Dr Ardi Awang.

Ibu bayi berkenaan Sina Awang, 20, berkata sebelum bayi kembar itu menghembuskan nafas terakhir, dia diminta oleh doktor untuk berada di sisi anaknya.

"Sebelum meninggal mereka ada bergerak sikit-sikit tapi doktor hanya bagi dukung selepas mereka sudah tiada," katanya kepada pemberita yang ditemui dalam keadaan hiba di sini.

Katanya, kedua kembar Siam yang dicadang untuk dinamakan Ayi dan Beyie itu akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Batu 8, Kuala Rompin malam ini sebelum dikebumikan pagi esok.

Bayi seberat 3.25 kilogram yang dilahirkan selepas 25 minggu berada dalam kandungan ibu mereka bercantum pada bahagian atas pusat hingga ke tengah dada dan dilaporkan hanya bahagian hati didapati bercantum manakala bahagian organ lain masih dalam pemerhatian.

Kedua-dua bayi berkenaan diletakkan di bawah penyeliaan doktor pakar kanak-kanak HTAA dan dicadang dirujuk ke Hospital Selayang atau Hospital Kuala Lumpur sekiranya menunjukkan tanda keadaan yang kompleks.

Tanding kali keempat, Mansor mampu menang di DUN Penanti?

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Walaupun tewas dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, Mansor Othman dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Mansor, 56, berkata, beliau yakin mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menang dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau telah tewas pada pilihan raya umum 1999 di kerusi Parlimen Balik Pulau kepada wakil Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zain Omar.

Pada 2004 beliau tewas dalam saingan kerusi DUN Seberang Jaya kepada calon BN, Datuk Arif Shah Omar dan Muhammad Farid Saad di DUN Pulau Betong empat tahun kemudian.

Mansor juga menjadi perhatian apabila mengemukakan pencalonan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu, yang dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi menarik diri selepas proses penamaan calon ditutup.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang ini percaya bahawa persaingan kali ini akan berpihak kepada beliau memandangkan Penanti adalah kubu kuat PKR.

"DUN Penanti adalah di bawah Parlimen Permatang Pauh yang dipegang oleh Datuk Seri Anwar dan PKR tidak pernah kalah di Permatang Pauh.

"Selain itu, sokongan yang diberikan kepada saya begitu kukuh dan jentera kita di kawasan itu juga kuat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Malam tadi, Anwar mengumumkan Mansor sebagai calon PKR-Pakatan bertanding dalam pilihan raya DUN Penanti 31 Mei ini.

Mansor, berasal dari Kedah, merupakan bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Anwar selama tiga tahun bermula 1996 ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Beliau juga merupakan Ketua Bahagian PKR Balik Pulau selain telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat.

Ketika ditanya desas-desus yang mengatakan pemilihannya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu disebabkan tidak tercalon mewakili PKR sebagai senator, Mansor menafikan hal itu.

Katanya, beliau dipilih daripada beberapa calon yang disenarai pendek kerana pengalamannya yang luas dalam pentadbiran dan merupakan antara pemimpin yang senior dalam PKR.

"Apa pun, saya gembira atas kepercayaan yang diberikan parti kepada saya," katanya.

Berhubung persoalan sama ada BN akan bertanding menentang beliau dalam pilihan raya kecil itu, Mansor berkata, beliau yakin BN akan meletakkan calon di Penanti.

"Saya yakin, mereka akan letakkan calon dan kalau itu berlaku, kita akan bertanding secara sihat.

"Tetapi jika mereka tidak bertanding pun, itu lebih baik bagi kita," katanya.

Mansor berkata, beliau menjangka beberapa lagi calon Bebas akan memberi saingan kepada beliau sekirannya BN tidak meletakkan calon.

Setakat ini, hanya seorang calon Bebas yang telah mengesahkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah.

Ditanya cabaran yang bakal dihadapi dalam pilihan raya kecil itu nanti, Mansor berkata, tidak ada cabaran yang terlalu besar di kawasan itu kerana sokongan penduduk kepada PKR di kawasan itu begitu padu.

"Selain itu, isu-isu di kawasan itu lebih berkisar kepada isu nasional dan tidak tertumpu kepada isu tempatan," katanya.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan.

Rabu, 29 April 2009

Mengapa tidak ikhlas bayar cukai pendapatan?

Ahmad Lutfi Othman


30 April, Khamis adalah hari terakhir menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2008 dan kemudiannya membayar sejumlah wang selepas pengiraan tertentu kepada negara. Melalui media, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi penerangan secukupnya, termasuk iklan TV, tentang keperluan setiap warganegara yang layak membayar cukai pendapatan untuk berbuat demikian tepat pada masanya.

Denda tidak serah borang

Saya sendiri pernah didenda ekoran tidak prihatin untuk mengisi borang taksiran kerana merasakan belum layak membayar cukai. Sehubungan itu, banyak juga wang yang terpaksa dilunasi, walaupun dibenarkan secara berjadual, hanya kerana kecuaian menyerahkan borang taksiran.

Walaupun diuar-uarkan wang pembayar cukai merupakan antara hasil terbesar pendapatan negara, dan akan dibelanjakan untuk pembangunan bagi kesejahteraan semua, namun realitinya, hasil titik peluh rakyat itu gagal diuruskan dengan berhemat dan beramanah.

Bayangkan, bagaimana sakit hatinya pembayar cukai - yang sebahagiannya terpaksa mengikat perut untuk menjelaskan tepat pada masanya - apabila melihat atau mengetahui dana awam dibazirkan untuk tujuan-tujuan tidak berfaedah, malah lebih teruk lagi seolah-olah diagihkan sesama kroni bagaikan sekumpulan penyamun membahagikan wang rompakan.

Rasuah, makan suap, tumbuk rusuk dan apa jua istilah yang semaksud dengannya seperti tidak dapat disekat lagi walaupun BPR sudah bertukar menjadi SPRM, perdana menteri beralih tangan sambil menjanjikan usaha memerangi salahguna kuasa akan dipergiatkan sampai ke lubang cacing.

Mungkin sebab itu, bertambah ramai masyarakat kelas menengah, yang tentunya terdiri daripada pembayar cukai, tidak dapat lagi menyembunyikan rasa amarah terhadap pemerintah apabila wang poket mereka bagai dirompak di tengah jalan pada siang hari. Jalan mudah bertindak, seperti pernah dinasihati Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, adalah dengan menggunakan peti undi semasa hari pilihan raya.

Dana awam dirompak


Sepanjang 20 tahun menjadi wartawan, saya melihat sendiri dana awam disalahgunakan secara sewenang-wenangnya, dengan jumlah yang cukup besar. Melalui prosedur yang sah, wang pembayar cukai yang dicurahkan kepada projek-projek pembangunan 'dihanguskan' tanpa segan silu.

Nilai projek, misalnya membekal dan memasang paip air di Selangor, yang sepatutnya tidak melebihi RM40 juta, dengan mudah ditingkatkan kosnya menghampiri RM100 juta. Kos jalan merentasi sawah di Tanjong Karang - yang tidak diketahui mengapa ia perlu dibina, dan diberikan kepada kontraktor yang disenarai-hitamkan - bernilai lebih RM93 juta sedangkan taksiran sebenar sepatutnya tidak melebihi RM50 juta pun.

Begitu juga dengan projek mengecat dan mengindahkan sebuah sekolah, yang subkontraktornya hanya diperuntukan RM120,000 tetapi nilai sebenar melebihi RM200,000. Saya tidak bercakap tentang sebuah sekolah tetapi ia melibatkan ratusan sekolah di seluruh negara. Projek membina sebuah istana, kos awalnya melebihi RM1,100 juta tetapi selepas didedahkan oleh Harakah, boleh pula diturunkan kepada sekitar RM600 juta.

Laporan Ketua Audit

Kita juga belum lupa Laporan Ketua Audit Negara 2006, antara lain mendedahkan bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Belum lagi diambil kira kos membina enam kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, ketika Dato' Seri Najib Menteri Pertahanan yang pada awalnya bernilai RM5.35 bilion, ditambah kepada RM6.75 bilion tanpa sebarang justifikasi. Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan RM943.46 juta kepada kontraktor disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan. Kontraktor yang dipilih juga didapati tidak layak!

Rasanya tidak perlu kita dibebankan dengan lebih banyak fakta. Ia sudah cukup untuk membuktikan wang pembayar cukai tidak diuruskan dengan cermat, sebaliknya dieksploit untuk memperkayakan diri dan suku-sakat. Hatta wang yang diguna untuk kemudahan awam seperti sekolah, hospital, jalan raya juga dibazirkan dengan cara yang langsung tidak bertanggungjawab. Justeru, bila tiba waktu membayar cukai, ia terpaksa dilunasi dengan begitu berat hati.

Perlunya media bebas

Oleh itu, saya sentiasa menekankan agar media kita bebas untuk melaporkan segala kepincangan kerajaan terutama dalam menguruskan dana awam. Agensi pencegah rasuah mestidiperkasa dan bergerak independen tanpa kongkongan pemerintah, khususnya Perdana Menteri. Undang-undang antikorupsi harus mampu mencegah amalan rasuah yang kini semakin sofistikated. Penubuhan Ombudsman yang menyiasat pengaduan awam harus disegerakan.

Ketua Audit Negara pula mesti dilengkapkan dengan kemudahan yang mencukupi dan sumber kewangan bebas agar ia tidak menjadi seperti "pencuri memilih anjing penjaga". Jawatan itu mesti disandang oleh tokoh berintegriti tinggi dan bertanggungjawab dengan Parlimen. Selain itu, pendedahan harus disusuli tindakan perlu termasuk membawa ke muka pengadilan. Barulah nanti rakyat ikhlas membayar cukai ... _

SPRM boleh pantau PAS, tetapi selesaikan dahulu rasuah Umno

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - PAS berpendirian terbuka seandainya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan pemantauan terhadap pemimpin yang bertanding sempena Muktamar PAS tahun ini.

Sebaliknya PAS juga menyarankan agar SPRM menyelesaikan dahulu kes-kes rasuah dalam Umno yang sehingga kini masih belum diambil tindakan sepenuhnya oleh badan itu, kata Ketua Penerangannya, Dato' Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui dalam penyerahan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu di sini semalam.

Secara umumnya kata Mahfuz, SPRM berhak menjalankan sebarang siasatan yang sewajarnya ke atas pemimpin PAS kerana SPRM sememangnya bertanggungjawab untuk menyiasat hal-hal melibatkan rasuah dan penyelewengan.

Namun siasatan itu katanya, tidak boleh dijadikan SPRM untuk mempunyai persepsi negatif terhadap parti politik lain hanya disebabkan parti Umno yang sudah sinonim dengan kes rasuah dan penyelewengan.

SPRM dinasihatkan terlebih dahulu perlu mengambil tindakan terhadap ahli-ahli Umno yang didapati terlibat dalam kes politik wang seperti Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; dan Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Mahfuz turut meminta penjelasan daripada pihak SPRM berhubung pendakwaan kes rasuah ke atas bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz yang belum diketahui statusnya.

Mahfuz yakin dengan contoh pemerintahan bersih yang diamalkan kerajaan PAS Kelantan, dan pemilihan yang berjalan baik sebelum ini, akan diteruskan.

Beliau juga amat yakin pemimpin PAS bersih daripada sebarang kes penyelewengan mahupun gejala politik wang. - wann /mks. _

Gadai agama tidak wujudkan perpaduan

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Keharmonian serta perpaduan antara kaum di dalam negara ini tidak akan dapat dicapai dengan menggadaikan prinsip agama, kata Naib Presisden PAS, Mohamad Sabu.

"Menggadai prinsip agama mana-mana kaum dalam negara ini, lebih-lebih lagi prinsip agama seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja tidak akan mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara kaum malah ia tidak ubah seperti bom jangka yang akan memusnahkan negara ini," kata beliau mengulas tindakan kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak yang memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Beliau menjelaskan, negara berbilang kaum memang memerlukan tolak ansur yang berpatutan dan perasaan saling menghormati serta memahami antara satu sama lain, tetapi tindakan membunuh prinsip agama mana-mana kaum boleh mencetuskan ketegangan yang tidak sepatutnya.

"Jika berlaku perkara yang tidak sepatutnya, kabinet Najiblah yang bertanggungjawab kerana membuat keputusan yang tidak memperlihatkan kewarasan itu," Mohamad mengingatkan.

Sebagai umat Islam, beliau melihat keputusan kabinet Najib itu membunuh prinsip amar ma'ruf yang diwajibkan oleh Islam.

"Najib dan kabinetnya telah menjadikan Malaysia sebagai tanah perkuburan dakwah.

"Ibu bapa yang memeluk Islam tidak boleh mendakwahkan anaknya sendiri sehingga anak itu memeluk agama Islam.

"Bunuh dakwah, bunuh amar ma'ruf. Nahi mungkar sudah lama mereka bunuh," katanya.

Beliau juga mengecam tindakan Najib menyerahkan persoalan mengenai agama kepada orang yang bukan ahlinya.

"Islam menyifatkan tindakan menyerahkan sesuatu perkara kepada orang yang bukan ahlinya sebagai tindakan zalim.

"Persoalan akidah anak penganut agama Islam diserahkan kepada Koh Tsu Koon dan Subaramaniam sedangkan perkara itu boleh dilakukan melalui timbang tara pelbagai pihak yang lebih adil dan memahami," katanya.

Keputusan kabinet Najib itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tiga kanak-kanak berkenaan iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinesh, 11 dan Prasana Diksa, setahun, yang dibawa memeluk Islam oleh Mohd. Ridzuan pada 12 April lalu dengan menggunakan bukti sijil kelahiran.

"Tak sampai sebulan menjadi Perdana Menteri, pelbagai perkara merapu yang dilakukan oleh Najib termasuk dalam soal ekonomi, pembentukan kabinetnya hinggalah soal agama.

"Apa akan jadi kepada negara ini kalau lebih lama beliau menjadi Perdana Menteri?" kata Mohamad._

Enggan saman isu Altantuya, Najib rahsiakan sesuatu?

M Khaleel Kas


KUALA LUMPUR - Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali menyokong cadangan Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar agar Majlis Raja-raja menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mustafa Ali, cadangan itu wajar kerana nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Walaupun sebelum ini terdapat desakan oleh pelbagai pihak agar Najib atau kerajaan Malaysia menyaman akhbar-akhbar asing yang membuat laporan itu.

Namun kata Mustafa, Najib atau kerajaan masih terus berdiam diri, dan hanya membuat penafian sahaja.

"Penubuhan suruhanjaya ini wajar kerana sebelum naik jadi PM lagi, Najib memiliki 'bagage' yang sarat dengan isu-isu yang dikaitkan dengannya," kata Mustafa ketika temui di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.

Beliau juga melihat, semacam ada kebimbangan atau rahsia yang disimpan apabila Najib enggan menyaman akhbar asing berhubung tuduhan ke atas Perdana Menteri itu.

Malah beliau juga melahirkan persoalan samada ada perkara yang disembunyikan agar tidak terdedah berikutan keenganan Najib atau kerajaan membersihkan namanya dengan landasan undang-undang.

"Najib atau kerajaan boleh memanggil kedutaan negara-negara yang mana akhbar mereka melaporkan isu tersebut untuk meminta kerjasama memberi penjelasan," katanya.

Namun hingga kini, tindakan tersebut juga gagal dilakukan Najib hingga pelbagai persepsi atau spekulasi yang timbul kerana kegagalan itu.

Terdahulu, Mahfuz bersama Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mahfuz, penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu perlu ditubuhkan setelah nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu dan pembelian kapal selam yang dikaitkan oleh media antarabangsa dengan Najib menyebabkan nama baik negara kini tercemar. - mks. _

Enggan saman isu Altantuya, Najib rahsiakan sesuatu?

M Khaleel Kas


KUALA LUMPUR - Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali menyokong cadangan Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar agar Majlis Raja-raja menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mustafa Ali, cadangan itu wajar kerana nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Walaupun sebelum ini terdapat desakan oleh pelbagai pihak agar Najib atau kerajaan Malaysia menyaman akhbar-akhbar asing yang membuat laporan itu.

Namun kata Mustafa, Najib atau kerajaan masih terus berdiam diri, dan hanya membuat penafian sahaja.

"Penubuhan suruhanjaya ini wajar kerana sebelum naik jadi PM lagi, Najib memiliki 'bagage' yang sarat dengan isu-isu yang dikaitkan dengannya," kata Mustafa ketika temui di Pejabat Agung PAS baru-baru ini.

Beliau juga melihat, semacam ada kebimbangan atau rahsia yang disimpan apabila Najib enggan menyaman akhbar asing berhubung tuduhan ke atas Perdana Menteri itu.

Malah beliau juga melahirkan persoalan samada ada perkara yang disembunyikan agar tidak terdedah berikutan keenganan Najib atau kerajaan membersihkan namanya dengan landasan undang-undang.

"Najib atau kerajaan boleh memanggil kedutaan negara-negara yang mana akhbar mereka melaporkan isu tersebut untuk meminta kerjasama memberi penjelasan," katanya.

Namun hingga kini, tindakan tersebut juga gagal dilakukan Najib hingga pelbagai persepsi atau spekulasi yang timbul kerana kegagalan itu.

Terdahulu, Mahfuz bersama Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu segera menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bagi memulihkan nama baik negara.

Kata Mahfuz, penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu perlu ditubuhkan setelah nama negara kini kian tercemar akibat laporan media antarabangsa yang melibatkan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan isu pembunuhan Altantuya Shaariibu dan pembelian kapal selam yang dikaitkan oleh media antarabangsa dengan Najib menyebabkan nama baik negara kini tercemar. - mks. _

Perlembagaan PKR dipinda, hadkan tempoh pegang jawatan

MSTAR ONLINE


GEORGE TOWN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memuktamadkan proses meminda perlembagaan parti itu, antara lain mahu mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan presiden iaitu antara dua dan tiga penggal sahaja.

Parti itu dijangka membenarkan kira-kira 30,000 ahlinya memilih pemimpin di peringkat pusat serta menambah jumlah naib presiden daripada lima kepada tujuh.

Cadangan pindaan yang diperhalusi sejak awal tahun ini telah diluluskan oleh jawatankuasa khas mengkaji pindaan perlembagaan PKR.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan yang dikemukakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat kongres tahun ini.

"Kita sedang membuat pelarasan kecil kerana kita mengakui keahlian PKR telah bertambah kepada 30,000.

"Kita mesti mempunyai keseimbangan dengan menggabungkan pemimpin-pemimpin lama dan baru dalam parti," katanya semalam.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pindaan perlembagaan parti dilakukan untuk memperlihatkan parti itu menyokong prinsip demokratik yang kukuh selain mencegah sebarang bentuk rasuah daripada menjalar ke dalam parti itu.

"Sebahagian daripada peruntukan perlembagaan kita ada sedikit persamaan dengan Umno, di mana para perwakilan di peringkat cawagan dan bahagian akan memilih pemimpin-pemimpin di nasional.

"Sekarang, kita telah membuat keputusan untuk mengubahnya dengan membenarkan semua ahli parti turut serta memilih pemimpin peringkat pusat," katanya.

Sejajar dengan usaha meminda perlembagaan, kata beliau, PKR juga merancang untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini berbanding jadual asal tahun depan.

DUN Penanti: Umno putuskan esok

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Keputusan sama ada Umno akan meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan dijangka akan diputuskan esok.

Biro Politik Umno akan bermesyuarat petang esok.

Mesyuarat tersebut dijadual akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya pukul 5 petang.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mengenai perkara tersebut.

"Ya, esok Biro Politik akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada BN (Barisan Nasional) yang diwakili Umno akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil Penanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi kerusi DUN Penanti ialah 23 Mei ini dan jika ada pertandingan, hari pengundian akan diadakan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Maklumat yang diperoleh daripada lawan web Umno juga memberitahu mesyuarat berkenaan akan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib-naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selain itu mesyuarat tersebut juga bakal dihadiri oleh ketua pergerakan sayap-sayap parti, Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan dan Setiausa Kerja serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri.

Antara perkara lain yang dijangka akan turut dibincangkan ialah mengenai situasi politik semasa.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan sama ada BN akan bertanding pada pilihan raya kecil Penanti akan ditentukan oleh Najib.

Muhyiddin berkata, Najib akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik parti yang dipengerusikannya dalam tempoh terdekat ini sebelum mengambil keputusan tentang perkara itu.

"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, Perdana Menteri akan berbincang dengan Biro Politik dalam tempoh terdekat ini dan akan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya.

Pondok panas : Pakatan Rakyat mahu penjelasan SPR

Anna Yusof


PETALING JAYA : Pakatan Rakyat mahu penjelasan dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu melarang barung atau pondok panas didirikan semasa hari pembungana undi.

“Pakatan Rakyat amat terkejut dengan kenyataan itu kerana pihak SPR tidak memberi sebarang reaksi semasa mendengar hujah dari Pakatan Rakyat tetapi sebaliknya mengeluarkan kenyataan di akhbar selepas mendegar hujah kami,” kata Pengarah Pilihanraya Pas Mustafa Ali dalam sidang akhbar yang diadakan di ibupejabat Pas hari ini.

Berikutan keputusan SPR semalam yang melarang kewujudan barung atau pondok panas dan peraih undi sama sekali bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.

“Walaupun Pakatan Rakyat telah memberikan hujah kukuh dengan menyatakan bahawa pondok panas bukan penyebab atau mendatangkan pergaduhan kerana setakat ini tidak ada sebarang laporan polis yang dibuat mana-mana pihak,” kata beliau.

“Pada tahun 2004, sebelum pilihan raya, SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, Barisan Nasional telah mendirikan pondok panas sedangkan kita patuh dengan peraturan itu, bila kita tanya SPR, mereka kata peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya itu,” katanya Mustafa lagi

Terkini SPR memutuskan semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas 50 meter dari bilik mengundi selain dilarang memancing undi pada hari mengundi yang akan dikuatkuasakan mulai pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti penghujung bulan depan.

Menurut Mustafa, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil .

Berhubung mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon, Saifuddin berkata, tindakan itu juga tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.

“Ia adalah hari rakyat mengamalkan hak demokrasi yang mereka ada. SPR tidak perlu menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan kerana itu kerja poli, biar polis lakukan kerja mereka,” katanya.

Katanya, beliau yakin larangan-larangan yang dikeluarkan oleh SPR ditujukan khusus kepada Pakatan Rakyat.

“Pihak KeADILan juga sangat kecewa dengan keputusan SPR semalam,” kata Ahli Majlis Tertinggi Sivarasa Rasiah yang juga menghadiri sidang akhbar tersebut.

“SPR telah mengeluarkan kenyataan larangan itu tanpa memberi hujah-hujah balas terhadap alasan yang telah kita berikan dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau percaya larangan itu dikeluarkan bagi menyekat jumlah peraih undi bagi Pakatan Rakyat yang lazimnya ramai pada hari mengundi.

“Kalau dulu, di sesetengah tempat, BN lebih ramai dari pembangkang tapi sekarang pembangkang dah lebih ramai berbanding BN,” katanya.

“Tindakan mengehadkan jumlah penyokong itu juga tidak wajar dilakukan kerana bilangan penyokong yang ramai untuk memeriahkan hari penamaan calon adalah perkara biasa,” jelas beliau.

Katanya, “Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat sama ada hari ini atau esok berhubung keputusan SPR semalam,”

Berhubung isu yang sama, Bendahari Dap, Fong Kui Lun berkata, SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.

Fung berkata, beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi.

Sementara itu, ahli Parlinen Pas bukit Raja Dr mariah mahmus berkata bahawa secara tradisinya pondok panas sudah ujud semenjak pilihanraya pertama lagi pada tahun 1959.

“Ianya terbukti bahawa pondok panas sangat memberi manafaat kepada pengundi untuk memudahkan dam melancarkan perjalanan pilihanraya,” jelas beliau.

“Hanya kerana akhir-akhir ini pondok panas Pakatan Rakyat yang sentiasa penuh dan lebih meriah, maka ianya harus dihentikan, dulu pondok panas berpihak kepada BN, pihak parti lain akur dengan keadaan itu,” jelas beliau lagi.

Dr Mansor 'menanti' di Penanti

Oleh G.Manimaran


PARTI Keadilan Rakyat (PKR) yang biasanya 'terkelakang' dalam mengumumkan calonnya bertanding pilihan raya kecil mengambil langkah awal menamakan bakal calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Ia diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Calonnya ialah Dr. Mansor Osman, bekas setiausaha politik Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mansor juga merupakan Timbalan Pengerusi Berhubungan PKR Pulau Pinang.

Mansor pernah bertanding di kerusi DUN Pulau Betong pada Mac 2008 tetapi tewas dengan perbezaan 294 undi di tangan Muhamad Farid Saad dari BN-Umno.

"Kami sudah memilih calon, akan mengumumkan calon ini esok... akan diumumkan di Penanti," kata Pengarah Pilihan Raya PKR yang baru, Saifuddin Nasution ketika dihubungi mStar Online.

Pelantikan Saifuddin sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR diumumkan oleh Anwar hari ini. Sebelum ini Saifuddin merupakan Pengarah Strategik PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti dan jika ada pertandingan, hari mengundi adalah pada 31 Mei.

Kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Penanti wujud berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin.

Fairus, 33, daripada PKR mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Ketika ditanya mengapa PKR mengumumkan calonnya terlalu awal berbanding masa-masa lalu, Saifuddin berkata, "pengumuman dibuat mengikut keperluan... adakalanya kita perlu mengumumkan lebih awal, ada waktunya kita perlu mengumumkan lewat."

"Tak timbul soal cepat atau lambat," katanya.

Dengan pengumuman esok, kata beliau, PKR akan ada masa kira-kira tiga minggu menjelang hari penamaan calon untuk membuat persiapan.

Ketika pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini PKR merupakan parti terakhir membuat pengumuman mengenai calonnya.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Daftar Pemilih yang akan digunakan SPR pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemas kini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa. / Mstar

PAS Terus Kukuh Dengan Gabungan Ulama’ dan Profesional.

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU – Rahsia kekuatan PAS adalah kerana ia melibatkan gabungan dan kerjasama sedia ada antara golongan ulama serta profesional.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib menafikan wujudnya puak-puak dalam PAS dan menegaskan ia adalah kritikan dari luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam PAS.

“Bukan orang Pas menimbulkan isu ini, sebenarnya tidak pernah berlaku dalam Pas tetapi hanya akhbar yang timbulkan.

“Golongan ulama dan profesional sama-sama menyokong perjuangan Mursyidul Am Pas yang diterajui Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” katanya kepada pihak media, disini, semalam.

Beliau berkata kerjasama erat berkenaan adalah ‘ramuan’ utama menjadikan PAS kekal dan kuat sehingga kini.

Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat berkata, sokongan ahli kepada kedua-dua pemimpin utama atau kepada mana-mana indidvidu tidak sesekali mewujudkan pengaruh yang berbeza-beza, kerana semua ahli PAS mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama.

Justeru, katanya, PAS berbeza daripada UMNO kerana PAS adalah ‘terbuka’ dan tidak menetapkan golongan mana berhak menerajui kepimpinan tertinggi sama ada profesional, ulama atau sesiapa sahaja.

Namun katanya, ulama yang lebih berilmu, lebih mengetahui tentang Islam yang menjadi dasar PAS, selain peranan golongan profesional mengukuhkan perjuangan parti.

“Antara individu terbabit dalam kategori profesional adalah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Datu’ Paduka Husam Musa.

“Selain itu, (di negeri Terengganu) Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong adalah golongan profesional, justeru, jalinan PAS lebih mantap kerana dua-dua (ulama dan profesional) sama saluran,” katanya

Pelantikan Hishamudin - UMNO Terengganu Akan Berpecah Tiga

Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU – Pelantikan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu baru tidak akan menyatukan semula UMNO Terengganu.

Bahkan, UMNO Terengganu akan mengalami perpecahan lebih serius dan teruk dengan pelantikan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Terengganu Hj Muhyidin Abd Rashid (gambar) berkata berkata demikian apabila diminta mengulas perkara berkenaan disini, semalam.

Menurutnya, UMNO Terengganu akan berpecah daripada dua tiga kumpulan kerana tidak semua anggota parti itu bersetuju dan menyokong pemilihan Hishammuddin menggantikan tempat Dato’ Ahmad Said.

“Pelantikan Hishamudin, yang tidak mempunyai pengalaman sebagai pengerusi Perhubungan negeri akan mendedahkan UMNO Terengganu kepada tiga golongan,

“Sudah terdengar desas-desus dikalangan penyokong UMNO peringkat bahawan yang tidak berpuas hati (dengan lantikan Hishamudin), ini akan mewujudkan kumpulan baru (yang tidak berpuas hati).

Katanya, berdasarkan sejarah, kewujudan kumpulan yang menyokong tokoh tertentu dalam UMNO sudah berlaku sekian lama.

Sebelum ini, katanya, pada akhir tahun 90an wujud kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan kumpulan menyokong Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.

“Pada masa yang sama wujud kumpulan yang meyokong Dato’ Abu Bakar Daud dan kumpulan yang menyokong Dato’ Dr.Tengku Mahmud Mansor,”ujarnya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pemilihan Hishammuddin juga sebenarnya mengesahkan kepada umum bahawa Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu dan Datuk Seri Idris Jusoh tidak mampu bekerjasama.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan keadaan UMNO Terengganu sukar untuk pulih dan bersatu seperti sediakala kerana masing-masing tidak dapat menerima antara satu sama lain.

Apabila ditanya, adakah pelantikan Hishamudin akan memberi kesan kepada pengaruh PAS, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada PAS.

“Kemenangan PAS pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada bulan Januari lalu adalah manifestasi rakyat Terengganu yang dapat membezakan antara pemerintahan PAS dengan pemerintahan UMNO/BN,”tambahnya.

Hari Kebebasan Akhbar Sedunia: Cadangan Syed Hamid tidak disambut Hishammuddin

Mat Zain Mat Isa


INGAT lagi dengan saranan Dato' Seri Syed Hamid Albar baru-baru agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan? Sewaktu melontarkan cadangan itu, 7 April lalu, pemimpin itu masih bergelar Menteri Dalam Negeri. Kini, apa sudah jadi dengan cadangan yang sangat baik itu?

Apakah semata-mata kerana orang yang membuat gesaan itu sudah tidak menjadi anggota kerajaan, maka apa jua yang pernah disuarakannya tidak perlu diambil pusing lagi oleh kerajaan?

Akta tidak relevan lagi

Dalam kenyataannya itu Syed Hamid mencadangkan kepada kerajaan supaya memansuhkan dua akta yang disifatkannya sudah tidak relevan. Selain Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, satu lagi akta dimaksudkannya ialah Akta Kediaman Terhad 1953.

Beliau turut menyebut tiga akta yang perlu dikaji secara mendalam. Akta-akta dimaksudkan ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK).

Saranan tersebut dilihat amat kena pada tempatnya dan tepat pada masanya. Kelima-lima akta tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipimpinnya ketika itu. Secara logiknya, beliau adalah orang paling memahami berkenaan kesesuaian peraturan-peraturan disebutkan itu dan paling layak untuk memperkatakan mengenainya.

Ia juga kena pada masanya. Sepertimana diakui Syed Hamid sendiri ketika itu, pemansuhan dan penilaian semula akta-akta itu akan dapat memenuhi gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mewujudkan Satu Malaysia.

Bergerak lebih bebas

Baginya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan boleh dimansuhkan bagi membolehkan syarikat-syarikat penerbitan bergerak lebih bebas sejajar dengan tuntutan rakyat masa ini.

"Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu," katanya, sebagaimana dipetik akhbar, 8 April.

Meskipun agak mengejutkan pengamal media, keterbukaan pemimpin kerajaan itu dilihat sebagai satu penafsiran dan penghuraian lanjut atas prinsip lebih liberal yang cuba secara zahirnya ditunjukkan Najib.

Dua hari sebelumnya, Najib mengajak media bersama-sama kerajaan membentuk wacana nasional baru berasaskan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban, berkhidmat untuk semua, bukan kelompok tertentu serta menghormati dan adil terhadap pandangan rakyat.

Media bertaraf dunia

Pada majlis Malam Anugerah Wartawan Institut Akhbar Malaysia - Petronas 2008 di ibu negara, 6 April, Najib menegaskan negara memerlukan media bertaraf dunia yang membuat laporan berdasarkan fakta dan sentiasa bersikap adil dan bertanggungjawab.

"Media hanya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat jika ia melangkaui laporan cetek, menyoal penyebar khabar angin, tidak menyokong berita palsu dan melaporkan kebenaran yang disertakan keterangan, tidak kira sama ada ia membantu kerajaan atau tidak," katanya.

Beliau juga berkata, dalam usaha membentuk demokrasi yang dapat memberi maklum balas kepada rakyat, negara memerlukan media yang diberi kuasa untuk melaporkan apa yang dilihat, tanpa rasa takut terhadap akibatnya.

Kenyataan yang pada zahirnya sangat terbuka itu, dinilai bersama dengan tindakan Najib beberapa hari sebelumnya yang menarik balik penggantungan permit penerbitan dua akhbar milik parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan, sedikit sebanyak menghasilkan tanggapan bahawa uslub kongkongan media diamalkan kerajaan sebelum ini sudah beranjak.

Apa lagi yang dapat ditafsirkan dari kalimah-kalimah 'tanpa rasa takut terhadap akibatnya' dan 'tidak kira sama ada ia membantu kerajaan atau tidak'? Bukankah itu isyarat keterbukaan dan kebebasan media?

Era baru lebih terjamin

Sebab itu apabila dua hari berikutnya tersiar pula cadangan Syed Hamid agar akta yang selama ini dilihat menjadi kongkongan utama kepada media dimansuhkan, rakyat bagai diyakinkan bahawa kebebasan media sudah memasuki era baru lebih terjamin.

Malangnya, belum sempat prinsip keterbukaan Perdana Menteri itu disebarluas dan disambut baik rakyat, sudah ada media arus perdana melontarkan kebimbangan atas keterbukaan itu.

Minda Pengarang sebuah akhbar memilih untuk menyorot prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban dimaksudkan Najib itu dari perspektif berbeza.

"Meskipun ini satu pembaharuan kebebasan bersuara melalui media, wujud semacam budaya baru penyebaran khabar angin sama ada oleh wartawan akhbar politik atau penulis blog yang berselindung di sebalik kebebasan itu," tulisnya.

Sebar khabar angin

Oleh kerana yang mengulas itu adalah media arus perdana, maka seolah-olah ia cuba membentuk satu persepsi kononnya media alternatif lebih cenderung menyebar khabar angin dan tidak mengemukakan laporan secara telus dan bertanggungjawab.

Lalu, justifikasi yang digubal sendiri oleh media tersebut menjuruskannya kepada kesimpulan betapa perlunya beberapa akta disebutkan Syed Hamid tadi dikekalkan.

"Kita akui pelbagai akta boleh diguna pakai untuk membendung masalah ini (laporan tidak bertanggungjawab) daripada terus berleluasa seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan banyak lagi," tegas pengarang itu.

Cadangan bernas Syed Hamid tinggal begitu sahaja

Secara tidak langsung dapat disimpulkan di sini bahawa pandangan para pengamal media sendiri sudah bercanggah terhadap prinsip kebebasan media. Penerimaan berbeza terhadap akta yang dinilai oleh Syed Hamid sebagai tidak relevan itu juga menyulitkan kerajaan untuk menilainya semula. Itu pun jika ia benar-benar ada hasrat ke arah itu.

Kini Syed Hamid sudah tidak lagi menjaga KDN. Bahkan dia tak ada pun dalam Kabinet lagi. Setakat ini tidak nampak cadangannya mengenai pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu cuba diteruskan penggantinya.

Makanya, segala peraturan di bawah akta itu yang mengongkong kebebasan media masih kekal membelenggu syarikat-syarikat media. Itu juga bermakna kalimah 'tanpa rasa takut terhadap akibatnya' yang diucapkan Najib masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya._

PAS minta pimpinan negeri anjur solat doakan kesejahteraan Sultan Selangor

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: PAS Selangor meminta pimpinan parti negeri itu supaya menganjurkan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang akan menjalani pembedahan di Amerika Syarikat.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali telah mengeluarkan arahan supaya solat hajat perdana dan munajat itu diadakan akan diadakan di setiap kawasan negeri itu.

"Ahli dan penyokong PAS diminta melakukan solat yang sama sepanjang baginda menjalani pembedahan dan seterusnya dalam proses penyembuhan supaya segera sembuh dan kembali memayungi rakyat Negeri Selangor dengan penuh kasih sayang, keadilan dan kesaksamaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta ahli dan penyokong PAS supaya sentiasa mendoakan agar Tuanku menjalani proses rawatan dengan penuh ketabahan dan sentiasa mengharapkan keredahan Allah.

Selasa, 28 April 2009

Nizar fail usul cabar Perkara 63

SINAR HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam memfailkan notis usul untuk mendapatan perisytiharan mahkamah bahawa Perkara 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah tidak sah dan terbatal.

Mohammad Nizar, 52, memfailkan notis usul itu melalui peguamnya Tetuan Leong & Tan di pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini, dan menamakan kerajaan Perak, kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Mohammad Nizar menyatakan pindaan dalam Perkara 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP), yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar isu-isu perlembagaan berkaitan krisis politik negeri Perak, adalah bertentangan dengan Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang pindaan kepada Perkara 63 selepas Hari Merdeka hendaklah dibuat melalui Perkara 162(1) Perlembagaan Persekutuan, ini kerana bidang kuasa Mahkamah Persekutuan hanya boleh diberikan oleh Parlimen, dan bukan Dewan Perhimpunan Negeri.

“Oleh itu Dewan Perhimpunan Negeri Perak tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan Seksyen 38 Enakmen (Pindaan) UTKP dan ia harus dideklarasikan sebagai batal dan tidak sah,” kata Mohammad Nizar.

Dengan notis usul yang difailkan, Mohammad Nizar memohon supaya pendengaran prosiding rujukan undang-undang bagi menentukan siapakah menteri besar Perak yang sah, yang ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Persekutuan, ditangguh sehingga permohonan didengar.

Ramlang cadang saman jika rayuan kedua ditolak

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Bekas Iman Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi bercadang akan mengenakan tindakan saman ke atas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekiranya rayuan kedua berhubung pemecatannya ditolak.

Menurutnya, beliau kini masih lagi menunggu keputusan tersebut memandangkan tempoh rayuan itu akan berakhir pada Mei depan.

“Saya tunggu keputusan itu, dan berharap tindakan pemecatan jawatan terhadap saya sebagai Imam Masjid Wilayah Persekutuan pada 20 Januari lalu tidak sah.

“Sekiranya saya masih dipecat setelah rayuan itu ditolak, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman bagi mencabar pemecatan saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, pemecatan jawatan imam masjid terhadap dirinya dianggap telah mencemarkan nama perkhidmatan awam apabila terlibat dalam kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh 28 Ogos lalu.

“Tujuan saya naik ke pentas bukan kerana politik tetapi untuk membersihkan nama dan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Menurutnya, sepanjang proses rayuan ini, beliau tidak memperoleh sebarang sumber pendapatan dan hanya mendapat upah menerusi kelas-kelas agama di beberapa tempat.

“Selepas tempoh rayuan saya akan buat keputusan sama ada untuk meneruskan kerjaya atau terima tawaran dari mana-mana negeri Pakatan Rakyat terutama Selangor,” katanya.

BN umum pendirian dalam masa terdekat

SINAR HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan pendirian parti itu sama ada akan meletakkan calon pa da pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dalam masa terdekat.

Pengerusinya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Biro Politik UMNO akan membincangkan perkara itu.

“Nantilah, Biro Politik UMNO akan bersidang dalam sedikit masa lagi untuk menentukan pendirian kita,” katanya yang juga Pengerusi biro terbabit pada sidang media mengenai liberalisasi sektor kewangan, di sini, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Penanti akan diadakan pada 23 Mei dan sekiranya ada pertandingan, pembuangan undi dijalankan pada 31 Mei depan.

Mengulas peraturan baru SPR melarang mana-mana parti politik mewujudkan pondok panas selain turut dilarang meraih undi ketika hari pengundian, Najib berkata, ia merupakan satu langkah yang baik.

Menurutnya, pondok panas pada pilihan raya kecil sebelum ini menyebabkan kehadiran penyokong terlalu ramai sehingga boleh menimbulkan ketegangan dan kekacauan antara parti politik yang bertanding.

“Jadi kalau tidak ada pondok panas ini, saya fikir ia akan menimbulkan satu suasana yang lebih tenteram dan mengelakkan kekacauan serta kerisauan pengundi untuk keluar mengundi nanti,” katanya.

Pilihan raya kecil keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) itu diadakan selepas penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, 17 April lalu.

Setakat ini, walaupun kemungkinan BN tidak meletakkan calonnya, pilihan raya kecil DUN Penanti dijangka tetap akan diadakan selepas bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas, kelmarin.

Tengku Temenggung K'tan hantar 'utusan damai' ke Jakarta

Jimadie Shah Othman


Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Tuanku Ismail Petra telah menghantar "utusan" untuk menemui ibu mertuanya, Daisy Fajarina, di Jakarta bagi mendamaikan hubungan antara kedua belah pihak, kata teman rapat pasangan tersebut, Mohd Soberi Shafii.

Mohd Soberi - yang mengaku kerap bersama pasangan tersebut sejak pertemuan pertama Manoharan Odelia Pinot dengan Tengku Muhammad Fakhry tiga tahun lalu - berkata utusan tersebut berlepas ke Jakarta semalam.

"Beliau pergi jam 2 (petang semalam). Saya rasa ibu Manohara (Daisy) tidak mahu berjumpa. Tetapi kita hantarlah," katanya yang kerap menggunakan slanga Indonesia dalam perbualannya.

Mohd Soberi bersetuju menemui Malaysiakini, sebuah agensi berita Indonesia - Antara - dan sebuah stesyen TV republik itu - TVOne - untuk menceritakan versi beliau mengenai isu sensasi itu. Pertemuan hampir sejam itu berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibunegara petang semalam.

Menurut Mohd Soberi, utusan itu juga diminta terus menjaga kebajikan ibu bekas model terkenal itu dan kakak beliau, Dewi Asih Pinot.

"Istana tidak mahu campur," kata Mohd Sobri bahawa utusan tersebut bukan wakil rasmi Istana Kelantan.

Sehubungan itu, kata Mohd Soberi , penyelesaian konflik pasangan tersebut kini "terpulang" kepada sikap ibu Manohara.

Tarik balik larangan

"(Perkara itu) terpulang kepada Daisy. Kalau (beliau kekal) agresif, masih berdendam, bagaimana (hendak selesai)?" kata Mohd Soberi Shafii.

Daisy sebelum ini mendakwa anaknya itu diculik dan didera kerabat diraja Kelantan itu, yang juga suaminya, dan juga mendakwa pernah didera, termasuk dilukakan di bahagian dada.

Isu itu mendapat perhatian besar, khususnya media Indonesia apabila Daisy tampil membuat kenyataan akhbar, mendesak campurtangan pemerintah republik itu.

Daisy juga berkata, beliau tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, yang didakwanya atas arahan Istana Kelantan. Bagaimanapun, pihak imigresen menarik balik larangan tersebut Isnin lalu, atas Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mohd Sobri juga berkata tidak perlu Duta Besar Indonesia di Malaysia, Dai Bachtiar membuat kunjungan ke Istana Kelantan berhubung perkara itu.

"Itu sudah jadi (hal) kerajaan. Kerajaan hendak masuk istana, kena sebaik-baiknya. Untuk apa (ke istana)? Kalau Pak Bachtiar pergi, tetapi ibu Daisy terus menghuru-harakan keadaan bagaimana?" soalnya.

Mengenai dakwaaan Daisy bahawa Tengku Temenggung Kelantan itu 'menculik' Manohara selepas selesai mengerjakan umrah, Mohd Soberi menjelaskan, ia berpunca daripada salah faham semata-mata.

"Pemandu di Jeddah tidak tahu. Dia bawa Daisy ke tempat jet (akan berlepas) juga. Itu yang jadi kelam-kabut sikit. Jet bila tutup pintu, tidak boleh buka dah.

Pulang dari Umrah

"Jadi, tertinggalah beliau (Daisy). Itu saja, itu yang beliau kata culik itu," katanya sambil menambah, Daisy sepatutnya pulang menaiki penerbangan lain.

Mohd Sobri berkata, beliau juga berada di situ dan menaiki jet yang sama dengan Tengku Temenggung dan isterinya pulang ke tanahair.

Menurutnya, turut bersama mereka ialah seorang pengawal peribadi suami isteri itu.

"Ejen perlancongan lupa cakap pada pemandu kereta. Sepatutnya (selepas) turun dari hotel, kita ke jet, beliau (Daisy) ke (penerbangan) komersial.

"Ibunya tak tahu. Bila ibu tengok anak naik jet, ibu menangis. Tetapi dalam kapal terbang, Manohara telefon beritahu (ibunya) mahu balik Kelantan dan ibu (pulang) ke jakarta," katanya.

Mohd Soberi mendakwa 'ketengangan' antara kedua pihak itu bermula apabila Daisy didakwa menuntut kerabat diraja itu melangsaikan hutangnya.

"Beliau (Daisy) minta supaya Tengku TT (Tengku Temenggung) bayar hutang. Sedangkan TT telah beri RM300,000," kata Mohd Sobri yang mendakwa hutang Daisy berjumlah RM600,000.

"Satu malam beliau bertempik di rumah Tengku TT, tempik macam orang gila. Kenapa tak bagi wang? Anak sudah dikahwini. (Tengku) TT kata hendak bayar, (dan minta) acknowledgement RM300,000 yang telah dibayar sebelum ini," kata Mohd Sobri.

'Berjanji di depan Kaabah'

Selepas itu, katanya, Daisy menerangkan kepada Tengku Temenggung mengenai perbelanjaannya dari wang tersebut.

"Di situ (Daisy) mula marah, kaburkan (bawa pergi) anaknya ke Jakarta," tambah Mohd Soberi.

Diminta menjelaskan keadaan semasa Manohara, beliau berkata, kedua pasangan itu sudah "berjanji dan berbai'ah" sebagai suami isteri daripada dunia sampai akhirat di depan Kaabah.

"Saya tanya Mano, masih mahu (bersama Tengku Temenggung)? (Katanya) Kalau tak mahu, saya sudah minta minta cerai. (Tengku) TT adalah lelaki pertama dan terakhir saya. Itulah ucapan Manohara setiap kali saya tanya, berpuluh kali," kata Mohd Soberi.

Beliau juga menjelaskan, Daisy dilarang masuk ke negara ini sebelum ini bagi mengelakkan beliau membuat 'kecoh' di Kelantan, tambahan lagi ketika itu menjelang hari keputeraan Sultan Kelantan Mac tahun lalu.

"Di sana beliau beritahu ejen perlancongan mahu ke Kelantan, suruh Manohara minta cerai. Mahu bawa balik Manohara. Kalau tak, beliau kecohkan hari keputeraan (Sultan). Ibu Daisy ini agresif, beliau tak takut sesiapa," katanya.

Mohd Sobri berkata, pertemuan ibunya dengan gadis berumur 17 tahun itu tidak sesuai diadakan pada masa ini.

"Kalau kita pertemukan (mereka) saat ini, saat beliau marah dan berdendam, beliau nanti menghasut anaknya, (dengan berkata) kamu sayang akukah? Kamu mahu lihat aku matikah? Jadi Manohara tidak boleh stand itu," katanya.

Sementara itu, usaha Malaysiakini beberapa kali untuk menghubungi Daisy bagi mendapatkan penjelasannya berhubung dakwaan Mohd Soberi, setakat ini belum berhasil.

PPIM: Segerakan sistem ladang babi moden

MALAYSIA KINI


Ekoran merebaknya selsema babi, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa supaya pelaksanaan sistem ladang ternakan babi moden disegerakan supaya risiko dan kegusaran masyarakat umum dapat dihapuskan.

"Ini kerana masih terdapat banyak ladang babi yang masih tidak terurus dan kumbahannya terus dibuang ke dalam saluran pengaliran yang tidak sewajarnya, seperti yang berlaku di Masjid Tanah, Melaka," kata Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin.

Katanya, kepimpinan baru perlu membuktikan kesungguhan bagi melaksanakan pembaharuan tersebut.

pig farm and dirty river"Bayangkanlah berpuluh tahun keadaan ladang babi yang tidak terurus dan mencemarkan alam sekitar, telah mengunding pelbagai kesan pencemaran pada alam sekitar dan risiko pelbagai penyakit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, PPIM berharap isu tersebut tidak dianggap 'tidak berkaitan', hanya kerana toleransi yang tidak kena pada tempatnya.

Sebaliknya, kata beliau, PPIM mahu ia diberi perhatian serius demi memastikan lambakan ladang babi yang tidak terurus dan mencemar alam tidak mendatangkan kemudaratan kesihatan kepada rakyat Malaysia pada masa depan.

PPIM juga menggesa kerajaan mengambil langkah serta kerjasama proaktif dengan pihak berkaitan untuk membangunkan sistem pencegahan bagi mencegah sebarang penularan wabak maut, terutama dengan kebanjiran warga asing yang membimbangkan di negara ini.

"Rakyat negara ini harus dipertahankan tanpa sebarang kompromi," kata Noor Nirwandy.

SPR belakangi demokrasi - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf disarankan supaya menjawat posisi Pengerusi Pemilihan Umno sahaja apabila sering dilihat menyebelahi Umno.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar semasa mengulas pelbagai isu yang membabitkan SPR mutakhir ini terutamanya dalam penangguhan pengumuman pilihan raya kecil Dun Penanti dan isu barung panas.

"Saya ingat lebih baik Pengerusi SPR ini jadi Pengerusi Pemilihan Umno, pasti Najib (Dato' Seri Najib Tun Razak) kekal jadi Presiden Umno seumur hidup," kata Mahfuz.

Dalam isu memansuhkan barung panas parti-parti politik, Mahfuz melihat tindakan SPR itu tidak rasional dan tidak membantu kelancaran perjalanan pembuangan undi.

Barung-barung panas disediakan parti politik yang bertanding hanyalah untuk membantu SPR dalam menyelesaikan perjalanan pembungan undi dengan lebih baik dan segera, katanya.

"Kita tak kisah jika SPR nak jarakkan lagi barung, jika nak mansuhkan itu akan hanya menutup ruang parti politik untuk memastikan penyokong parti masing-masing ada akses kepada maklumat tentang saluran mengundi," katanya.

Jika tiadanya barung panas, pastinya kelewatan dan kesesakan berlaku di barung SPR dimana pengundi akan bersesak menggunakan barung SPR sahaja, katanya.

Mengulas isu dolak halik SPR dalam mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi kerusi Dun Penanti, Mahfuz mengecam tindakan SPR itu.

"Apa yang dibuat SPR memang tidak rasional seperti dalam keputusan nak tentukan bila penamaan calon Dun Penanti,

"SPR berdolak-dalih, tunggu SPRM buat keputusanlah dan suruh Fairuz Khairuddin (bekas Adun Penanti) tarik balik keputusan dan macam-macam lagi, ini apa ini?," katanya kesal.

Justeru, beliau mengulangi cadangan agar Pengerusi SPR memegang jawatan Pengerusi Pemilihan Umno sahaja bagi memastikan Najib kekal selaku Presiden Umno selamanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut mempersoalkan tindakan SPR mengambil masa panjang untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian di Penanti.

Sikap SPR itu membayangkan betapa tahap kecekapan dan professionalisma badan tersebut sangat dipersoal dan mengurangkan keyakinan rakyat, katanya.

Guang Eng berharap SPR akan lebih efisien, bebas, adil dan bersikap profesional dalam melaksanakan pilihan raya kecil.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Saifuddin Nasution Ismail pula melihat keputusan SPR itu bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.

ujar Saifuddin, pada tahun 2004 (sebelum pilihan raya), SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN (Barisan Nasional) telah mendirikan pondok panas sedangkan Pakatan Rakyat patuh dengan peraturan itu.

Sebaliknya apabila pembangkang meminta penjelasan mengenai perubahan ketika itu, SPR mendakwa peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya tersebut, kata Saifuddin lagi.

Bagi Saifuddin, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil.

Saifuddin juga melihat cadangan menghadkan bilangan calon pula tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.

Mengulas isu yang sama, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berpendirian SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.

Beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi. - mks. _

Peningkatan kes rogol membimbangkan!

Mohd Sabri Said


TASEK GELUGOR - Peningkatan bilangan kes rogol sehingga 300 peratus sejak kebelakangan ini membimbangkan banyak pihak dan seharusnya langkah-langkah menanganinya dicari secepat mungkin.

Demikian kata Penyelaras Masjid, Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hasan dalam forum bertajuk 'Masalah Sosial, Cabaran Masa Kini' anjuran Masjid Permatang Sungai Dua dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Butterworth semalam.

Jelasnya, pada tahun 2007 kes rogol mencatatkan 1,241 manakala tahun 2008 meningkat kepada 4,959 kes.

"Sungguh memeranjatkan kes rogol di Malaysia meningkat 300 peratus. Situasi ini memang mengerunkan. Kerajaan perlu mencari formula terbaik untuk tangani segera, " ujarnya.

Turut serta sebagai ahli panel ialah Penolong Pengarah Bahagian Takmir, Ustaz Mohamad Imran Ibrahim, Pegawai Tadbir Agama Butterworth, Ustaz Salehudin Sulaiman dan dipengerusikan Pegawai Agama Perda, Ustaz Azhar Abdul Hamid.

Kata Ustaz Abu Bakar lagi, kepincangan masyarakat bermula daripada rumah tangga, alam keliling dan suasana negara mendorong individu memuaskan nafsu mereka bilamana berpeluang berbuat demikian.

Kes anak luar nikah pula daripada tahun 2000 sehingga bulan Julai 2008 berjumlah 257,411 orang yang mana nisbah 94 orang dilahirkan sehari semalam.

"Itu termasuk yang dilapor atau direkodkan tidak termasuk lagi yang dibuang ke laut, parit, tong sampah dan sebagainya," ujarnya.

"Kes anak luar nikah juga meningkat tinggi dalam masa tujuh tahun setengah. Di mana peranan kita untuk memastikan masyarakat terus cemerlang, " katanya.

Di kampung-kampung sekarang ini kelas pengajian agama masih di tahap rendah kerana ramai lagi masih tidak memikirkan kepentingannya, kata beliau.

"Ustaz ramai tetapi bila ada pengajian di masjid bilangan orang yang datang tidak seramai mana lebih ramai yang berlepak di kedai minum atau pasar malam," katanya.

Bila ketiadaan ilmu agama, remaja akan menjadi bertambah liar dan tidak mendekati masjid sebaliknya lebih suka berpoya-poya dengan teman di luar, ujarnya.

Memandangkan fenomena itu bertambah runcing maka semua pihak kena mainkan peranan seperti ibubapa kena mangawasi sikap anak-anak, katanya.

"Masyarakat pula digalak mengamalkan anak engkau anak aku manakala negara pula hendaklah menyemai progam berfaedah untuk mendidik ke arah insan bertamadhun, " ujarnya./wannordin _

Pakatan mahu SPR batal larangan pondok panas

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sebulat suara menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menarik balik keputusannya semalam yang melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi.

Malah Pakatan Rakyat juga sebulat suara menolak keputusan suruhanjaya itu semalam kerana beranggapan alasan-alasan yang diberikan adalah tidak munasabah.

"Kita mahu agar SPR tidak melaksanakan larangan yang mereka putuskan itu dan kita mahu sistem pilihan raya dilaksanakan seperti pilihan raya sebelum ini," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat juga mahu menemui semula SPR Khamis ini - buat kali kedua - bagi membincangkan mengenai larangan tersebut.

"SPR sebelum ini menyatakan bahawa parti-parti politik ini ialah pelanggan mereka, jadi kami sebagai pelanggan, mungkin akan pergi kedai mereka semula.

"Kami cadangkan untuk berjumpa dengan SPR Khamis ini untuk jelaskan semula dan untuk lihat apa sebenarnya perkara-perkara yang dirasakan (SPR) boleh menimbulkan masalah... kami akan berikan hujah-hujah," kata beliau selepas mengadakan mesyuarat bagi menentukan pendirian Pakatan Rakyat berhubung larangan tersebut di sini hari ini.

Semalam SPR memutuskan supaya semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa berkata, larangan yang dibuat oleh SPR itu bercanggah dan tidak mengikut undang-undang pilihan raya.

"Kami dah teliti dari segi undang-undang dan di sini kami menyatakan untuk menolak pendirian yang diambil oleh SPR.

"Ini satu pendirian yang tidak munasabah dan bagi kita ia tidak mengikut undang-undang pilihan raya itu sendiri," katanya.

Malah jelas Sivarasa, keputusan yang dibuat oleh SPR itu juga bercanggah dengan pendirian suruhanjaya sebelum ini.

"Keputusan ini bercanggah dengan pendirian mereka sendiri yang dibuat dulu pada pilihan raya umum 2004.

"Undang-undang pilihan raya membenarkan parti politik mendirikan pondok panas mengikut Seksyen 24 B (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Sivarasa juga berkata menerusi surat yang dikeluarkan oleh SPR pada 19 Mac 2004, jelas menyatakan bahawa semua parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya dibenarkan menubuh atau menyelenggara pejabat atau pondok parti di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

"Jadi jelaslah bahawa tindakan mereka melarang untuk adakan pondok panas bercanggah dengan tafsiran mereka sendiri yang dibuat dahulu," katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Maria Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Tiada sengketa antara Nik Aziz-Hadi

BERNAMA


RANTAU PANJANG: Tidak wujud persengketaan atau konflik kepimpinan antara dua pemimpin tertinggi PAS, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini.

Beliau berkata, khabar angin kononnya berlaku perpecahan antara Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya merupakan khabar angin yang digembar-gemburkan tertentu terutamanya media.

Hakikat sebenarnya, katanya, konflik yang digembar-gemburkan itu hanyalah perbezaan pendapat antara keduadua pemimpin dan ini adalah lumrah di dalam kepimpinan yang mengamalkan demokrasi.

"Oleh itu, ahli parti harus bertenang dan tidak mudah mempercayai sesuatu kenyataan yang berbentuk kontroversi," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa badan itu masih belum berbincang berhubung kenyataan anak Mursyidul Am itu, Nik Abduh yang percaya pembantu-pembantu bapanya berkonspirasi dengan niat untuk melaga-lagakan bapanya dengan Abdul Hadi.

Abdul Fatah berkata, sebarang kata putus mengenai isu itu hanya akan ditentukan oleh Mursyidul Am itu yang akan pulang daripada menunaikan umrah di Mekah pada 2 Mei ini.