Selasa, 10 Mac 2009

Wakil DAP kekal MP Bandar Kuching

BERNAMA


KUCHING:Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pemilihan naib pengerusi DAP Chong Chieng Jen sebagai anggota Parlimen Bandar Kuching selepas menolak dengan kos rayuan seorang pengundi, Kho Whai Phiaw yang mencabar keputusan petisyen pilihan raya sebelum ini.

Mahkamah memutuskan hakim pilihan raya, Hakim Datuk Clement Allan Skinner, membuat keputusan betul apabila menolak petisyen pilihan raya Kho pada 24 Sept tahun lepas untuk membatalkan pemilihan Chong bagi kerusi Bandar Kuching.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, Chong memperoleh 22,901 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Sim Yaw Yen dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak dengan majoriti 9,952 undi.

Mahkamah juga bersetuju semua rumusan mahkamah pilihan raya dan bahawa Kho telah gagal membuktikan keraguan melampaui munasabah bahawa Chong telah melakukan lima kesalahan empat berkaitan dakwaan menggunakan pengaruh tidak sepatutnya dan satu lagi berkaitan dakwaan merasuah pengundi untuk memperoleh kemenangan dalam pilihan raya itu.

Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Dalam petisyen pilihan raya itu, Kho memohon dibatalkan keputusan pilihan raya itu atas alasan Chong telah campur tangan atau cuba campur tangan dengan kebebasan hak pengundi untuk mengundi, bertentangan dengan Seksyen 9(1) Akta Kesalahankesalahan Pilihan Raya.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan Kho gagal membuktikan keraguan melampaui munasabah yang Chong telah membuat kenyataan palsu yang telah menjejaskan tatalaku atau peribadi Sim sebagai calon.

Kho juga mendakwa risalah, "Say Enough To SUPP, Say No' to CM", mengandungi andaian palsu atau salah tafsir, yang bertujuan sengaja mahu memperdayakan pengundi di kawasan Bandar Kuching.

Kebolehpercayaan keterangan beberapa saksi juga turut dipersoalkan, termasuk oleh Merdict Jukai Empaka, seorang pengundi yang mengaku beliau "datang ke mahkamah untuk berbohong" dengan menyatakan beliau tidak mengundi kerana beliau dipengaruhi atau didorong oleh apa yang dinyatakan dalam manifesto DAP Sarawak.

Mengenai pertuduhan rasuah, Hakim itu berkata ia tidak dapat diterima kerana hanya terdapat 3,000 salinan terhad Manifesto DAP Sarawak, yang dilancarkan oleh pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan diterima oleh DAP Kuching pada 4 Mac, adalah berbeza dengan manifesto DAP kebangsaan.

Tiada ulasan: