Selasa, 10 Mac 2009

Visa pekerja Bangladesh dibatal serta-merta - Syed Hamid

BERNAMA


PUTRAJAYA: Semua visa kemasukkan pekerja asing dari Bangladesh yang diluluskan pada 2007 dan masih belum memasuki Malaysia dibatalkan serta merta, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, beliau berkata, tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak menerima sebarang permohonan baru, melainkan untuk sektorsektor tertentu yang kritikal.

"Kerajaan telah mengambil keputusan untuk membatalkan serta-merta visa semua pekerja asing dari Bangladesh yang masih menanti untuk memasuki negara ini.

"Ini bersesuaian dengan senario semasa negara, yang tidak memerlukan tenaga kerja asing, melainkan untuk beberapa sektor tertentu yang dikenal pasti oleh kerajaan," katanya.

Berikutan langkah itu, Syed Hamid berkata, kerajaan akan mengembalikan wang para majikan untuk bayaran levi pekerja berkenaan.

"Kerajaan memberi jaminan bahawa wang levi itu akan dikembalikan semula kepada majikan dalam jangka masa terdekat dan berharap, isu ini tidak dipolitikkan oleh pihakpihak tertentu yang ingin menangguk di air keruh," katanya.

Syed Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat Buruh di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Talat Mahmud Khan pada Ahad lepas bahawa lebih 70,000 pekerja Bangladesh akan datang ke Malaysia tidak lama lagi untuk bekerja di dalam pelbagai sektor.

Membetulkan angka berkenaan, Syed Hamid berkata, berdasarkan kepada kelulusan kerajaan hingga 31 Disember 2007 jumlah sebenar pekerja yang diberikan kelulusan untuk memasuki negara ini tetapi masih belum berbuat demikian hanyalah 55,147 orang.

"Tidak ada kelulusan baru yang diberikan selepas tahun tersebut dan saya tidak tahu bagaimana angka itu diperolehi.

"Saya akan memanggil Konsul Bangladesh untuk berjumpa dengan Jabatan Imigresen bagi menjelaskan perkara ini.

"Keputusan untuk mengambil pekerja asing selepas tempoh tersebut akan ditentukan dengan teliti oleh kerajaan untuk sektor yang diklasifikasikan sebagai 3D (berbahaya, sukar dan kotor). Itupun jika ia benarbenar perlu," katanya.

Tiada ulasan: