Isnin, 9 Mac 2009

UMNO Umpama ‘budu’?

smnoor


Kemaman - Yang Dipertua PAS Kemaman, Haji Ismail Harun menyifatkan parti UMNO sebagai parti yang rosak serta tidak layak lagi diikuti oleh rakyat yang berfikiran waras.

Menurutnya UMNO merupakan parti yang bergelumang dengan kemungkaran, penyelewengan dan rasuah di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Umno sebuah parti yang sudah rosak dan saya ibaratkan seperti ‘budu’ yang telah dicemari lalat dan tidak berguna lagi.

“Rakyat yang berfikiran waras tidak akan bersama lagi dengan parti yang rasuah, banyak kemungkaran dan melakukan penyelewengan,” tegasnya ketika berucap pada Ceramah Penerangan Isu Gerakan Memansuhkan PPSMI di perkarangan Pasti Mak Cili, Chukai Kemaman, baru-baru ini.

Menurutnya, hidangan ‘budu’ yang dicemari lalat itu sudah pasti berulat dan tidak sesuai lagi untuk dimakan.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh melahirkan rasa hairan kenapa masih terdapat di kalangan orang Melayu setia bersama UMNO.

Katanya, manusia yang berfikiran baik boleh menilai dengan akal pelbagai kejadian dan peristiwa yang berlaku hari ini.

Menurut Ismail, PAS dan Pakatan Rakyat menawarkan khidmat terbaik bagi menggantikan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, Setiausaha GMP Malaysia, Encik Hasni Abas, Presiden Teras, Haji Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Fauzi Abu Samah serta dua penyair tanahair, Encik Kasim Mohamad dan Daeng Ramly Akil.

Tiada ulasan: