Rabu, 18 Mac 2009

Umno Paya Besar lubuk rasuah

Basiron Abdul Wahab


KUANTAN - PAS Kawasan Paya Besar menyifatkan tindakan Lembaga Displin Umno menggantung dan memberi amaran kepada empat pemimpin Umno Bahagian Paya Besar semalam membuktikan Umno Paya Besar adalah lubuk rasuah.

Yang Dipetua PAS Kawasan, Ustaz Yusuf Embong berkata, belum pernah berlaku di dalam sejarah Umno semua pemimpin utama bahagian disabitkan dengan amalan rasuah sebagaimana berlaku kepada kawasan ini.

"Ini menunjukkan kepimpinan Umno Paya Besar adalah lubuk rasuah tetapi kerana di dalam Umno politik wang (rasuah) bukan kesalahan jenayah maka tiada tindakan sivil dikenakan terhadap pemimpin terbabit," kata beliau.

Semalam, pengerusi Lembaga Displin Umno menjatuhkan hukuman terhadap 16 orang pemimpin Umno termasuk Naib Presidenya, Dato' Seri Mohd Ali Rustam kerana mengamalkan politik wang.

Turut dikenakan tindakan bersama Ali ialah Dato' Japlin Akim (Ketua Pemuda Umno Kota Belut,Sabah), Mohamab Najuib Mohamad Shahaimi (Ketua Pemuda Umno Maran, Pahang) Dato' Abdul Manan (Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Pahang), Saadun Basirun (Jawatankuasa Bahagian Bukit Katil, Melaka), Dato' Mokhtar Samad (Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Selangor), Salmah Pin (Ketua Wanita Umno Bahagian Tun Razak, Selangor) Rosli Hasan (Jawatankuasa Bahagian Bukit Katil), Mohd Zuki Mohd Zain (Gua Musang, Kelantan), Amran Mat (Timbalan Ketua Bahagian Kuala Krai, Kelantan) dan Zalina Ismail (Naib Ketua Puteri Bahagian Bukit Katil Melaka) digantung keahlian.

Mereka yang lagi diberi amaran ialah, Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda Umno), Md Sohaimi Mohd Shah (Timbalan Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Pahang) Mohamad Zaili Besar (Jawatankuasa Umno Bahagian Paya Besar, Pahang,) Mohd Sohaimi Jusoh (Naib Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Pahang).

Tambah Yusuf, pemimpin Umno Paya Besar yang digantung dan diberi amaran itu adalah wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang diberi kepercayaan oleh pengundi dalam pilihan raya 8 Mac 2008 lalu.

"Kini sudah terbukti mereka adalah pengamal politik wang yang sepatutnya tidak layak dipilih sebagai wakil rakyat. Mereka perlu mengosongkan jawatan masing-masing untuk membersihkan kerusi mereka daripada terpalit dengan amalan rasuah," ujar beliau.

Yusuf mencabar Umno Pahang supaya memecat dan memaksa mereka melepaskan kerusi Adun dan Ahli Parlimen bagi menunjukkan betapa seriusnya Umno memerangi rasuah.

"Ini suatu ujian kepada Umno untuk melihat ketelusan dan keseriusan Umno memerangi gejala rasuah," tegas Yusuf.

Sementara itu Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal Ahmadi berkata, PAS negeri akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) dalam masa terdekat ini berkaitan isu berkenaan.

Katanya PAS memandang serius isu berkenaan lebih-lebih lagi pembabitan kepimpin Umno yang berkuasa.

"Mana boleh perasuah/penyamun menjadi pemerintah, jika di dalam parti sendiri mereka mengamalkan rasuah apatah di tempat-tempat lain," sindir beliau.

Kata beliau, apa yang berlaku kepada Umno itu menunjukkan parti itu sudah tidak mempunyai kelayakan lagi untuk memerintah negara dan rakyat seharusnya menyedari dengan mengalih sokongan kepada Pakatan Rakyat. - mns_

Tiada ulasan: