Ahad, 15 Mac 2009

Umno guna isu 3R di Bukit Gantang - Mahfuz

Pakatan Rakyat


Umno-BN dijangka akan menggunakan isu 3R untuk memenangi kerusi parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil itu pada 7 April akan datang. Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar berkata terdapat tiga isu utama yang akan digunakan pada pilihan raya yang bakal menjadi tumpuan para pemerhati politik tanah air.

“Ada tiga isu utama yang akan digunakan oleh Umno-BN iaitu 3R, race atau bangsa, religion atau agama, royal atau raja,” katanya kepada penggerak PAS pada majlis Ijtima’ Gerakerja Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Bilik Gerakan PAS Kawasan Bukit Chempedak.

Jelasnya, kesemua isu tersebut akan dijadikan bahan untuk mengelirukan rakyat khususnya pengundi di Bukit Gantang. “Kalau isu bangsa akan dikaitkan dengan Melayu dan bangsa lain, manakala isu agama seperti biasa menyentuh isu hudud, negara Islam dan isu raja membabitkan institusi raja dalam kancah politik semasa khususnya di Perak,” katanya lagi

Terdahulu ujarnya, Umno-BN yang sebelum ini menggunakan dua senjata iaitu kuasa dan pembangunan sebagai medium utama untuk meraih sokongan pengundi kini mengubah pelan setelah gagal memenangi pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

“Sekarang ini, rakyat sudah tidak hairan dengan janji pembangunan, malah mereka tidak gentar dengan kuasa yang dimiliki oleh mereka.

“Umno-BN telah kehilangan kedua-dua senjata ini,” tegasnya diiringi laungan takbir.

Oleh yang demikian, ahli parlimen Pokok Sena itu menegaskan bahawa fenomena yang melanda negara mutakhir ini merupakan signal penolakan rakyat terhadap Umno-BN.

“Ia adalah merupakan signal penolakan rakyat dalam negara kerana ia dibuat secara serentak iaitu suatu trend penolakan jangka panjang sehinggalah pilihan raya umum ke-13 selepas perhimpunan agung Umno nanti.

“Malah kebangkitan golongan muda seperti mahasiswa juga membuktikan penolakan dan hilangnya ketakutan kepada kuasa Umno-BN,” ujarnya lagi.

Berucap sama dalam majlis tersebut, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin yang menceritakan situasi pertemuan beliau bersama Sultan Perak ketika menitahkannya meletakkan jawatan.

Turut berucap pada majlis tersebut, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar dan Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Perak, Asmuni Awi.

Hadir sama memeriahkan majlis, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa dan Ketua Muslimat Perak, Ustazah Bariah.

Majlis yang dikendalikan oleh tiga pengerusi majlis iaitu Norazli Musa, Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir dan Raja Iskandar berakhir dengan jamuan makan tengahari.

Tiada ulasan: