Khamis, 19 Mac 2009

Tolak calon disabit kesalahan politik wang

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Gejala politik wang dalam UMNO perlu dibanteras habis-habisan kerana ia bukan sahaja menjejaskan perpaduan Melayu tetapi boleh menghancurkan negara.

Jika gejala ini gagal dibanteras kepercayaan rakyat terhadap UMNO juga akan hilang.

Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, kepercayaan rakyat terhadap parti yang bertanggungjawab memperjuangkan kemerdekaan negara itu hanya dapat dikembalikan melalui pemilihan pemimpin yang bersih dan berkaliber oleh para perwakilan pada perhimpunan agung hujung bulan ini.

Katanya, calon yang disyaki, terlibat dan telah dikenakan tindakan disiplin serta hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang perlu ditolak.

Gejala negatif itu katanya, perlu dihapuskan kerana rakyat memandang hina dan rendah terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan politik wang.

"Jika tidak dihapuskan, maruah bangsa akan jatuh dan negara akan tergadai.

"Negara ini bukan dipunyai oleh ahli politik sahaja, tetapi dipunyai oleh seluruh rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan ia perlu dijaga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin UMNO semalam termasuk melarang Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang ketika berkempen.

Menurut Kamarudin, kehendak rakyat adalah jelas, mereka mahukan pemimpin yang bersih, cekap, amanah dan paling penting sayangkan bangsa dan negara.

"Kita perlu kembali kepada perjuangan asal UMNO dalam dekad 40-an ke 80-an di mana tidak ada langsung politik wang maka pembangunan negara terbukti secara pesat," katanya.

"Disebabkan tiada politik wang maka kepimpinan UMNO ketika itu bersatu padu dan tidak berpecah belah," ujarnya.

Keadaan kini berbeza katanya, UMNO sekarang berpecah belah disebabkan oleh politik wang dan rakyat tidak mahu negara hancur disebabkan perkara tersebut.

"Ambil contoh kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 yang tumbang kerana rasuah dan kita tidak mahu sejarah berulang," katanya

Tiada ulasan: