Selasa, 24 Mac 2009

Tindakan KDN petanda usia kerajaan BN berada di penghujung

Wartawan Kita


KOTA BHARU - Mungkinkah negara akan kembali ke zaman gelap apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak agresif menggantung permit penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Petang tadi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit kedua-dua akhbar oposisi terbabit masing-masing selama tiga bulan. Dan ia disahkan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar.

Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, tindakan drastik itu merupakan tanda-tanda kerajaan BN begitu takut kepada ketelusan.

"Kalau salah bawalah ke mahkamah dan bukannya menggunakan kuasa yang diberi pinjam rakyat melalui pilihan raya bagi menghukum pihak lain.

"Biar apa pun secara jelas isyarat yang diberi KDN hari ini memperlihatkan ketuanan BN dan Umno yang ada sekarang bakal jatuh," katanya dihubungi di sini.

Syed Hamid dalam kenyataannya petang tadi menjelaskan Suara Keadilan menerima surat penggantungan daripada KDN tengah hari tadi, manakala Harakah jam 4.55 petang menerusi faks.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kerajaan BN di bawah bakal perdana menteri baru mungkin cuba meleyapkan semula kesuburan demokrasi yang diberi nafas baru oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, dengan apa yang KDN lakukan sekarang jelas mereka mahu kembali ke era kuno dengan menafikan amalan demokrasi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tindakan KDN jelas menggambarkan kerajaan BN takut untuk berlawan fakta dengan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air 7 April ini.

"Inilah kerja BN yang jelas tidak demokratik. Kerajaan BN cuba mengelakkan banyak pembohongan yang dilakukan ketika menghadapi pilihan raya tersebut dijawab oleh akhbar yang tidak proUmno.

"Kerja yang dilakukan kerajaan BN sekarang seolah-olah mengikat kaki dan tangan pembangkang dan mereka serang secara pondan," katanya.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata, langkah dibuat KDN sengaja mahu menutup busuk dan jelek Umno ketika berhadapan dengan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya kecil 7 April ini.

Menurutnya tindakan KDN tersebut amat tidak bermaruah yang tidak seharusnya ada bagi bangsa yang mengakui bertamadun.

Sumber Umno pula mendakwa tindakan KDN itu merupakan petanda awal bagi mengenali siapa sebenarnya bakal perdana menteri yang akan berkuasa tidak lama lagi.

Baru-baru ini Harakah dan Suara Keadilan dirampas di beberapa tempat di Kelantan dengan alasan menjual di tempat terbuka, sedangkan majalah lucah yang memualkan dibiarkan bebas tanpa sekatan. - mj _

Tiada ulasan: