Sabtu, 14 Mac 2009

Tiga anak syarikat rugi, enam untung: MB

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Tiga anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Menteri Besar (MBI) merekodkan kerugian belum diaudit keseluruhan berjumlah RM372,498 sepanjang tahun lepas.

Tiga syarikat tersebut adalah Rantaian Mesra Sdn Bhd, Tourism Selangor Sdn Bhd dan Bukit Beruntung Golf & Contry Resort Sdn Bhd.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, enam syarikat lain bagaimanapun mencatat keuntungan belum diaudit yang memberangsangkan berjumlah RM57 juta.

“Berdasarkan Penyata Kewangan Belum Diaudit, Tahun Kewangan 2008, Kumpulan Darul Ehsan Berhad mencatat keuntungan berjumlah RM28 juta, Permodalan Negeri Selangor Berhad (RM19.2 juta), MSNS Holding Sdn Bhd (RM246,654) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebanyak RM2.5 juta.

“Manakala dua syarikat lain turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai iaitu Pendidikan Industri Yayasan Selangor Berhad (RM6.1 juta) dan Pusat Pelaburan Selangor Berhad sebanyak RM1 juta,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan berapakah bilangan syarikat di bawah MBI yang membuat keuntungan dan kerugian oleh Haniza Mohamed Talha (PKR-Taman Medan).

Menurut beliau, kesemua syarikat yang mengalami kerugian akan diubah suai pengurusan, pantadbiran dan promosi.

“Tidak banyak syarikat di bawah MBI yang mengalami rugi namun sekiranya syarikat terus mengalami kerugian, kita akan tentukan sama ada meneruskan atau menutup operasi,” katanya.

Abdul Khalid memberitahu, MBI bukanlah syarikat kewangan di bawah kerajaan negeri tetapi syarikat induk yang mempunyai kuasa membuat keputusan terhadap operasi kesemua anak syarikat kerajaan negeri itu.

Tiada ulasan: