Khamis, 12 Mac 2009

Tareq Aziz dipenjara 15 tahun

Reuters


BAGHDAD: Bekas Timbalan Perdana Menteri Iraq, Tareq Aziz dihukum penjara 15 tahun, makala dua abang Saddam Hussein dijatuhi hukuman mati kerana terbabit dalam pembunuhan berbelas peniaga pada 1992.

Peniaga terbabit dituduh ketika pemerintahan Saddam kerana sengaja menaikkan harga barang kawalan ketika Iraq menghadapi kejatuhan ekonomi selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan ekonomi pada 1990.

"Mahkamah memutuskan Watban Ibrahim al-Hassan dan Sabaawi Ibrahim al-Hassan dikenakan hukuman gantung sehingga mati kerana terbabit dalam pembunuhan ini," kata Hakim Raouf Abdul Rahman.

Sabaawi ketika pemerintahan Saddam menjawat jawatan Ketua Keselamatan Awam manakala Watban adalah Menteri Dalam Negeri.

Ketika keputusan dibacakan, Sabaawi terus berdiri dan menjerit: "Allah Maha Kuasa" dan berkata beliau bangga kerana menjadi seorang hero, sebelum hakim memintanya duduk.

Keputusan perbicaraan itu menyusul kurang dua minggu selepas Tribunal Tertinggi Iraq membebaskan Aziz daripada tuduhan pembabitannya dalam sebarang pembunuhan dan kekejaman terhadap puak Syiah pada 1999.

Tiada ulasan: