Rabu, 4 Mac 2009

Tangguh perhimpunan Umno bertentangan perlembagan parti

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Secara teknikal Perhimpunan Agung Umno dan pemilihan hujung bulan ini tidak boleh ditangguhkan walaupun ada pihak mahu parti berbuat demikian atas alasan kes politik wang belum selesai disiasat.

Ini kerana Perlembagaan Umno menetapkan perhimpunan mesti diadakan tidak lewat daripada 18 bulan daripada tarikh perhimpunan yang lalu.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, jika ditangguh ia akan mengundang implikasi kerana bercanggah dengan perlembagaan parti.

"Perhimpunan Agung tidak boleh lewat daripada 18 bulan daripada perhimpunan sebelum ini.

"Mac ini adalah bulan yang sudah suntuk untuk ia diadakan. Jika ditangguh lagi, ia akan bercanggah dengan perlembagaan parti," kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Perhimpunan Agung Umno sebelum ini diadakan dari 5 hingga 9 November 2007.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan dua ahli Umno hari ini supaya Perhimpunan Agung Umno ditangguh bagi menyelesaikan aduan politik wang dalam parti itu.

Ketua Cawangan Umno Muar, Datuk Kadar Ninam Shah dan ahli Umno Subang, Datuk Mazlan Harun hari ini menggesa perhimpunan agung parti yang dijadualkan 24 hingga 28 Mac ini ditangguh supaya kes-kes politik wang yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat diselesaikan.

Mereka juga akan mendapatkan perintah injuksi mahkamah sekiranya semua kes politik wang gagal diselesaikan sebelum perhimpunan agung.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, sama ada perhimpunan tersebut wajar ditangguh atau tidak adalah terserah kepada keputusan mahkamah.

"Jika mereka ingin membawa hal ini ke mahkamah, maka keputusan itu bergantung kepada mahkamah," katanya.

Sementara itu, peguam Umno, Datuk Hafarizam Harun berkata, tidak timbul isu untuk membawa perkara itu ke mahkamah kerana mengikut Seksyen 18(C) Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan mahkamah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendengar apa jua tindakan, keputusan atau apa jua perkara yang melibatkan parti politik.

"Tidak timbul sebarang isu di sini bahawa mahkamah boleh menghalang keputusan parti kerana peruntukan tersebut tidak membenarkan mahkamah berbuat demikian," katanya.

Selain itu katanya, mengikut perlembagaan Umno di bawah Fasal 20.7, mana-mana ahli yang membawa hal parti atau keahlian ke mahkamah, mereka akan gugur keahlian parti dengan sendirinya.

"Jika mereka teruskan juga, maka keahlian mereka akan gugur secara automatik," katanya.

Katanya, tarikh 25 Mac merupakan tarikh akhir bagi 18 bulan penangguhan Perhimpunan Agung Umno dan jika tidak diadakan, ia bertentangan dengan perlembagaan parti yang akan membawa implikasi termasuk Umno boleh diharamkan.

Tiada ulasan: