Sabtu, 14 Mac 2009

Tabung 'pokok demokrasi' ditubuhkan untuk baiki plak rosak

Johari Jaafar


IPOH - Biarpun plak peringatan yang baru dibina di kawasan bawah 'pokok demokrasi' telah dirosakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semalam, namun ia tidak mematahkan semangat pemimpim Pakatan Rakyat.

Dalam masa sama pimpinan Pakatan Rakyat akan menubuhkan satu tabung khas bagi membiayai kos membina semula plak yang baru di tempat yang sama.

Perkara ini dimaklumatkan oleh Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming dalam satu sidang media di bawah 'pokok demokrasi' Medan Istana di sini semalam.

Menurut beliau, plak yang bakal dibina itu nanti menggunakan empat bahasa, bahasa kebangsaan, Inggeris, Tamil dan Cina bagi memudahkan pengunjung dan pelancong memahaminya.

Plak peringatan yang dibina enam hari lalu di bawah 'pokok demokrasi' itu telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggunjawab, dipercayai dilakukan individu tertentu yang `sakit hati' dengan tindakan Pakatan Rakyat menanam pokok demokrasi dan membina plak di kawasan itu.

Ekoran kejadian itu pimpinan Pakatan telah mengadakan lawatan ke tempat kejadian termasuk Menteri Besar Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Ipoh Barat, Kulasigaran dan beberapa Adun Pakatan Rakyat yang lain.

Beberapa individu disyaki telah menceroboh dan merosakkan plak yang dijadikan tugu "Pokok Demokrasi", lokasi berlangsungnya mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar Adun Pakatan Rakyat pada 3 Mac lalu.

Mengulas kejadian tersebut, Dato' Seri Mohammad Nizar menyifatkan tindakan pihak tertentu itu sebagai tidak mahu melihat demokrasi bercambah di negeri ini.

"Tindakan merosakkan plak ini merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggongjawab," katanya.

Pada 8 Mac lalu, Pakatan Rakyat meletakkan tugu dan menanam lima batang anak pokok hujan-hujan di tapak 'sidang tergempar' DUN tersebut. - mns_

Tiada ulasan: