Selasa, 17 Mac 2009

Syarat damai untuk Najib

Mohd Rashidi Hassan


HARAPAN Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak agar pembangkang sama-sama membantu kerajaan Barisan Nasional menangani kemelut ekonomi semasa membentangkan Bajet Mini di Dewan Rakyat, Selasa lepas, disambut baik Pakatan Rakyat, tetapi dengan syarat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu Najib mempamerkan keikhlasannya terlebih dahulu sebelum tawaran bekerjasama dalam bidang ekonomi disambut Pakatan Rakyat.

Tok Guru mahu Najib, meredakan kecamukan politik di Perak dengan memohon kepada istana supaya dibubar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

"Bagaimana dengan mudah beliau mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik bagi memberi fokus kepada perkembangan ekonomi dan rakyat," tegas Menteri Besar Kelantan itu.

Bagi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa, Pakatan Rakyat harus meletakkan syarat, bukan mudah-mudah untuk bekerjasama dengan BN yang telah menindas dan menzalimi pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Semasa membahaskan bajet mini di Parlimen beliau berkata, pembangkang sedia beri kerjasama jika, pertama; Kerajaan mesti mengkaji semula perjanjian konsesi lebuh raya, penjana tenaga bebas (IPP) dan konsesi air.

Kedua; Kerajaan mesti menghentikan kezaliman dan fitnah yang dilakukan oleh media massa dan ketiga; Membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri itu diadakan.

Sebelum ini pun, PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang utama dalam negara pernah terbabit dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara atau Mapen. Tetapi pandangan wakil-wakil PAS tidak diterima baik oleh kerajaan.

Justeru penegasan senada Tok Guru Nik Aziz dan Anwar, adalah mewakili pendirian sebenar sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya yang menyokong Pakatan Rakyat.

Rakyat tidak mahu tatkala pemimpin parti-parti politik yang bertentangan, berjabat tangan dan bekerjasama di Kuala Lumpur, dalam masa yang sama mereka 'memejamkan mata' terhadap kezaliman BN yang menggunakan jentera-jentera kerajaan dan media menindas rakyat bawahan.

Menghulurkan kerjasama adalah suatu tindakan yang baik dan wajar dipuji. Memang ia sesuai dengan kehendak Islam. Tetapi Islam juga melarang kita membuang masa untuk bekerjasama dengan orang-orang yang zalim dan penindas.

Kerjasama dalam bidang ekonomi sahaja tidak memadai dan tidak akan memberikan kesan yang positif kepada Pakatan Rakyat dan tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat.

Hakikatnya, kemakmuran ekonomi tidak akan diperolehi tanpa kestabilan politik. Dan, kestabilan politik akan wujud, hanya apabila rakyat yakin, BN telah memerintah dengan adil dan rakyat dapat merasai keberkesanan sistem demokrasi yang dilaksanakan.

Bagaimana rakyat boleh menyakini keikhlasan BN, khususnya Najib sebagai bakal PM, apabila banyak institusi dan jentera kerajaan dipergunakan untuk kepentingan politik BN buat menindas Pakatan Rakyat?

Rakyat kini tidak mempercayai institusi seperti Kehakiman, Polis, SPR, SPRM dan media yang kelihatan bertindak menekan Pakatan Rakyat dengan lagak seperti seolah-olah mereka sebahagian dari cawangan Umno.

Pada rakyat, kehilangan integriti institusi-institusi ini amat serius sebenarnya, dan pemuliharaan semula semua institusi terbabit mesti menjadi asas, sebelum kerjasama dalam bidang ekonomi dibuat.

Ekonomi hanya akan dapat dipulihkan jika Umno-BN menghentikan amalan politik kotor mereka dan membenarkan amalan demokrasi tulen terlaksana.

Mana-mana negara pun tidak akan dapat memulihkan ekonomi jika mempunyai iklim politik yang tidak stabil. Pemulihan ekonomi tidak hanya berasaskan kepada kekuatan domestik sahaja, ia juga harus mendapat sokongan daripada pelaburan asing atau FDI.

Masalahnya pada ketika ini bukan sahaja pelabur asing enggan memasuki pasaran Malaysia, yang lebih utama majoriti rakyat tidak yakin dengan keupayaan BN memulihkan ekonomi negara.

Asasnya di sini adalah keyakinan. Selagi rakyat tidak mempercayai orang-orang politik Umno-BN yang menguasai pengurusan ekonomi negara, kerana banyak terbabit dalam kes-kes salahguna kuasa dan rasuah, selagi itulah kerjasama yang ditawarkan tidak akan harus diterima.

Kerjasama dalam sudut-sudut yang khusus seperti dalam bidang ekonomi sahaja, hanya akan memberi keuntungan politik kepada Umno-BN.

Seperti kata Dato' Husam Musa, cara terbaik untuk memulihkan ekonomi, hanyalah dengan menukar kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat._

Tiada ulasan: