Khamis, 19 Mac 2009

SPRM siasat empat lagi AJK Hak dan Kebebasan DUN Perak

BERNAMA


IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil keterangan daripada empat anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang membuat keputusan menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco daripada menghadiri persidangan dewan antara 12 bulan dan 18 bulan baru-baru ini.

Mereka yang memberi keterangan secara berasingan di ibu pejabat SPRM Perak di sini adalah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang, Loke Chee Yan, Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, Adun Bercham, Sum Cheok Leng dan Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Speaker dewan, V. Sivakumar, membuat keputusan berkenaan berikutan aduan Adun Canning, Wong Kah Woh, terhadap kesemua Zambry dan enam yang lain daripada Barisan Nasional yang didakwa menghina Dewan kerana menerima pelantikan jawatan masing-masing.

Seorang lagi ahli jawatankuasa itu, Adun Selinsing, Husin Din telah disoal oleh SPRM di rumahnya pada 17 Mac lalu manakala Sivakumar telah memberi keterangan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini pada 26 Februari.

Pegawai SPRM enggan mengulas mengenai siasatan berkenaan.

Tiada ulasan: