Sabtu, 7 Mac 2009

SPRM siasat 2 pegawai menteri

RM100,000 ditemui dalam kereta Setiausaha Politik

Oleh Khirul Bahri Basaruddin
dan Johari Ibrahim


KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan seorang menteri disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan terbabit dalam rasuah politik, menjelang pemilihan Umno akhir bulan ini.

Lelaki bergelar Datuk, berusia 52 tahun yang juga Setiausaha Politik menteri berkenaan, ditahan pegawai SPRM dalam satu serbuan di sebuah restoran di sini kira-kira jam 10.30 malam, Rabu lalu.

Seorang lagi lelaki, pegawai khas kepada menteri itu, berusia 40 tahun yang sempat mengelak dalam serbuan berkenaan, ditahan SPRM di sini, pagi semalam.

Masing-masing, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen, dibebaskan kelmarin serta pagi semalam dengan jaminan SPRM, selepas keterangan mereka diambil.

Kedua-dua mereka yang digugurkan sebagai calon dalam pilihan raya umum lalu, bekerja dengan menteri berkenaan sejak pertengahan tahun lalu.

Sumber-sumber memberitahu Berita Harian, SPRM akan turut mengambil keterangan daripada menteri terbabit dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

"Ini adalah proses biasa untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes politik wang," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sumber itu memberitahu, ketika serbuan malam Rabu lalu, pegawai SPRM turut menemui wang tunai lebih RM100,000 dalam kereta setiausaha politik berkenaan.

"Wang itu dipercayai untuk untuk diagihkan kepada perwakilan Bahagian Umno menjelang pemilihan parti.

"Sebelum itu, setiausaha politik berkenaan dikatakan menemui beberapa perwakilan Umno dalam satu jamuan dan ramah mesra yang diadakan di restoran berkenaan.

"Majlis itu turut dihadiri pegawai SPRM yang menyamar sebagai perwakilan untuk mengumpul maklumat dan menyiasat kes berkenaan," katanya.

Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas sama ada penahanan dua lelaki terbabit mempunyai kaitan dengan kempen pemilihan membabitkan menteri berkenaan.

Menteri terbabit akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti kali ini.

Difahamkan, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, memanggil setiausaha politik itu sejurus selepas dibebaskan SPRM, berhubung penganjuran majlis berkenaan.

Sumber itu memberitahu, Tengku Adnan turut memanggil beberapa perwakilan yang menghadiri majlis berkenaan tetapi mereka menafikan menerima wang.

Sementara itu, Pesuruhjaya Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull, ketika dihubungi enggan mengulas.

Sebelum ini, beberapa kes membabitkan rasuah politik dibawa ke mahkamah. Pada 22 Januari lalu, seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita ketika pemilihan ketua Umno bahagian Alor Gajah pada November lalu.

Pada tarikh yang sama, seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang ketika pemilihan Umno Raub.

Tiada ulasan: