Jumaat, 6 Mac 2009

SPRM pantau pemilihan UMNO

Oleh ASSIM HASSAN


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersiap sedia menangani gejala politik wang menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, suruhanjaya itu akan menempatkan pegawai dan anggotanya di beberapa lokasi yang dipercayai menjadi tumpuan ejen-ejen calon untuk memancing undi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut jumlah pegawai dan anggota yang terlibat.

“Kita akan pantau gejala ini (politik wang) dengan menempatkan beberapa pegawai dan anggota di lokasi-lokasi yang dipercayai tempat ejen melobi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas persediaan SPRM menangani rasuah politik di kalangan ahli UMNO menjelang pemilihan parti akhir bulan ini.

Hampir 2,500 perwakilan akan mengundi pada pemilihan UMNO yang menyaksikan 269 calon bertanding merebut pelbagai jawatan bagi ketiga-tiga sayap parti itu.

Lima jawatan dalam Majlis Tertinggi akan dipertandingkan iaitu Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT).

SPRM sebelum ini mendedahkan sebanyak 45 daripada 90 kes aduan rasuah politik membabitkan pemimpin UMNO yang diterima SPRM ditutup kerana ketiadaan bukti kukuh.

Menurut sumber suruhanjaya itu, kira-kira 20 peratus atau 18 kes rasuah politik yang difailkan masih pada peringkat siasatan lanjut manakala 30 peratus atau 27 lagi kes dirujuk pada Lembaga Disiplin UMNO untuk tindakan pada peringkat dalaman mengikut perlembagaan parti.

Tiada ulasan: