Sabtu, 7 Mac 2009

SPRM kaji semula dasar keluarkan kenyataan media

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengkaji semula dasar mengenai pengumuman perincian kes siasatannya yang masih belum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya suruhanjaya itu dan sehingga keputusan siasatan diperoleh daripada pihak berkenaan.

Tindakan ini diambil berikutan pandangan mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Hamid Mohamed, bekas Ketua Hakim Negara pada Khamis lepas yang turut membincangkan beberapa kenyataan media SPRM mengenai kes siasatan yang masih dalam tindakan suruhanjaya itu.

"Lembaga Penasihat (LPPR) telah mengambil maklum bahawa kenyataan yang telah dikeluarkan itu tidak bercanggah dengan perundangan dan tidak mempunyai sebarang niat jahat serta dibuat bagi memastikan ketelusan SPRM dalam siasatan-siasatan yang dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SPRM menyatakan bahawa lembaga itu berpandangan walaupun dari segi perundangan, SPRM boleh membuat kenyataan media sedemikian, "namun mengambil kira senario semasa, kenyataan-kenyataan melibatkan kes yang masih belum dibuat sebarang keputusan akan menimbulkan pelbagai pentafsiran dan polemik di kalangan sesetengah pihak sehingga menjejaskan kredibiliti SPRM itu sendiri."

Untuk itu mesyuarat pengurusan tertinggi SPRM setelah meneliti pandangan LPPR memutuskan menkaji semula dasar pengumuman medianya.

Tiada ulasan: