Jumaat, 20 Mac 2009

SPRM jangan lepaskan 'jerung'

Oleh SHAWKATH AZDE


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar mencari skop yang lebih luas dan bukan isu kecil yang hanya menjejaskan imej parti selain memberi persepsi buruk pada orang ramai.

"Masih banyak lagi 'jerung' yang wajar disiasat di luar sana."

Itu kata Ketua Pemuda UMNO Selayang, Sohaimi Sahadan yang berpendapat isu-isu kecil sepatutnya diselesaikan oleh jawatankuasa disiplin parti yang dibentuk oleh pucuk pimpinan.

"Isu-isu kecil yang melibatkan kes sebanyak RM100 atau RM200 biarlah diselesaikan oleh parti itu sendiri.

"Kewujudan SPRM memang bagus, tetapi ramai yang kecewa dengan keputusan yang diumumkan baru-baru ini seolah-olah ada 'tangan' di belakang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Tebrau, Syahrin Md. Jamaluddin, beliau berharap SPRM dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan adil tanpa mengira parti politik dan juga ahli korporat.

"Saya harap SPRM jangan hanya melihat pada isu wang RM200 sahaja," katanya.

Menurut Syahrin, SPRM merupakan badan yang baru ditubuhkan dan berharap SPRM menggunakan kuasa diberi sebaik mungkin.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Khalid Mohamed pula berpendapat SPRM tidak seharusnya bertumpu kepada parti UMNO sahaja.

"Jika SPRM ingin jadi telus, ia mesti meluaskan semua skop termasuk parti komponen Barisan Nasional dan pembangkang," jelasnya.

Khalid memberitahu jika langkah itu diambil, masyarakat akan melihat ketelusan SPRM dalam melaksanakan tugasnya.

Beliau turut mencadangkan agar penggunaan istilah politik wang seharus dimansuhkan dan digantikan dengan istilah yang lebih bersesuaian.

Tiada ulasan: