Selasa, 10 Mac 2009

Speaker Dewan Rakyat tolak usul DAP bincang DUN Perak

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Cubaan DAP mengemukakan usul supaya persidangan Dewan Rakyat membincangkan tindakan pasukan keselamatan menghalang anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada pakatan DAPPASParti Keadilan Rakyat (PKR) memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas tidak kesampaian apabila usul itu ditolak di dalam kamar oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam surat penolakan usul yang dikemukakan oleh Nga Kor Ming (DAPTaiping), Pandikar Amin berkata, beliau mendapati usul mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) itu kini dalam pertimbangan mahkamah dan belum diputuskan.

"Perkara-perkara yang berhubungan dengan persidangan Dewan Negeri Perak juga menjadi hal perkara tindakan mahkamah.

"Oleh yang demikian saya menolak usul Yang Berhormat dalam kamar," kata Pandikar Amin dalam surat jawapannya berhubung usul yang dikemukakan oleh Nga dalam surat bertarikh 4 Mac.

Nga yang juga bekas exco kerajaan Perak dan Ketua Pemuda DAP melahirkan rasa kecewa dengan penolakan usulnya itu.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita di lobi Parlimen, Nga mendakwa bahawa apa yang berlaku di Perak memperlihatkan bagaimana doktrin pengasingan kuasa di negara ini telah dicemari.

Tiada ulasan: