Sabtu, 21 Mac 2009

Setem busana pengantin

Oleh NURHAFIZA MARZUKIE


KUALA LUMPUR - Pos Malaysia Berhad (PMB) akan mengeluarkan setem khas dan sampul surat hari pertama bertemakan pakaian tradisional pengantin pada Isnin ini.

Ketua Setem PMB, Yasmin Ramli berkata, koleksi setem pakaian tradisional tersebut menampilkan lima busana pengantin mengikut kaum di Malaysia.

''Setem pakaian pengantin masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Ulu dan Bajau itu dijual pada harga 50 sen manakala sampul surat dijual dengan harga 30 sen.

''Koleksi ini memberi peluang kepada orang ramai mengamati kecantikan dan kehalusan seni pakaian tradisional pengantin,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain setem, beliau memberitahu, terdapat dua lagi produk keluaran PMB iaitu fail dan buku setem masing-masing berharga RM5.50 dan RM3.

''Setem, sampul surat dan buku setem boleh didapati di pejabat-pejabat pos seluruh negara manakala fail pula boleh diperolehi di pejabat pos terpilih sahaja,'' katanya.

Jelasnya, sejumlah 881,000 produk berkenaan akan dikeluarkan pada Isnin ini.

''Sebanyak 800,000 setem, 50,000 sampul, 30,000 buku setem dan 1,000 fail akan dikeluarkan.

''Ini kerana sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutama pengumpul setem untuk memiliki setiap produk keluaran Pos Malaysia yang unik dan pelbagai mengikut tema,'' katanya.

Tiada ulasan: