Jumaat, 6 Mac 2009

Senarai nama calon PAS diputuskan dalam tempoh terdekat

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA:Badan Perhubungan PAS Perak akan menyenarai pendek nama calon yang sesuai bagi mewakili parti itu dalam tempoh terdekat.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Ahmad Awang mesyuarat yang berlangsung semalam masih belum dapat menyenarai pendek nama calon yang sesuai kerana masih belum menerima senarai calon daripada DUN kawasan Changkat Jering.

"Ada kawasan DUN yang tidak menyerahkan lagi senarai nama calon. Ada juga yang hanya menyenaraikan seorang sahaja calon, sedangkan kita mahu sekurang-kurangnya tiga nama dari setiap DUN.

"Kita akan putuskan senarai nama calon ini dalam tempoh tiga atau empat hari lagi," katanya kepada mStar Online semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah calon yang akan disenarai pendek untuk diserah kepada Pas Pusat.

Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga DUN, iaitu Titi Serong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang.

Menurut Ahmad, mesyuarat yang berlangsung selama tiga jam di markas Pas di Ayer Kuning, Bukit Gantang semalam turut membincangkan mengenai perkara-perkara lain termasuklah persiapan jentera parti.

"PAS akan melancarkan jentera pilihan raya parti pada 9 Mac ini. Insya-Allah Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan melancarkannya," katanya.

Kelmarin, Ahmad berkata Pas Pusat akan bermesyuarat pada 8 Mac ini untuk membicangkan mengenai senarai nama calon yang akan mewakili parti itu.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian Roslan Shaharum daripada PAS awal bulan ini akibat sakit jantung.

Penamaan calon akan diadakan 29 Mac manakala hari pengundian, jika ada pertandingan, akan berlangsung pada 7 April depan.

Tiada ulasan: