Isnin, 16 Mac 2009

Selangor sedia tabung anak-anak ibu tunggal

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam (Jais) telah menyediakan tabung membantu anak-anak ibu tunggal yang tidak diberi nafkah oleh bapa mereka.

Bagaimanapun, kata exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail tabung itu berbentuk pinjaman kerana tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak tersebut tetap dipikul oleh bapa.

"Pihak Jais membantu tetapi dalam masa yang sama bapa kena membayar hutang dan mereka tidak boleh lepas begitu sahaja," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Hulu Kelang (PAS)-Saari Sungib.

Dalam soalan tersebut, Saari mencadangkan supaya mahkamah syariah melakukan pemotongan gaji terhadap bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada anak-anak mereka.

Rodziah menjelaskan, perkara tersebut telah mula dibincangkan dengan pihak hakim syarie untuk terus membantu menyelesaikan masalah perceraian dan tanggungan anak.

"Sebenarnya kita ingin melaksanakan penguatkuasaan yang lebih terhadap suami yang tidak memberi nafkah anak," tegasnya.

Sementara itu Taman Templer (BN), Dato' Subhan Kamal yang kagum dengan keprihatinan kerajaan negeri Selangor berharap bapa tunggal atau kaum lelaki yang tidak bekerja turut dibantu.

Rodziah berkata, kerajaan negeri turut mengambil kira mana-mana bapa tunggal yang tidak bekerja walaupun tanggungjawab memberi nafkah itu terletak di bahu mereka.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan daripada Adun Meru (PAS)-Dr Rani Osman bahawa kerajaan negeri telah menyediakan elaun tambahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mereka yang tidak mampu ke sekolah dan bekerja.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menyediakan kad pendaftaran OKU dengan menyediakan bantuan alat pendengaran serta kaki palsu.

"Tahun ini kita akan mengeluarkan pelekat kereta untuk OKU di seluruh Selangor supaya mereka diberi layanan istemewa. Kita telah mulakan langkah menyediakan kemudahan awam sebagaimana dilakukan di MPAJ," katanya.

Kerajaan negeri telah mengambil anak OKU dan ibu tunggal sebagai anak angkat tuisyen rakyat serta memberi bantuan persekolahan bulanan seperti makanan.

Selain itu beliau berkata, ibu-ibu tunggal turut diberi kursus jati diri keusahawanan supaya mereka lebih berjaya dan berkeyakinan untuk mengharungi kehidupan lebih baik.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah memberi pinjaman mikro kredit minima RM500 dan maksima RM1500 bagi ibu-ibu tunggal untuk memulakan perniagaan. _

Tiada ulasan: