Jumaat, 6 Mac 2009

Sedikit kisah mengenai buli

Ali Bukhari Amir


Sekitar 2004, ketika itu, saya adalah seorang wartawan pelatih di sebuah agensi berita negara. Selama tiga bulan, saya dan rakan-rakan menjalani latihan amali atau latihan industri (singkatannya L.I) di situ. L.I adalah satu syarat, keperluan untuk melengkapkan pengijazahan di universiti.

Tahun 2004, saya menyewa bilik di Jalan Daud, Kg Baru, Kuala Lumpur. Jiran saya adalah Percetakan Watan. Banyak kenangan yang sukar dilupakan dalam tiga bulan di situ.

Walaupun pendek, namun banyak yang menimbulkan kenangan manis dan pahitnya. Nantilah saya ceritakan lebihan sisa cerita ini apabila ada keperluannya kelak, insya Allah..

Pada suatu hari, saya ditugaskan ke Pusat Bandar Damansara untuk mengikuti suatu sidang media yang melibatkan Kementerian Pelajaran. Kalau tak salah ingatan saya, hal itu membabitkan perjanjian MOU antara Menteri Pelajaran Malaysia dan Indonesia.

Selesai tugasan, para wartawan turun bersama pegawai pelajaran Malaysia dan Indonesia dalam lif. Maka, berlakulah bualan antara kedua-dua pegawai itu secara santai.

"Di Indonesia, ada masalah buli di sekolah?" tanya seorang pegawai.

"Buli itu apa?" pegawai pelajaran Indonesia itu bertanya kembali. Mungkin, dia tidak begitu akrab dan kurang fasih dengan penggunaan beberapa istilah di Malaysia.

Mungkin ungkapan buli tidak digunakan dalam media cetak dan media elektronik di Indonesia. Jadi, mungkin hal itu kurang difahami para pegawai pelajaran berkenaan. Lagi pun, buli asalnya daripada penggunaan istilah 'bully' dalam bahasa Inggeris.

Saya yakin masalah keganasan di sekolah wujud di mana-mana negara pun. Masalah penindasan di sekolah dalam kalangan pelajar ini wujud dalam mana-mana bangsa.

Cuma, pemakaian istilahnya sahaja yang berbeza. Kali terakhir, saya dengar ada isu pelajar sekolah dasar (sekolah menengah) di Indonesia yang cedera parah gara-gara aksi ganas gusti Smack Down.

Maka, timbul polemik di dada koran untuk beberapa minggu di Indonesia. Pelbagai pihak mendesak stesen penyiaran Lativi yang banyak menyiarkan aksi ganas Smack Down itu, agar tidak lagi menyiarkan tayangan tersebut.

Pandangan umum rakyat Indonesia sebulat suara, secara ijmak telah mengutuk tindakan Lativi menyiarkan aksi keganasan itu. Manakala sejumhur ahli falsafah universiti, tokoh cendekiawan juga berpendapat sedemikian.

Buli bermula daripada media?

Ternyata, kesan dan pengaruh gusti Smack Down itu terlalu kuat sehingga banyak kejadian keganasan di sekolah timbul akibat suka meniru aksi tersebut.

Bagaimanapun, hal itu terkait dengan sikap kenakalan pelajar itu dan ia mungkin bermula sekadar suka-suka dan bermain-main sahaja. Keadaan itu tidak sama dengan kes buli.

"Buli itu seperti kejadian anak-anak nakal di sekolah," balas pegawai pelajaran Malaysia. "Mereka suka berkelahi sesama sendiri."

"Oh, begitu," pegawai pelajaran Indonesia itu mengangguk perlahan. Pintu lif terbuka dan mereka berpapasan keluar. Saya kira, bualan itu tamat begitu sahaja.

Saya tidak tahu apakah yang bermain dalam fikiran pegawai pelajaran itu. Walaupun bualan itu santai, tapi saya percaya bualan santai itu lebih jujur berbanding kenyataan rasmi di dalam sidang media tadi.

Memang begitulah sikap menteri-menteri. Kenyataan 'off record' itulah yang lebih jujur dan ikhlas. Wartawan-wartawan, selepas sidang media, akan berkerumun dan mereka akan selalu mendengar menteri-menteri berkata, "Tapi.. yang ni off record la okay?"

Wajah dan tembelang menteri-menteri lebih ketara ketika mereka disapa oleh wartawati yang cantik jelita lagi rupawan.

Sehinggakan kami mengatur strategi, menghantar wartawati yang cantik menemui seorang pegawai kementerian untuk bertanyakan soalan. Kebiasaannya menteri dan pegawai kementerian tak pernah menolak pelawaan seorang wartawati jelita yang mahu menemubual mereka.

Ketika kami melihat menteri dan pegawai kementerian itu sudah ralit mengayat wartawati itu, maka kami pun dengan pantas menjalankan peranan 'menyelamatkan' wartawati tadi daripada terus-terusan 'dibuli' oleh sang menteri dan para pegawai yang gatal itu.

Buli tiba hadir dalam masyarakat dalam pelbagai cara. Dalam kes 'buli' di sekolah dasar Indonesia, buli atau keganasan dikatakan berawal daripada media. Sebab, itu juga, ada orang beralasan, bahawa kebebasan akhbar harus disekat supaya tidak berlaku huru-hara dan perang.

Alasan ini disanggah para pengamal media dengan menyatakan bahawa, perang dan pertumpahan darah itu sudah wujud sejak Habil dan Qabil, semenjak era akhbar serta televisyen belum wujud lagi. Oleh itu, media jangan dipersalahkan 100 peratus dalam hal ini.

Agak sukar kita mahu mengkaji dengan lebih mendalam kenapakah buli ini wujud? Ini kerana, sekatan boleh berlaku dalam pelbagai wajah.

Contohnya, kalau kita mahu kaji kenapa buli berlaku di sekolah itu, tiba-tiba kes itu mungkin ditutup kerana kes itu melibatkan anak seorang VVIP dan mungkin ada sebab lain.

Kes 'buli' melibatkan pasukan komando sebelum ini misalnya, tidak dapat dipastikan betul-betul apakah ia benar-benar suatu latihan atau suatu buli dalam ertikata sebenar. Mungkin juga ia suatu buli yang 'dibersihkan', 'dihalalkan' atas nama latihan.

Buli dalam jabatan awam dan swasta

Saya katakan begini kerana, ada kes-kes pembuangan kerja oleh majikan yang dilakukan secara 'bersih' dan 'halal'. Misalnya, seorang majikan memang tidak suka kepada salah seorang pekerjanya atas sebab-sebab yang tidak munasabah.

Maka, majikan itu tidak boleh membuang pekerjanya sesuka hati atas nama emosional. Dia mestilah membuang pekerjanya atas nama rasional.

Lalu dicipta satu isu yang menyebabkan orang-ramai bersetuju dengan tindakan membuang pekerja itu. Umpamanya, isu yang digunakan ialah pekerja itu datang lambat ke pejabat.

Walhal, dalam 30 pekerjanya, boleh dikatakan ramai juga yang culas dalam bekerja dan lambat tiba ke pejabat. Tapi, kenapakah hanya si fulan itu saja yang telah dibuang atas alasan datang lambat ke pejabat?

Sebenarnya, kalau diteliti, barangkali dalam 30 orang pekerja itu, ada 10 orang pekerja lagi yang berdepan dengan masalah yang lebih kronik dalam hal kedatangan mereka.

Tetapi, 10 orang pekerja ini mungkin pandai mengampu dan membodek majikan. Maka, mereka tidak dibuang kerja. Mungkin pekerja yang dibuang baru-baru ini kerap juga membangkitkan pertanyaan, di manakah perginya duit-duit yang kerap hilang dalam akaun misalnya.

Dan, akaun itu pula dipegang oleh majikan tersebut. Maka, sebagai cara menutup isu tersebut, pekerja itu terpaksa dibuang untuk menutup kesalahannya.

Tapi, kalau membuang pekerja itu, mestilah juga dicari suatu alasan yang munasabah supaya dia tidak kelihatan kotor ketika memecat salah seorang pekerjanya itu.

Setelah pekerja itu dipecat, maka selamatlah kedudukan majikan tersebut. Bagi saya, ini juga adalah salah satu bentuk 'buli' juga. Cuma, ia tidak wujud dalam pandangan yang mengerikan seperti yang timbul dalam klip video yang disiarkan di media elektronik baru-baru ini.

Pembunuhan Altantuya dengan cara meledakkan bom C4 di tubuhnya juga adalah salah satu bentuk buli, penindasan, keganasan ke atas kaum wanita.

Sisters In Islam mungkin tidak akan menjuarai isu ini. Ini kerana, hal ini mungkin menyebabkan hubungan mereka bermasalah dengan Rosmah Mansur. Arakian, lidah pun tertutup dengan sendirinya.

Dalam kes siaran klip video latihan komando umpamanya, tiada inkuiri awam yang boleh dibuat. Menteri Pertahanan Abdullah Ahmad Badawi berada di luar negara, terbang ke Bahrain untuk urusan ekonomi mungkin.

Ketika polemik itu bakal berakhir, isu itu mula sejuk suam-suam kuku, dengan tiba-tiba Abdullah dikurniakan anugerah Beret Hijau Komando. Hal itu sekali gus menutup mulut Menteri Pertahanan untuk menyiasat sama ada klip video itu betul-betul latihan atau buli.

Sesiapa pun yang berada di tempat Abdullah, tentulah rasa sukar juga mahu menyiasat rakaman klip video itu setelah menerima anugerah Beret Hijau Komando.

Hal yang sama boleh berlaku dalam masyarakat bawahan sendiri. Kalau editor akhbar menerima sogokan wang kopi, adakah dia boleh membuka suaranya? Tentu sukar bukan?

Walhal, apa salahnya jika dibuat siasatan atau inkuiri awam seperti kes gadis China yang diminta polis untuk membuat ketuk-ketampi dalam keadaan berbogel itu. Selepas siasatan rasmi itu, umumkan sajalah bahawa memang itulah latihannya.

Biarlah pengumuman itu dibuat secara rasmi dan bukan hanya memadai melalui penjelasan media begitu sahaja. Tekaan, telahan dan spekulasi menjadi-jadi antara orang awam, askar pencen dan tentera yang bakal pencen.

Jadi, biarlah perihal keganasan yang tersiar melalui klip video di televisyen selama ini diwujudkan inkuiri awam.

Tak kiralah isu itu melibatkan gadis China berbogel dalam tahanan sel polis, pelatih komando yang sedang menjalani latihan atau, kes yang terbaru ini, melibatkan pelajar sekolah di Kuching itu. Biar khalayak mendengar semua penjelasannya dengan penuh teliti. Biar semua puas hati.

Bersungguh-sungguhkah Hishammuddin menangani isu buli?

Kisah buli tidak sekadar tamat di lif bangunan Kementerian Pelajaran di Pusat Bandar Damansara.

Saya tiba di pejabat petang itu. Selesai mengirim berita, seorang rakan wartawati sedang asyik memutarkan pita rakaman yang terisi di dalamnya kenyataan Hishammuddin berhubung isu buli.

"Sidang media Hishammuddin ke tu?" saya bertanya ringkas kepadanya.

"Ya," dia menjawab ringkas, acuh tak acuh. Saya faham. Kami memburu 'deadline'. Di agensi berita ini, 'every second is a deadline'.

Selepas tamat sidang media, kami tak akan berbual-bual banyak dengan menteri, pegawai-pegawai jabatan kerana mahu terus ke pejabat untuk menaip berita.

Malah, ketika berkereta di pejabat, kami akan berbincang mengenai apakah 'lead' dan 'intro' yang mahu ditulis itu. Ini dilakukan supaya apabila tiba di pejabat, penulisan berita itu terus menjadi lancar dan tidak kelam kabut lagi.

Rakan wartawati yang duduk bersebelahan meja saya itu cukup teliti menaip setiap inci butiran kenyataan Hishammuddin yang dirakam dalam pita rakamannya. Nampak betul yang dia begitu berhati-hati.

Kenyataan menterilah katakan. Kata-kata mereka bagaikan wahyu dari langit. Kena teliti dan jangan sampai tersalah petik. Nanti takut menteri marah dan hamun kita dengan manyatakan bahawa wartawan itu tersalah petik kenyataan mereka.

"Apa.. kau ingat kenyataan mereka itu macam wahyu dari langit? Minta disiarkan dalam akhbar, supaya semua orang boleh jadi baik?!" sindiran arwah Pak Samad Ismail itu selalu terakam dalam fikiran saya sejak bertemu dengannya dahulu.

Hishammuddin mahu memburu pembuli di sekolah itu sehingga ke lubang cacing! Itu yang saya dengar melalui pita rakaman tersebut. Dan, wartawati itu dengan jujurnya telah menulis kenyataan seperti itu juga. Saya lihat dengan mata saya sendiri.

Fuh! Kerasnya kenyataan Hishammuddin ni. Ingat.. kenyataan itu berlaku antara Mac - Mei 2004, ketika pilihan raya umum 2004 baru saja selesai. Itu waktu Latihan Industri, praktikal amali saya sedang berlangsung.

Ketika itu juga, Abdullah Ahmad Badawi menolak syor pembangkang termasuk ahli parti komponen BN sendiri yang mahukan supaya kejadian-kejadian 'miracle', mukjizat dalam pilihan raya itu disiasat semula.

Ada peti undi yang dijumpai dalam semak-samun dan pelbagai mukjizat, miracle lagi yang letih kalau mahu ditulis semuanya.

Ketika laporan berita yang memuatkan kenyataan Hishammuddin itu tercetak dan dimasukkan dalam 'wire', saya melihat ada sedikit perubahan. Penyunting dan editornya telah pun berjaya melunakkan lenggok percakapan Hishammuddin itu.

Tiada lagi kenyataan asal Hishammuddin yang kononnya mahu memburu para pembuli itu sehingga ke lubang cacing! Walhal, itulah kenyataan asal Menteri Pelajaran.

Kini, kejadian itu sudah lima tahun berlalu. Daripada tahun 2004 sehingga 2009, bangsa majmuk ini telah melalui dua pilihan raya dan Hishammuddin masih lagi menjadi Menteri Pelajaran. Dan, kita masih mendengar isu-isu buli diteriakkan di corong tetuang udara (radio) dan televisyen di negara kita.

Saya mesti bersikap adil kepada Hishammuddin. Memang betul, beliau ada sediakan aduan buli melalui SMS. Cuma, sejauhmanakah keberkesanan kaedah itu tak dapat dipastikan.

Setiap klip video yang tersiar, tiada semacam mekanisme yang begitu teliti seperti inkuiri awam untuk menyiasatnya dengan lebih mendalam.

Apabila kita tidak tahu apakah sebenarnya penyakit-penyakit yang wujud dalam masyarakat, maka bagaimanakah kita mahu mencari penawarnya?

Doktor, tabib, dukun, sinseh, pawang, bomoh atau namakan apa saja kerjaya merawat pesakit dalam mana-mana bangsa pun, mereka perlu mengetahui apakah punca dan penyebab terhadap wujudnya gejala itu. Bermula daripada situlah kita boleh berjuang, berijtihad mencari penawarnya.

Saya ingin bertanya Hishammuddin terus-terang, adakah beliau risau jika hal-hal seperti ini dipolemikkan, maka ia akan dipolitikkan oleh pembangkang di Parlimen.

Kalau benar Hisham bimbangkan hal itu, lupakanlah sahaja. Jangan lagi berfikir begitu. Kita perlu terbuka sekarang.

Lebih baik dibiarkan semua orang bercakap, berjuang untuk mencari kaedah penawarnya untuk memulihkan keadaan bangsa kita yang semakin tenat menuju ke arah kehancuran ini.

Ada orang berkata, anak-anak yang kasar di sekolah dan suka mencari pasal di sekolah itu, sebenarnya ada masalah keluarga. Entahlah.. Wallahu'alam.

Selagi mana kita mahu menutup semuanya, enggan membincangkan secara terbuka dan lapang dada, spekulasi gelap ini akan tersebar, telahan semakin menjalar, telaah masyarakat yang ingin meraba-raba cahaya kebenaran dalam kegelapan ke atas semua isu umat ini akan mencipta lebih banyak tiupan angin ribut dan badai tsunami!

Saya tidak mahu menjadikan tulisan ini sebagai tulisan yang disifatkan sebagai teguran yang tidak membina atau teguran membinasa. Saya mahu mencadangkan kepada kepada Hishammuddin langkah-langkah berikut bagi mengatas gejala buli ini di sekolah.

Pertamanya, mahukah Kementerian Pelajaran menghalalkan semula denda rotan di sekolah-sekolah?

Kedua, mahukah kementerian mewajibkan amalan khemah ibadat, qiyamullail sebagai rutin wajib di sekolah-sekolah setiap malam Jumaat di sekolah berasrama penuh?

Ketiga, mahukah Kementerian mengguna pendekatan latihan kerohanian berunsurkan keagamaan seperti latihan tarekat bertujuan mengatasi masalah buli ini?

Sekian, itu sahajalah pertanyaan saya. Saya yakin.. itulah antara sebahagian penawar jika Hishammuddin betul-betul jujur dan ikhlas merawat penyakit kronik ini.

Syahadan wal arakian.. bak kata pepatah Fansuri, "Daripada hidup membuli di sekolah, lebih baik 'membuli' di jalan raya tidak lama lagi. Ayuh bersama ke Istana Negara! Mansuhkan PPSMI!"

Tiada ulasan: