Rabu, 18 Mac 2009

SAR, SJKT dan SJKC dapat peruntukan RM4 juta

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta masing-masing untuk membantu sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah Agama Rakyat (SAR) yang selama ini dianaktiri oleh kerajaan.

Menurut Pengerusi Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali, jika peruntukan RM4 juta untuk pembangunan SAR tidak mencukupi kerajaan akan berusaha menambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Sungai Panjang (BN), Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mempersoalkan agihan RM4 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah agama rakyat (SAR) dalam ucapan penggulungan.

"Sungai Panjang (Khir Toyo) seolah-olah memperjuangkan nasib SAR sedangkan ketika beliau menjadi Menteri Besar langsung tidak peduli dengan bangunan SAR yang teruk," jelasnya.

Dalam penggulungan itu, beliau menegaskan setiap pelajar Unisel, Kuis dan Inpens akan diberi pendedahan pendidikan holistik yang menerapkan nilai-nilai universal merangkumi dasar pembangunan modal insan untuk melahirkan umat terbaik.

"Kita mewajibkan SPIES kepada seluruh pelajar kerana kita merancang mengeluarkan graduan Unisel, Kuis dan Inpens yang `branded' serta cemerlang dalam kerjaya berbanding graduan lepas IPT lain," katanya.

Tambah beliau, sifat rajin amanah berintegriti akan disuburkan sehingga menjadi budaya di Unisel, Kuis dan Inpens dan ini akan menjadi pemangkin gerakan transformasi masyarakat yang berpaksikan tauhid dan nilai-nilai murni.

Bagi menjamin kejayaan graduan beliau menegaskan semua tenaga pengajar dan pengurusan IPT diwajibkan mengikuti kursus SPIES bagi memahami dan menghayati konsep tersebut.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang menentang dan mengagalkan usaha untuk membangunkan modal insan di mana-mana institusi pendidikan dan latihan, jabatan dan agensi kerajaan harus menanggung risiko tersebut.

Kerajaan negeri sedang berusaha menaikkan taraf Unisel dan Kuis ke peringkat antarabangsa dengan menganjurkan Persidangan antarabangsa di mana Unisel akan menjadi sekretariat kepada Persidangan Sains ke 17 anjuran Islamic World Academy of Sciences pada 14-17 disember 209.

Menurut beliau, Selangor juga akan menjadi tuan rumah pada Conference of Muslim Educationists yang akan diurusetiakan oleh Kuis dengan kerjasama universiti Cambridge. _

Tiada ulasan: