Ahad, 15 Mac 2009

Rangka puntianak abad ke-16 ditemui

AP


ROME – Kerja arkeologi dekat Venice telah menemui rangka seorang wanita abad ke-16 dengan batu diletakkan di antara rahangnya dan pakar menyatakan dia dipercayai puntianak.

Pengkebumian luar biasa itu disyaki disebabkan ritual pembunuhan puntianak ketika itu. Ia menunjukkan legenda makhluk penghisap darah ini dikaitkan dengan kejahilan zaman dahulu mengenai bagaimana penyakit berjangkit dan apa yang berlaku kepada tubuh selepas mati.

Rangka yang diawet itu ditemui pada 2006 di Pulau Lazzaretto Nuovo bersama-sama beberapa mayat lain yang dikebumikan dalam kubur besar, selepas wabak melanda Venice pada 1576.

“Puntianak tidak wujud, namun kajian menunjukkan orang ramai percaya mengenainya. Buat pertama kali kami menemui bukti pembunuhan ke atas puntianak,” kata ahli arkeologi dan antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini.

Jelasnya, teks purba menunjukkan kepercayaan puntianak adalah disebabkan keadaan mayat mereput dengan darah mengalir dari mulut dan badan yang kembung apabila kubur digali semula untuk menanam mayat baru.

Tiada ulasan: