Khamis, 19 Mac 2009

Polis minta Hilmi tampil

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Polis telah mengeluarkan surat perintah mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah bagi meminta bekas teman lelaki Elizabeth Wong tampil membantu siasatan berhubung penyebaran gambar separuh bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan itu.

Lelaki yang dikenali sebagai Hilmi, 32, merupakan saksi penting yang dicari-cari polis untuk membantu siasatan polis dalam kes itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, notis itu telah diserahkan kepada bapa Hilmi ketika dia diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh perintah yang dikeluarkan itu.

"Polis percaya Hilmi masih berhubung dengan bapanya dan kita harap melalui cara ini, bapanya akan menyampaikan mesej kepada Hilmi bahawa polis amat memerlukan keterangannya dalam siasatan kes ini.

"Oleh itu, kita harap Hilmi akan tampil secepat mungkin. Kalau dia masih enggan, polis tidak teragak-agak ambil tindakan mahkamah," katanya yang enggan mengulas butir-butir keterangan bapa Hilmi.

Muhammad Sabtu memberitahu pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Pengurusan Krisis dan Bencana Polis Bantuan di Hotel International di ibu negara hari ini.

Kursus dua minggu itu melibatkan 40 pegawai dan anggota polis bantuan dari 18 agensi termasuk Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Persoalan di mana bekas teman lelaki Elizabeth itu masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

Sejak kes gambar bogel Elizabeth tersebar di Internet bulan lalu, Hilmi tidak dapat dikesan dan dikatakan ke luar negara dipercayai Indonesia.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 15 orang termasuk wartawan telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Tiada ulasan: