Rabu, 11 Mac 2009

Polis kenal pasti kawasan panas di Bukit Selambau

BERNAMA


ALOR SETAR — Sentimen perkauman yang dimainkan pihak tertentu dipercayai menjadi punca beberapa lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau menjadi ’panas’, kata Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan.

Beliau berkata polis mengenalpasti tempat-tempat itu dan sedang memantaunya tetapi berkata ’semuanya dalam keadaan terkawal’. “Setakat ini dua atau tiga tempat telah menjadi panas, perlu diberi perhatian lebih menjelang pilihan raya kecil 7 April ini,” katanya semasa dihubungi, hari ini. Beliau bagaimanapun enggan menyatakan lokasi tersebut atas faktor keselamatan dan berkata taklimat mengenai situasi DUN Bukit Selambau akan dibuat di ibu pejabat Polis Bukit Aman beberapa hari lagi. Jumlah anggota polis yang ditugaskan di Bukit Selambau juga akan diketahui selepas taklimat itu, kata Syed Ismail.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan tindakan V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengosongkan kerusi dewan negeri kawasan berkenaan pada 8 Feb lepas.

Penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau ditetapkan 29 Mac ini. Sekiranya ada pertandingan, pembuangan undi akan diadakan pada 7 April, serentak dengan pengundian bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang, Perak, dan kawasan DUN Batang Ai di Sarawak. —

Tiada ulasan: