Selasa, 3 Mac 2009

Polis datang ke Parlimen jika diminta Speaker

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis hanya datang ke Parlimen sekiranya mereka mendapat kebenaran dan dipanggil oleh Yang Dipertua Dewan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini.

"Mengikut amalan sebelum ini, polis tidak datang masuk campur tangan apa yang berlaku di pekarangan dan di dalam bangunan Parlimen kecuali diminta oleh Yang Dipertua Dewan," katanya semasa menggulung perbahasan usul terima kasih Yang diPertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau secara peribadi juga tidak bersetuju polis campur tangan polis dalam urusan Parlimen.

"Melainkan dijemput, mungkin polis tidak berkuasa untuk datang. Tetapi ini bukan keputusan (lagi).

"Sebelum ini saya pernah bantah ketika anggota polis mengawal tempat letak kereta dan mengambil 14 fail dari bangunan Parlimen. Tapi saya tak heboh dengan orang.

"Ini pendirian saya," kata Wan Junaidi tanpa menjelaskan insiden itu secara terperinci. Syed Hamid memberi penjelasan yang diminta oleh Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang mahu tahu sama ada polis akan melindungi anggota Parlimen yang diancam keselamatan oleh manamana pihak dalam kawasan Parlimen.

"Yang susah bukan soalannya tapi susah kerana tak reti nak dengar," katanya.

Syed Hamid juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melakukan apaapa kesalahan apabila memberi saranan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir membuat laporan polis setelah beliau digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Katanya, laporan polis yang dibuat terhadap Speaker DUN itu, V. Sivakumar kerana menggantung dan melarang Zambry dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN adalah dibenarkan oleh undang-undang.

"Laporan itu mungkin bertujuan untuk rekod sebelum Adun Pangkor membuat tindakan sivil atau sebagainya dan ia bukan satu yang luar biasa. Jadi saya harap perkara ini tak perlu dikaitkan dengan andaian yang tidak tepat dan mempunyai unsur fitnah dan persepsi negatif," katanya

Tiada ulasan: