Selasa, 3 Mac 2009

PNSB Akui Gagal Isytihar Faedah Kepada LHDN

SELANGOR KINI ONLINE


SHAH ALAM - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) hari ini bertemu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membuat pengakuan atas kegagalannya memasukkan faedah bukan wang di dalam Borang EA pada tahun-tahun sebelum, menurut satu kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan itu, PNSB menyatakan komitmennya untuk memberikan maklumat terperinci tentang semua faedah yang diberi kepada kakitangan termasuk pengerusi dan lembaga pengarah.

Kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar itu turut menyebut antara faedah berkenaan ialah kereta dan pemandu, percutian di dalam dan luar negara termasuk hadiah dalam bentuk barangan dan wang tunai.

LHDN mengesahkan yang segala faedah yang diterima mestilah dimasukkan dalam Borang EA tanpa ada pengecualian.

“Dengan itu, kerajaan negeri berasa hairan dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh bekas pengerusi PNSB, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo yang menyatakan beliau tidak perlu membayar cukai atas faedah kereta dan pemandu yang diterima”.

Dalam pada itu, PNSB akan meminta khidmat nasihat LHDN ke atas perbelanjaan tertentu yang melibatkan hadiah barangan dan wang tunai kepada kakitangan.

Proses penilaian yang sedang dilakukan di PNSB pada masa ini bertujuan meningkatkan prestasi anak syarikat kerajaan negeri itu.

Tiada ulasan: